Wednesday, September 30, 2015

Tersalah tafsir !



Masing-masing berbaring menghadap siling masjid. Sembang santai usai solat Subuh.  Sungguh nyaman.  Ada ketikanya sembang bergurau, ada ketikanya topik keluarga dan tidak terkecuali isu semasa.

Seorang bercakap mengenai jualan pasaraya besar pakaian.  "Kain baju disitu berkualiti."

Seorang pula bercakap mengenai juadah berbuka di sebuah hotel yang terkenal.  "Ada lebih 100 jenis juadah berbuka, tapi saya paling suka dengan kambing panggang."

Seorang warga emas pula tidak mahu mengalah.  "Aku nak pergi Johor, sehari dua ini, nak cari capal, zaman berzaman aku beli disana."

Seorang pesara kerajaan pula tidak mahu jatuh.  "InsyaAllah, tahun ini kami nak rasa beraya di Mekah pula."

Seorang pemuda hanya membuka buku kecil tentang hukum bersuci. Dia seolah-olah tidak memperdulikan apa yang dibualkan.

Ya, saya tahu, pemuda itu memang dari golongan asnaf. Kehidupannya memang dhaif.  Saya terkebil-kebil tidak tahu nak cakap apa. Hanya mendengar sembang 'orang berada dan kaya.'

Tiba-tiba pesara kerajaan bangun dan bertanya kepada pemuda dhaif itu.  "Zailan, kamu balik kampong tak tahun ini?"

"Erm ... mungkin tidak." jawab pemuda itu seperti tidak ketahuan.

"Baliklah, kan seronok beraya di kampong." sambil pesara kerajaan itu mengengsot dan mendekati pemuda itu.

"Eh, bang ..." terdengar pemuda itu seperti mahu mengelak dari sesuatu.

"Dah, dah, ambil. Aku memang dah lama niat nak bagi kat engkau. Ingat, bawa balik keluarga engkau dan kirim salam pada mak engkau."   Kelihatan pemuda itu seperti dalam keadaan serba-salah.

"Zailan, petang ini, aku datang kerumah kau, suruh anak beranak kau siap, kita ke Jackel, ingat tu, engkau tu selalu saja lupa." seorang lagi sahabat memberikan pesan.

Ya Allah.

Saya terus mendiamkan diri. Sembang mereka seolah-olah meninggi diri.

Tetapi, saya telah TERSALAH TAFSIR !

Sewaktu hendak beredar. Seorang lagi sahabat memanggil saya.

"Feroz, nanti kau hantar dadih ke rumah anak-anak yatim. Ini sedekah dari orang tua aku."

"Berapa bekas bang?" saya mohon kepastian.

"100 bekas."

"Eh ini ?" saya agak keliru kerana beliau menghulurkan RM150.

"Bakinya tu bagi kat anak-anak kau. Duit raya."

Sebelum keluar dari masjid. Masing-masing memasukkan wang derma kedalam tabung besi masjid.
Semuanya senyap. Kecuali saya.

Sumbangan saya berbunyi agak kuat. Maklumlah, duit syiling.  Tetapi semuanya buat 'pekak badak.'



Tokong hilang.



Sewaktu tuan kedai sedang membetulkan lampu motor saya. Mata saya terus terpandang kearah 'rumah kecil tuhan' mereka, yang diletakkan dihadapan bengkel.

Saya terkejut. Patung sembahan mereka tiada didalam 'rumah kecil itu.

"Taukeh, mana pergi lu punya tokong?"

Sambil tertawa kecil. "Haiya, olang sudah curi maa..."

Saya terfikir, untuk apa 'tokong' itu dicuri ? Bertahun lamanya tokong itu berada disitu.  Lagipun, kalau dicuri, apa faedah yang boleh diperolehi oleh pencuri.

"Itu tokong, kalau olang semayang, nasib ada baik, boleh dapat nombo baik punya dapat libu-libu, lu tak mau ka ? itu pasat dia olang culi." isteri taukeh pula bertukas.

Saya diam seribu bahasa. Nak bercerita panjang, ini isu agama. Dan kita bukannya faham bahasa agama lain.

# Sewaktu kanak-kanak. Saya pernah mengambil / mencuri buah limau depan tokong. Memang sedap. Tetapi, malam itu, saya tidak boleh tidur. Saya menjerit dalam kesuraman lampu bilik. Saya terlihat begitu banyak 'benda' berlegar atas kelambu.


Top of Form
Bottom of Form

Tragedi Botol Susu.



Saya melihat seorang anak kecil yang sungguh riang ria. Kasutnya berbunyi. Tersenyum bersinar setiap mata yang memandangnya. 

Si kecil itu dipegang oleh abangnya yang sedikit berusia darinya, sementara ibunya sibuk membeli sayur.

Keletahnya berjalan merata-rata memang memenatkan sesiapa pun yang menjaganya. Botol susu sentiasa digonggongnya.

Botol susu jatuh ke atas tanah. Dikutipnya kembali. Sekelip mata diambil kembali dan dimasukkan kedalam mulutnya.

Ya, Allah.  Saya terasa seperti hendak menegur. Puting botol susu itu jelas telah kotor dan berdebu.  Sewaktu saya bergegas mendekatinya untuk mengambil botol susu itu dari dalam mulut si kecil.

