Sunday, September 2, 2018

Runner berhati mulia

"Kamu punya dengkur macam jet nak berlepas." dan pemuda itu ketawa mengekek-ngekek.

Azan Asar telah selesai berkumandang. Beberapa orang jemaah sedang berwuduk di kolah.

Kelihatan seorang remaja sedang tidur dengan begitu enak sekali di tepi dinding. Berdengkur dengan agak kuat.

Lalu seorang lelaki berbaju kemeja dan berseluar slack, dan menegur keras remaja itu. "Ini apa tidur disini ? kalau nak tidur, balik rumah lah ...hoi !" sambil dia menepuk bahu remaja itu dengan kasar sekali.

Beberapa orang kelihatan tersenyum memandang remaja itu yang terus nyenyak tidak sedarkan diri.

Muazin kelihatan tergesa-gesa berwuduk semula, mungkin sudah terbatal wuduknya.

"Berapa lama kamu menganggur?" tanya seorang lelaki warga emas kepada saya yang sedang mengesat kaki di pelapik yang disediakan di tepi tangga.

"Oh Wak!" Saya hanya tersenyum. Sudah tidak terdaya hendak menjawab soalan yang entah ke berapa ribu kali itu.

Kami bersalaman. Lelaki tua itu begitu baik dengan anak-anak muda di kampong.

Sebaik melalui remaja yang sedang nyenyak itu. Lelaki tua itu terus membongkok dan menepuk hujung kaki remaja itu. Dengan perlahan dipanggilnya remaja itu.

"Anak, anak ... bangun sayang .. kita solat bersama."

Diusahanya beberapa kali. Sehinggalah remaja itu tersedar.

"Bangun sayang ... pergi berwuduk, bagi segar sikit.badan tu" sambil lelaki tua itu menggosok belakang remaja itu.

Walau kelihatan mamai, namun remaja itu bangun dan terus ke kolah untuk berwuduk.

"Itu anak Wak?" saya bertanya kerana saya sendiri tidak mengenali anak-anaknya.

"Tak ... entah anak siapa." Wak hanya tersenyum.

Kami terus masuk ke ruang solat.

Usai solat. Kelihatan beberapa orang sedang berkumpul di parkir. Nampak seperti ada masalah.

Saya mendekati mereka. Rupa-rupanya motor salah seorang jemaah tidak boleh dihidupkan.

Seorang demi seorang sahabat jemaah mencuba menghidupkan enjin motor, namun tetap gagal.

"Kenapa pakcik?" tiba-tiba remaja itu telah berada disisi kami yang sedang berkumpul.

"Entah, motor saya tak boleh start." lelaki berbaju kemeja hanya mampu menggelengkan kepala dan kelihatan resah.

Terus sahaja remaja itu memohon untuk mencuba. Diusahakannya beberapa kali. Akhirnya dia berlalu pergi.

Seketika, dia membawa bersama peralatan membaiki motor.

Dikeluarkan spark plug dan dibelek seketika. Ditukar yang baharu.

Sejurus, dia mencuba untuk menghidupkan enjin, dan alhamdulillah, motor berjaya dihidupkan.

Segala peralatan dikemas dan disimpan.

"Wah, tadi kamu tidur nyenyak ya, kamu punya dengkur macam jet nak berlepas." Wak dengan bersahaja bergurau.

Remaja itu ketawa sambil menggelengkan kepala.

"Penat Pakcik .... terus tertidur." dan remaja itu terus beredar dari situ.

Lelaki yang berbaju kemeja, yang sejak tadi mendiamkan diri, terus bertanya. "Kamu kerja apa dik?"

Sambil menghidupkan enjin motornya, pemuda itu menjawab. "Saya kerja sebagai 'runner' ... ok bai" dan dia terus memecut meninggalkan kami.

Setelah jauh, tiba-tiba lelaki berbaju kemeja itu menjerit.

"Eh ... Allah!" lelaki berkemeja itu menepuk dahi.

"Kenapa?" kami bertanya dengan rasa hairan.

"Saya tak bayar lagi harga barang dan upah!"

Dan kami tidak sempat untuk memanggil remaja itu yang sudah ghaib.

Tiba-tiba sahaja saya teringat peristiwa lelaki berkemeja itu yang bersikap kasar dengan remaja itu tadi.

