Saturday, September 1, 2018

Anak kita.

Anak kita.
"Pedulikan!" marah sungguh orang tua itu.

.
.

Sewaktu saya tiba di satu persimpangan. Orang ramai telah berkerumun.

Bila mendekati tempat kejadian, rupa-rupanya ada berlaku kemalangan kecil.

Saya rasa kemalangan itu baru sahaja berlaku.

Seorang lelaki tua dan seoang lelaki remaja terduduk di atas rumput, di tepi jalan besar, manakala seorang remaja lagi terbaring sambil mengerang kesakitan.

Lelaki tua itu kelihatan tidak mengalami apa-apa kecederaan, tetapi salah seorang remaja itu berdarah tangan dan sebahagian mukanya.

Saya tidak berani hendak memandang lama-lama, kerana saya memang takut melihat darah.

Seorang lelaki pula asyik membebel.

"Aku dah lama tegur, jangan bawa motor laju-laju, tapi budak-budak sekarang semuanya degil bla bla bla ..."

Kenderaan semakin lama semakin banyak beratur, bila pemandu melihat apa yang berlaku.

Waktu itu saya terfikir, kalau membebel pun tak selesai masalah. Sekarang ialah waktu bertindak. Bawa mangsa ke hospital.

"Siapa dah call ambulans?" tanya seorang lelaki lain.

Masing-masing terpinga-pinga. Masing-masing memandang satu sama lain.

"Saya tak ada kredit." jawab seorang yang lain. Masing-masing menggelengkan kepala.

Tiba-tiba lelaki tua itu menjerit. "Tak payah panggil ambulans ... bawa macam setan, biar mampus!"

Saya melihat seorang lelaki mengeluarkan telefon bimbit. Membuat panggilan kecemasan.

Hampir 15 minit. Siren ambulans berbunyi dari jauh.

Setelah ambulans tiba, seorang pegawai paramediks bergegas memeriksa seorang remaja yang terbaring.

Orang ramai memapah lelaki tua itu untuk dimasukkan ke dalam ambulans.

Sekali lagi lelaki tua itu menjerit. "Bagi aku baring, aku dah tak larat duduk, dah sakit pinggang!"

Namun, pegawai paramediks tidak membenarkan.

"Tuan, kami kena letak budak ni atas stretcher itu, dia lebih teruk."

Lelaki tua itu mendengus.

Kami tersenyum dengan kebengisan lelaki tua itu yang tidak bertempat.

"Kemalangan dah berlaku, jangan fikir diri sendiri, kalau buatnya anak kita yang kemalangan, macam mana?" seorang lelaki sempat menasihati lelaki tua itu.

Ambulans berlalu pergi.

Kami beredar dengan rasa lega.

.
.

Abang Long.
Amaran awal lebih bermakna kepada semua.

#ADR2

No comments:

Post a Comment