Wednesday, September 30, 2015

Tragedi Botol Susu.



Saya melihat seorang anak kecil yang sungguh riang ria. Kasutnya berbunyi. Tersenyum bersinar setiap mata yang memandangnya. 

Si kecil itu dipegang oleh abangnya yang sedikit berusia darinya, sementara ibunya sibuk membeli sayur.

Keletahnya berjalan merata-rata memang memenatkan sesiapa pun yang menjaganya. Botol susu sentiasa digonggongnya.

Botol susu jatuh ke atas tanah. Dikutipnya kembali. Sekelip mata diambil kembali dan dimasukkan kedalam mulutnya.

Ya, Allah.  Saya terasa seperti hendak menegur. Puting botol susu itu jelas telah kotor dan berdebu.  Sewaktu saya bergegas mendekatinya untuk mengambil botol susu itu dari dalam mulut si kecil.

Serentak itu, spontan si kecil mencampakkan botol susu itu tergolek dan jatuh ke dalam longkang besar di tepi kedai.  Ibunya sampai dan terpinga-pinga. 

Saya menjelaskan keadaan sebenar apa yang berlaku.  Saya sungguh tergamam apabila si ibu mengherdik anak kecilnya. Dan si abang turut menjadi mangsa. Dipiatnya telinga si abang.


Kedua-duanya menangis dan meraung.

Saya serba salah hendak menegur.  Orang ramai yang memerhatikan kejadian turut menggelengkan kepala.
Si ibu dalam keadaan masih marah. Terus menjengah melihat ke dalam longkang besar itu.

Dan ...

Sekali lagi saya tergamam. Si ibu berusaha mengambil kembali botol susu itu. Dia mahu turun kedalam  longkang !

"Awak nak buat apa tu ? nak ambil benda yang dah kotor ? beli je lah yang baharu. Berapa sen je harga botol tu!" Seorang lelaki menegur dalam keadaan marah dengan tindakan si ibu.

"Awak senang je nak suruh beli itu ini ... saya mana ada duit nak beli yang baharu!" si ibu membalas dalam keadaan geram.

"Sudah, sudah, sudah ... awak keluar sekarang!" lelaki itu kelihatan seperti prihatin dengan masalah wanita itu.

Dikeluarkan beg dompetnya. Dan dihulurkan sejumlah wang kepada wanita itu.  Wanita itu tidak mahu menerimanya. Mungkin berasa malu yang teramat sangat.  Lantas lelaki itu memasukkan wang ke dalam poket si abang.

"Ini buat beli botol adik, dan pakcik belanja kamu sekali." 

Wanita itu mengucapkan terima kasih tanpa memandang ke arah lelaki budiman itu.  Sejurus, wanita itu meletakkan si kecil dalam raga hadapan, dan abangnya terus diletakkan di pelantar belakang basikal.

Mereka terus berlalu.

Saya melihat, wanita itu mengayuh sambil mengelap pipinya.  Si abang yang duduk di pelantar belakang. Menoleh ke belakang, memandang kami.  Saya pandang keliling. Lelaki itu telah masuk ke dalam keretanya dan berlalu pergi.

Baik sungguh hatimu wahai lelaki budiman.


Top of Form
Bottom of Form

No comments:

Post a Comment