.
.
.

Abang Long.
MALU apabila orang yang dihina datang membantu.

.
.
Malu juga nak cakap. Tapi saja nak kabo. Kaver buku adalah buku yang saya tulis. Kalau ada yang berhajat, boleh PM. Sms atau whatsApp - 019 2254910. Ini nombor hp saya

Cakoi.

"Cakoi? tengah malam-malam buta ni!?" seorang lelaki terus menggaru-garu kepalanya dalam kebingungan.

Sebuah keluarga sedang enak menjamu selera di sebuah restoran. Gelak ketawa sambil menikmati makan malam.

Meja makan kami bersebelahan.

Saya dan beberapa orang sahabat pula leka menonton perlawanan bola sepak luar negara.

Sesekali kami melayan telefon pintar masing-masing.

Telefon bimbit di meja sebelah berbunyi. Salam dijawab.

Hanya terdengar kalimah. "Baik, baik, abang cari."

Suasana di meja sebelah yang tadinya riuh dengan gelak ketawa, kini masing-masing diam membisu.

"Macam mana bang?" si isteri juga telah mula resah.

Lelaki itu cuba sedaya upaya untuk bertenang.

Tiba-tiba mata kami bertentang.

Dan lelaki itu terus melemparkan senyuman. Saya membalas senyumannya dan sedikit mengangguk.

"Tuan ... maaf ya mengganggu." lelaki itu menyapa kami yang sedang berbual santai sambil menonton tv.

Kami memandang lelaki itu dengan seribu persoalan.

"Begini, saya sebenarnya nak cari cakoi... tapi kami tak biasa dengan tempat ini."

"Cakoi?" kami bertanya serentak. Selepas itu kami pula berpandangan sesama sendiri.

"Tuan dari mana dan cakoi itu untuk siapa?" sahabat saya bertanya kerana kami semua masih kehairanan.

Ya Allah. Rupa-rupanya lelaki itu dan keluarganya dalam perjalanan pulang ke Melaka. Singgah di Shah Alam untuk makan malam.

Mereka dari Ipoh, menziarahi ibu tua yang sedang uzur, dan berada dalam wad. Kata lelaki itu, ibunya telah beberapa hari tidak lalu makan.

"Sejak petang tadi, adik saya kata ibu saya berulang kali cakap nak makan cakoi, saya bimbang ..." lelaki itu mengeluh dan tidak dapat menghabiskan ayat itu.

"Cakoi? tengah malam-malam buta ni!?" kami pula merasa simpati yang teramat sangat.

Masing-masing ligat memikirkan dimana hendak mencari cakoi di malam-malam begini.

"Dik!" sahabat saya memanggil pelayan restoran.

"Adik tahu tak dimana ada orang jual cakoi?"

"Sekarang tak pasti encik ... tapi ada pasar malam dekat rumah saya, kalau nasib baik ..."

Tidak sempat pelayan restoran itu menghabiskan ayatnya. Tiba-tiba lelaki itu terus mengajaknya keluar mencari cakoi.

Lelaki itu terus menemui tauke restoran dan memohon simpati darinya.

Tauke restoran memberikan kebenaran.

Lelaki itu terus mengajak pelayan restoran itu untuk segera mendapatkan cakoi yang dihajati oleh ibunya.

Kereta mengaum pergi.

Tidak sampai setengah jam. Mereka kembali semula.

Wajah lelaki itu agak tegang namun masih mampu menzahirkan senyuman.

"Alhamdulillah, nasib baik ada ... Terima kasih ya tuan-tuan semua ... maaf kepala saya hampir nak pecah dah, letih usah cerita ...."

Dan lelaki itu terus menemui tauke dan membuat pembayaran.

Segera dia mendatangi kami dan bersalaman, sambil terus mengucapkan terima kasih berulang-kali.

"Jadi .. ini tuan nak ke Ipoh semula?" tanya sahabat saya.

"Ya!" jawabnya ringkas.

"Apapun, berhati-hati ya tuan." saya meninggalkan pesan sekadar mengingatkan agar lebih berhati-hati memandu diwaktu malam.

Dan lelaki itu menunjukkan isyarat bagus kepada kami.

