Saturday, September 1, 2018

Pengawal Keselamatan dan Keselesaan.

Pengawal Keselamatan dan Keselesaan.
"Sekarang jaga kucing, nanti jaga isteri." saya tersenyum dengan jawapan yang begitu berfalsafah.

.
.

Setelah agak lama berbaring di dalam wad bahagian kecemasan. Saya sudah tidak mampu menahan diri dari membuang air kecil.

Pada waktu itu, semua kakitangan yang bertugas adalah wanita.

Tidak menjadi masalah kalau perlukan bantuan mereka, tetapi saya juga perlu untuk beruwuduk, kerana masih belum bersolat Maghrib. Waktu amat singkat.

Tiba-tiba melintas seorang Pengawal Kesematan, berbangsa India, segak bergaya, masih muda lagi.

Saya menegurnya. Dan dia amat terkejut dengan sapaan saya.

"Tuan, tuan .." saya memanggilnya antara jelas dengan tidak.

Dia menjegilkan matanya memandang saya.

"Ya, ada apa encik? saya bukan tuan, saya jaga juga .. saya Pengawal Keselamatan disini saja." jelasnya lembut.

Terus sahaja saya menerangkan keperluan saya.

Lelaki yang bertugas sebagai Pengawal Keselamatan itu terus memaklumkan kepada Jururawat bertugas tentang keperluan saya.

Permintaan saya diberikan kebenaran.

Sebenarnya saya tidak betah untuk menggunakan bekas kencing yang disediakan oleh pihak hospital.

Saya mahu menggunakan tandas yang terletak tidak jauh dari katil saya.

Sewaktu bangun. Ya Allah. Kepala terasa sakit, badan letih lesu yang teramat sangat.

Saya gagahkan diri untuk bangun. Dan dibantu oleh Pengawal Keselamatan itu.

Berjalan perlahan menuju ke bilik air.

Kebetulan pula, saya memang sakit pinggang.

Sebelum masuk ke dalam bilik air. Pengawal Keselamatan itu sempat berpesan.

"Bos, kalau ada apa-apa, Bos jerit dari dalam atau ketuk pintu kuat-kuat, saya boleh kasi buka."

Saya senyum dan mengangguk lemah.

Usai berurusan dan selesai berwuduk. Apabila pintu dibuka. Kelihatan Pengawal Keselamatan itu masih tercegat di luar.

"Setia sungguh dia menjaga keselamatan dan keselesaan aku." bisik hati saya sendirian.

Sebaik tiba di katil. Saya terkejut. Pengawal Keselamatan itu juga terkejut.

Rupa-rupanya telefon bimbit saya terletak betul-betul di atas gebar tebal katil pesakit.

Sungguh saya terlupa!

"Ayo bos, apa macam you boleh tinggal you punya hand phone disini!?" dia menepuk dahinya berkali-kali.

Tanpa sepatah perkataan, saya terus berbaring lesu.

Saya teringat yang bateri telefon bimbit saya telah habis. Saya bertanyakan kepada Pengawal Keselamatan itu untuk membantu saya mengecas telefon bimbit saya.

"Boleh, boleh, no problem, saya punya kawan punya hand phone pun sama brand dengan bos punya, nanti saya kasi cas di tempat saya, bos jangan bimbang, saya amanah punya orang, bos sembahyang dulu ..."

Dan Pengawal Keselamatan itu terus berdar dari situ.

Saya terus mengangkat takbir bagi mengerjakan solat secara jamak.

Lewat malam saya dibenarkan pulang.

Tubuh yang lesu. Kepala masih pening. Saya berjalan agak terhoyong-hayang.

Menuju ke kaunter untuk mengambil ubat.

Sewaktu menunggu di ruang menunggu. Kelihatan Pengawal Keselamatan itu agak cemas.

Rupa-rupanya dia mencari saya untuk menyerahkan semula telefon bimbit yang telah dicas penuh.

Hanya ucapan terima kasih yang mampu saya berikan.

Usai mengambil bekalan ubat. Sewaktu saya berada di luar bangunan.

Sekali lagi saya terlihat Pengawal Keselamatan ini sedang membongkok. Rupa-rupanya dia sedang memberikan makanan kepada beberapa ekor kucing.

Kali ini saya pula menyapanya.

"Awak bela kucing?"

Pengawal Keselamatan itu tersenyum dan mengangguk.

Kelihatan satu cawan plastik berisi susu. Dan kertas surat khabar sebagai lapik untuk makanan kucing.

"Awak sudah kahwin?"

Kali ini dia menggelengkan kepala.

"Belum lagi Bos, tapi tak lama lagi ... sekarang saya bela kucing dulu, bila esok saya sudah kahwin saya bela isteri, bagi makan sedap-sedap, serupa ini kucing. Dulu ini kucing ... ayo, banyak kurus, sekarang you tengok, banyak besar."

"You suka isteri besar?" saya sengaja mengusiknya.

"Ta mau, ta mau ... saya mau isteri saya slim dan sihat juga."

"Eh bos ..." tiba-tiba sahaja Pengawal Keselamatan itu bergegas masuk ke dalam biliknya.

Sejurus dia mengeluarkan kerusi untuk saya duduk.

Dan Pengawal Keselamatan itu berlalu pergi meneruskan pekerjaannya.

Sungguh inilah kali pertama saya bertemu dengan seorang Pengawal Keselamatan yang menjaga Keselamatan dan Keselesaan saya sepanjang berada di hospital.

.
.

Abang Long.
Hati terjaga dengan akhlak seorang Jaga.

#ADR2

No comments:

Post a Comment