Saturday, September 1, 2018

Rezeki Ramadan.

Rezeki Ramadan.
"Alah, sikit je ..." lelaki bertubuh sado itu terus tersenyum.

.
.

Memang silap saya. Saya memang nampak jalan di kiri saya berlopak. Tidak sempat hendak mengelak, terus motor saya menghentam cermin sisi sebuah kereta mewah.

Terlajak ke depan, saya terus berhenti. Mengaku kesilapan lebih baik dari melarikan diri.

Saya tanggalkan topi keledar.

Kereta mewah itu juga berhenti. Allah. Plat baharu. Kereta baharu.

Terasa tak mampu telan air liur!

Saya hanya terus berselawat. Apa lagi yang saya boleh buat.

Sudah terbayang, puluhan ringgit akan terbang. Untung jual dadih pun belum dapat.

Keluar seorang lelaki bertubuh sado. Berpakaian segak. Berkaca mata hitam. Bermisai lebat dan melintang.

Dia yang terlebih dahulu mengucapkan salam. Saya menjawab salamnya kembali.

Lelaki itu membelek cermin sisinya.

Hanya ucapan kemaafan berkali-kali yang saya pohon.

"Saudara nak kemana? bawa apa dalam kotak tu?" sambil dia menunjukkan ke arah kotak putih besar berisi dadih.

"Saya bawa dadih, nak hantar ke rumah anak-anak yatim untuk berbuka."

"Ooo ..."

Lelaki itu terus meninggalkan keretanya dan menghampiri motor saya.

"Boleh saya tengok dadih tu?"

Saya mengangguk dalam keadaan terpinga-pinga.

Penutup kotak dadih dibuka.

Lelaki itu tersenyum.

"Awak bersedekah dadih untuk anak-anak yatim?" tanya lelaki itu lagi.

Dan saya terus menerangkan tentang program yang saya anjurkan.

Lelaki itu mendengar dengan penuh minat sambil memeluk tubuhnya yang begitu sado.

Seketika, lelaki itu berpatah balik ke keretanya. Dan keluar semula bersama sesuatu dalam genggamannya.

"Ini sumbangan dari saya dan isteri untuk program awak."

Saya menerima sumbangan itu dengan hati yang gembira.

"Maaf, isteri saya tak boleh keluar, dia tengah pegang anak kami yang pertama dan kedua ... kembar ..."

Ya Allah hu Rabbi.

Rupa-rupanya pasangan itu baru sahaja dikurniakan dengan sepasang anak kembar lelaki dan perempuan.

Setelah berkahwin 21 tahun tanpa zuriat.

"TAHNIAH Tuan, tahniah tuan ..." kami bersalaman dengan begitu erat.

Lelaki itu terus membuka cermin mata hitamnya. Dan kelihatan jelas dia sungguh terharu dengan ucapan dari saya.

Dia mengesat air mata kegembiraan yang teramat sangat.

"Eh, ini dah pukul berapa ni ... karang awak tak sempat nak hantar dadih tu!"

Saya baru tersedar yang saya sudah terlewat.

"Eh, tuan. Saya belum bayar harga cermin tu!" saya agak kelam kabut hendak mengeluarkan beg duit saya.

"Alah, sikit je ..." lelaki bertubuh sado itu terus tersenyum dan terus beredar dari situ.

Tidak membuang masa, saya terus menghidupkan enjin motor dan merempit membelah bumi Shah Alam.

.
.

Abang Long.
Gembira bertemu dengan pemaaf.

No comments:

Post a Comment