Kereta mengaum dan berlalu pergi.

Ya Allah. Selamatkanlah perjalanan hamba MU itu. Dia taat kepada ibunya.

"Dik, kira dik!" laung sahabat saya, memanggil pelayan untuk membuat kiraan.

"Encik, tauke saya kata, lelaki tadi dah bayarkan semua." jawab pelayan itu dengan tersenyum.

"Oh, ya ka ?... alhamdulillah."

Kami terfikir, apa yang kami tolong lelaki itu ?
.
.

Abang Long.
Mak saya paling suka putu bambu. Nasib baik saya ingat makanan kesukaannya.

.
.

Buku dibawah saya yang tulis. Terasa malu pula nak promo.

Sekotak dadih. Sebuah motor.

Seawal jam 7 pagi, lelaki ini telah bersiap sedia untuk menuju ke suatu destinasi yang agak jauh.

Kotak dadih dan sebiji motor.
=======================
.

3 kali lelaki ini menolak pesanan seorang pelanggannya. Kerana tidak mampu untuk menghantar di luar kawasan.

Lokasinya, rumah anak-anak yatim di Telok Gong, yang jaraknya hampir 20 km.

Ya, bukan mudah untuk membawa sekotak penuh berisi dadih dengan motor.

Kawasan penghantaran pula agak merbahaya. Itulah kawasan perindustrian yang dipenuhi dengan lori besar dan treller.

Sewaktu menunggang. Jika berada depan lori, memang merbahaya, dibelakang lori pun bahaya.

Berada diantara dua buah lori, lagi bahaya.

Jalannya memang berpasir dan berhabuk. Silap langkah boleh mengundang padah !

"Saya bagi upah tambahan kepada saudara."

Dan lelaki itu hanya mampu mendiamkan diri.

Kalau tak ambil pesanan itu. Itulah sumber rezekinya.
Kalau diambil pesanan itu. Risikonya terlalu banyak.

Dan lelaki itu berserah diri kepada Pemberi Rezeki yang MAHA KAYA.

.

Kalau ada sesiapa yang nak rasa DADIH. atau nak sedekah dadih, atau nak bagi makan anak-anak yatim, fakir miskin, gelandangan dan orang-orang tua, ataupun dihantar ke madrasah tahfiz.

Boleh hubungi lelaki ini. 0192254910
.
.

Abang Long.
Usaha. Doa. Tawakkal.

Vitamin untuk si dhaif.

"2 biji nak jadi apa?" dengus seorang jiran.

Menziarahi pesakit adalah diantara sunnah nabi yang sering mengundang pahala tidak terhitung. Tidak kira di hospital, di rumah atau di mana-mana.

Apatah lagi jika pesakit itu seperti sudah tidak ada harapan untuk hidup lebih lama.

Namun, bukan sekadar ziarah. Terdapat begitu banyak perkara yang sunnah, harus dan ada ketikanya haram dilakukan oleh orang yang melakukan ziarah.

Sewaktu saya dan seorang sahabat, sampai di sebuah rumah jiran sekampung. Kami membawa sedikit buah tangan sebagai hadiah kepada pesakit dan ahli keluarganya.

Manakala sahabat saya pula membawa wang sumbangan dari sebuah NGO.

Kedatangan kami diraikan oleh ahli keluarga pesakit.

Kami dipersilakan duduk di ruang tamu. Hanya seketika. Kemudian, kami melihat seorang wanita keluar dari bilik pesakit.

Kami terus dijemput untuk masuk ke bilik itu bagi melawat pesakit.

Antara amalan para nabi yang kami pegang. Gembirakan pesakit dan ahli keluarganya. Berikan pengharapan. Berikan hadiah. Sentuh tubuh pesakit (dengan izin). Tunjukkan simpati. Berdoa dihadapan pesakit memohon supaya diberikan kesembuhan dan meringankan beban pesakit dan ahli keluarganya.

Antara perkara yang diharuskan pula, memang banyak. Tetapi ada satu perkara yang kita agak terlepas pandang - masa.

Tidak perlu berlama. Dan tidak pula terlalu ringkas, sekadar menjengah.

Jika pesakit masih mahu tetamu yang disukainya berbual lebih lama, maka tunaikanlah hajatnya.

