Sunday, September 2, 2018

Gadis tergamam.

"Naik bulu roma waktu tu ..!" si dia tersenyum lebar.

Beberapa bulan yang lalu, seorang sahabat FB telah mengirimkan mesej secara peribadi. Bertanyakan tentang status saya, mengenai cara bersedekah sebelum azan Subuh.

Caranya mudah sahaja. Pergilah ke surau atau masjid untuk menunaikan solat Subuh.

Dan pastikan yang anda bersedekah atau memasukkan sumbangan wang sebelum azan Subuh berkumandang.

Sepanjang perjalanan ke surau atau masjid, lafazkanlah selawat sebanyak mungkin.

Itu sahaja.

Bagaimana jika seorang itu tidak ke masjid atau surau ?

Mudah sahaja.

Sediakan satu tabung khas. Letakkan di hujung katil bahagian kepala.

Sebaik sahaja anda terjaga. Cari beg duit. Keluarkan duit, dan masukkan terus wang itu ke dalam tabung itu.

Dengan lafaz selawat, masukkan sumbangan itu ke dalam tabung.

Itu sahaja.

Maknanya. Itulah amalan pertama yang anda lakukan seawal pagi.

Jumlah sumbangan ?

Terpulang kepada kemampuan masing-masing.

Dan hari ini, berlaku sekali lagi.

Seawal pagi, saya telah memasukkan sejumlah kecil sumbangan ke dalam tabung masjid.

Selepas itu. Saya diam. Saya lupakan sumbangan itu.

Terpulang kepada Allah untuk menilai dan menerima amal saya.

Sebaik saya berlalu dari tabung. Seorang lelaki menepuk bahu saya dari belakang.

Sambil dia menunjukkan ke arah seorang muslimah yang sedang berdiri di tepi pintu masuk dewan solat untuk muslimat.

Sebaik saya menghampiri wanita itu. Rupa-rupanya seorang gadis menanti dengan senyuman.

Saya kenal dengan gadis itu. Kami sekampung. Satu kejiranan.

Si gadis menghulurkan sejumlah wang kepada saya. "Ini untuk program dadih Abang Long."

"Terima kasih." sambil mengangguk. Dan kami beredar.

Petang tadi. Si gadis sekali lagi mengirimkan mesej kepada saya. "Abang Long, saya telah masukkan RM200 ke dalam akaun untuk program juadah berbuka."

Saya menghubunginya untuk kepastian, kerana pagi tadi dia telah memberikan sumbangan.

ALLAHU AKBAR.

Dimaklumkan oleh si gadis. Sejak dia bekerja dengan sebuah syarikat kecil. Selama 3 tahun. Syarikat memang tidak pernah memberikan sebarang bonus.

Awal pagi. Sewaktu melangkah ke pejabat. Dia dimaklumkan yang ketua kerani bahagian logistik telah berhenti kerja.

Dia ditawarkan sebagai Ketua Kerani. Dan lebih menyebabkan dia tergamam. Buat pertama kali, syarikat membayar bonus kepada pekerja, lebih awal supaya pekerja dapat menggunakannya untuk hari lebaran.

"Abang Long, saya rasa macam nak menangis, macam nak melompat pun ada ... naik bulu roma waktu tu ... ya Allah, saya bagi RM50. Tapi Allah bagi macam-macam, berpuluh kali ganda!"

Saya terus bergurau. "Awat yang hang bagi RM200. Bagilah RM2K."

Dan si gadis ketawa mengekek-ngekek dihujung talian.

.
.

Abang Long.
Bersedekah memang membahagiakan.

No comments:

Post a Comment