Serentak itu, spontan si kecil mencampakkan botol susu itu tergolek dan jatuh ke dalam longkang besar di tepi kedai.  Ibunya sampai dan terpinga-pinga. 

Saya menjelaskan keadaan sebenar apa yang berlaku.  Saya sungguh tergamam apabila si ibu mengherdik anak kecilnya. Dan si abang turut menjadi mangsa. Dipiatnya telinga si abang.


Kedua-duanya menangis dan meraung.

Saya serba salah hendak menegur.  Orang ramai yang memerhatikan kejadian turut menggelengkan kepala.
Si ibu dalam keadaan masih marah. Terus menjengah melihat ke dalam longkang besar itu.

Dan ...

Sekali lagi saya tergamam. Si ibu berusaha mengambil kembali botol susu itu. Dia mahu turun kedalam  longkang !

"Awak nak buat apa tu ? nak ambil benda yang dah kotor ? beli je lah yang baharu. Berapa sen je harga botol tu!" Seorang lelaki menegur dalam keadaan marah dengan tindakan si ibu.

"Awak senang je nak suruh beli itu ini ... saya mana ada duit nak beli yang baharu!" si ibu membalas dalam keadaan geram.

"Sudah, sudah, sudah ... awak keluar sekarang!" lelaki itu kelihatan seperti prihatin dengan masalah wanita itu.

Dikeluarkan beg dompetnya. Dan dihulurkan sejumlah wang kepada wanita itu.  Wanita itu tidak mahu menerimanya. Mungkin berasa malu yang teramat sangat.  Lantas lelaki itu memasukkan wang ke dalam poket si abang.

"Ini buat beli botol adik, dan pakcik belanja kamu sekali." 

Wanita itu mengucapkan terima kasih tanpa memandang ke arah lelaki budiman itu.  Sejurus, wanita itu meletakkan si kecil dalam raga hadapan, dan abangnya terus diletakkan di pelantar belakang basikal.

Mereka terus berlalu.

Saya melihat, wanita itu mengayuh sambil mengelap pipinya.  Si abang yang duduk di pelantar belakang. Menoleh ke belakang, memandang kami.  Saya pandang keliling. Lelaki itu telah masuk ke dalam keretanya dan berlalu pergi.

Baik sungguh hatimu wahai lelaki budiman.


Top of Form
Bottom of Form

Tragedi Ogos.



Sahabat saya telah tersesat sewaktu menaiki komuter. Akibat leka ber-sms. Beliau yang sepatutnya menaiki tren ke Pelabuhan Klang, telah tersilap mengambil tren ke Seremban.

Malu bertanya. Adalah puncanya. Sebaik tiba di platform. Waktu itu kebetulan tren ke Seremban telah pun tiba.

Dia menonong masuk kedalam tren. Pintu ditutup dan berlakulah sejarah hitam buat dirinya.

Hampir 2 jam. Kami ketawa, hingga perut terasa senak.

"Aku tahulah yang aku ni bodoh, orang kampong, tak pernah naik keretapi ..." luahnya dalam rajuk.

Akibat trauma dengan tragedi yang menimpa. Dia hilang keyakinan untuk menaiki tren.  Lebih tragis. Waktu itu, jam telah menunjukkan pukul 11:00 malam.  Tiada pilihan lain. Beliau terpaksa mencari alternatif lain.
Mencari teksi.

Sewaktu hendak mencari teksi. Beliau terserempak dengan seorang pemuda. Dalam kesusahan. Dompetnya pemuda itu hilang dalam surau. Kisahnya, pemuda itu menukar seluar dengan kain pelikat. Dan diletakkan di belakangnya. Telefon bimbitnya pula jatuh, skrin pecah.

Dia duduk bersama pemuda itu. Dan terus bertanyakan samada pemuda itu sudah makan atau belum. "Aku beli roti krim, 10 biji, aku lapar, pemuda itu pula kebulur ..."

Usai makan, sahabat saya menghulurkan RM20 kepada pemuda itu. Sebagai tambang untuk pulang kerumahnya. Sambil bertukar-tukar nombor telefon.

Sewaktu membuka dompetnya. Barulah sahabat saya sedar. Rupanya baki dalam begnya ialah RM7.

"Aku tak kisah, sebab aku boleh keluarkan duit dari mesin ATM."

Tetapi, sekali lagi berlaku tragedi.

Beberapa mesin ATM yang berada didalam bangunan itu - Out Of Service.

"Aku melongo atas tangga."

Sahabat saya beristighfar bersungguh-sungguh. Memohon pertolongan dari Allah.  Dia melihat seorang lelaki yang asyik menghisap rokok di tepi pasu bunga. 

Dengan segala kekuatan yang berbaki, akibat keletihan. Dia menegur lelaki itu yang berpakaian seperti pemandu teksi.

"Aku cakap terus-terang apa yang berlaku ..."

Rupanya pemandu teksi itu tahu lokasi yang ingin ditujui oleh sahabat saya.

Status ini ditulis sebaik kami selesai bersarapan di sebuah restoran mamak yang berdekatan.  Saya, sahabat saya dan pemandu teksi itu bersarapan bersama dalam gelak ketawa. Kerana pemandu teksi itu ialah jiran saya.

Lihat, bagaimana Allah mendidik supaya bersedekah dan mempertemukan sahabat saya dengan pemandu teksi yang juga jiran saya.