Tetapi jika pesakit dan ahli keluarganya menunjukkan riak seperti agak keletihan. Maka ringkaskanlah lawatan itu.

Saya serahkan hadiah berupa sebuah hamper kepada pesakit sumbangan dari para sahabat.

"Mak nak coklat tu." rengek seorang anak kecil ahli keluarga pesakit, sambil dia menunjukkan ke arah hamper.

"Eee tak malu ..." sambil si ibu menegur anak kecilnya.

"Eh, buka, bukalah ... memang nak bagi makan pada budak-budak." tegur sahabat saya.

Pesakit tersenyum memandang anaknya yang masih kecil.

Sejurus selepas mendapat coklat, si kecil terus berlari keluar.

Tiba-tiba, seorang wanita menerjah masuk.

"Leha, kau memang tak nak beli barang ni!? rugi tau, kita bukan boleh harap ubat dari hospital je ... vitamin pun kena ambil. Tak nak tak pe lah ... ni aku tinggalkan 2 biji vitamin, makan. InsyaAllah boleh sembuh."

Dan wanita itu terus mengambil 2 botol vitamin dari sebuah syarikat jualan langsung. Dimasukkan ke dalam begnya dan terus beredar.

Isteri pesakit tersenyum kelat memandang kami.

Tidak berlama, kami keluar dari bilik pesakit dan duduk pula di ruang tamu, kerana mereka telah menyediakan minuman petang.

Terdengar ada orang memberi salam. Rupa-rupanya beberapa orang dari pejabat wakil rakyat datang berziarah.

Mereka membawa bersama 2 kampit beras dan beberapa bungkusan beg berisi barangan keperluan harian.

Kami bersalaman.

Usai minum sekadarnya sahaja. Kami memohon diri untuk pulang.

Isteri pesakit dan seorang jirannya menemani kami hingga ke tempat kereta kami diletakkan di halaman rumahnya.

"Terima kasih kerana sudi datang." dan kami hanya menangguk.

"Encik, maaf ya saya nak tanya, vitamin tu, baik tak untuk pesakit? saya memang berhajat nak beli, tapi ... "

Rupa-rupanya, wanita yang mengambil semula vitamin itu ialah kakak tiri wanita itu. Dia datang hampir berselang hari. Mendesak untuk membeli vitamin yang dijualnya.

Sedangkan pesakit sudah lama tidak bekerja, isterinya hanya membuat kuih sebagai punca rezeki yang tidak seberapa. Dan mereka dalam proses menunggu keputusan bantuan zakat.

"Pengambilan vitamin memang bagus. Tetapi ... mendesak orang untuk membeli vitamin ... itu kurang bagus. Apatah lagi pesakit atau keluarganya dari kalangan orang kurang mampu." itu sahaja yang mampu saya berikan pandangan.

"2 biji nak jadi apa!?" dengus seorang jiran yang mencelah perbualan kami.

"Tadi aku masuk dalam bilik, aku nampak ada 2 biji je, apa salahnya hadiahkan sebotol. Bukannya dia tak kenal engkau, adik beradik sendiri." jirannya itu pula meluahkan rasa amarahnya.

Kami hanya mampu tersenyum.

.
.

Abang Long.
Hadiahkan senyuman kepada insan tersayang.

.
.

[Gambar lelaki yang menunggang motor adalah gambar saya. Kaver untuk buku saya yang berjudul - Aku, Dia & Rezeki. Saje nak kabo. Seronok bila ada sahabat yang nak beli buku saya. Terima kasih saya dahulukan].

Sedekah kepada anjing.

Seorang pemuda memang benar-benar tergamam. Mulanya wajahnya pucat lesi, tetapi berakhir dengan senyuman menguntum.

"Saya sedekahkan lauk kepada anjing yang berkeliaran disitu." pemuda itu memulakan perbualan.

Lauk yang dibeli sejak pagi belum disentuh. Menjelang tengahari, pemuda itu mendapat undangan dari rakan sepejabat untuk menikmati jamuan meraikan majlis perpisahan ketua pejabat.

Hampir petang, barulah disedari lauk yang dibeli masih ada dalam bakul motor.

Hendak dimakan perut sudah kenyang. Bila dibau, sah lauk itu sudah basi.

