Wednesday, September 30, 2015

Tersalah tafsir !



Masing-masing berbaring menghadap siling masjid. Sembang santai usai solat Subuh.  Sungguh nyaman.  Ada ketikanya sembang bergurau, ada ketikanya topik keluarga dan tidak terkecuali isu semasa.

Seorang bercakap mengenai jualan pasaraya besar pakaian.  "Kain baju disitu berkualiti."

Seorang pula bercakap mengenai juadah berbuka di sebuah hotel yang terkenal.  "Ada lebih 100 jenis juadah berbuka, tapi saya paling suka dengan kambing panggang."

Seorang warga emas pula tidak mahu mengalah.  "Aku nak pergi Johor, sehari dua ini, nak cari capal, zaman berzaman aku beli disana."

Seorang pesara kerajaan pula tidak mahu jatuh.  "InsyaAllah, tahun ini kami nak rasa beraya di Mekah pula."

Seorang pemuda hanya membuka buku kecil tentang hukum bersuci. Dia seolah-olah tidak memperdulikan apa yang dibualkan.

Ya, saya tahu, pemuda itu memang dari golongan asnaf. Kehidupannya memang dhaif.  Saya terkebil-kebil tidak tahu nak cakap apa. Hanya mendengar sembang 'orang berada dan kaya.'

Tiba-tiba pesara kerajaan bangun dan bertanya kepada pemuda dhaif itu.  "Zailan, kamu balik kampong tak tahun ini?"

"Erm ... mungkin tidak." jawab pemuda itu seperti tidak ketahuan.

"Baliklah, kan seronok beraya di kampong." sambil pesara kerajaan itu mengengsot dan mendekati pemuda itu.

"Eh, bang ..." terdengar pemuda itu seperti mahu mengelak dari sesuatu.

"Dah, dah, ambil. Aku memang dah lama niat nak bagi kat engkau. Ingat, bawa balik keluarga engkau dan kirim salam pada mak engkau."   Kelihatan pemuda itu seperti dalam keadaan serba-salah.

"Zailan, petang ini, aku datang kerumah kau, suruh anak beranak kau siap, kita ke Jackel, ingat tu, engkau tu selalu saja lupa." seorang lagi sahabat memberikan pesan.

Ya Allah.

Saya terus mendiamkan diri. Sembang mereka seolah-olah meninggi diri.

Tetapi, saya telah TERSALAH TAFSIR !

Sewaktu hendak beredar. Seorang lagi sahabat memanggil saya.

"Feroz, nanti kau hantar dadih ke rumah anak-anak yatim. Ini sedekah dari orang tua aku."

"Berapa bekas bang?" saya mohon kepastian.

"100 bekas."

"Eh ini ?" saya agak keliru kerana beliau menghulurkan RM150.

"Bakinya tu bagi kat anak-anak kau. Duit raya."

Sebelum keluar dari masjid. Masing-masing memasukkan wang derma kedalam tabung besi masjid.
Semuanya senyap. Kecuali saya.

Sumbangan saya berbunyi agak kuat. Maklumlah, duit syiling.  Tetapi semuanya buat 'pekak badak.'



No comments:

Post a Comment