Terpandang beberapa ekor anjing yang berkeliaran disitu. Terus sahaja dibuka bungkusan dan dicampakkan kepada anjing-anjing yang menunggu rezeki mereka.

Bayangkan lauk berisi 2 ketul ayam masak lemak.

Pemuda itu termenung seketika. Ya Allah, hari ini aku kenyang makan dengan makanan mewah. Tetapi anjing itu makan makanan yang sudah basi.

Motor di parkir di hujung bangunan dalam kawasan yang amat luas. Topi keledar diambil. Dan pemuda itu terus beredar, masuk ke dalam bangunan tempat kerjanya.

Kerja, tidur, mandi selama 2 hari dalam bangunan yang sama. Membaiki sistem internet untuk sebuah syarikat.

Masuk hari ke tiga. Kami bertemu di kantin dalam bangunan yang sama. Duduk semeja kerana pemuda itu hendak memberikan sumbangan kepada program dadih.

Sedang enak menikmati minuman petang. Telefon bimbit saya berbunyi. Saya keluarkan telefon bimbit dari dalam poket seluar.

Usai berbual ringkas dan menamatkan perbualan. Saya keluarkan kunci motor untuk memasukkan telefon bimbit ke dalam poket seluar.

Waktu itulah, mata pemuda terbeliak seperti hendak terkeluar dari mata.

Wajahnya pucat. Bibirnya terketar-ketar. Dia kelihatan begitu cemas.

Dan tangannya meraba-raba poket seluar dan beg sandangnya.

"Bang, tunggu sini sat! saya nak naik ke atas nak cari kunci motor."

Sepantas kilat dia berlari naik ke pejabat.

Hampir 10 minit. Sekali lagi dia datang ke meja makan kami. Dia berdiri dan cuba mengingati sesuatu.

"Kamu dah cari di motor kamu?" saya memberikan cadangan.

Sekali lagi, sepantas kilat dia berlari keluar dari bangunan.

Tidak sampai 10 minit. Pemuda itu datang dan terus terduduk di kerusi.

"Ha, jumpa tak!?"

Dia menunjukkan kunci motornya.

Dia menggelengkan kepala.

"3 hari saya disini ... saya tak ingat langsung yang saya tak cabut kunci di motor!" dia meraup wajahnya kelegaan yang teramat sangat.

"Nasib baik tak hilang ..." saya tersenyum memandangnya.

"Abang tau tak, ada 2 ekor anjing duduk dekat motor saya. Bila saya datang, dua-dua ekor terus pergi dan menghilangkan diri. Saya memang tergamam, bila saya tengok kunci motor saya ada di motor."

Saya memandang pemuda itu dengan penuh kesyukuran.

"Itu saya tak hairan, paling saya tak percaya, bila Pengawal Keselamatan cakap, lain kali jangan bawa anjing ke kawasan itu. Tiap kali ada orang datang dekat motor saya, anjing -anjing itu menyalak kuat."

.

.

Abang Long.
Bersedekah Kunci Pembuka Rezeki.

.
.
Program - Juadah DADIH Untuk Berbuka Bagi Golongan Asnaf - fakir, miskin, gelandangan, anak-anak yatim, ibu tunggal yang susah, kini telah masuk tahun ke - 7.

Untung haram.

"Maaf tuan, urusan ini terpaksa dibatalkan." itulah mesej saya kepada seorang pelanggan.

Pada mulanya memang saya berasa gembira bila ada seorang pelanggan yang hendak membuat tempahan dadih sebanyak 300 cawan.

Jarang-jarang sekali saya mendapat tempahan sebanyak itu.

Untuk majlis berbuka bersama anak-anak yatim. Itu yang saya dimaklumkan dari awal.

Seperti dalam perjanjian secara lisan. Dadih akan diambil sendiri oleh pelanggan dari premis saya.

Sejak mula lagi, pelanggan itu berusaha memujuk saya untuk mendapatkan harga terendah.

Mulanya saya fikir yang dadih itu untuk majlis keraian di pejabat. Namun, pelanggan itu memohon untuk mendapatkan harga serendah 80 sen secawan.

"Ini untuk majlis berbuka bersama anak-anak yatim." Maka, atas sifat belas ehsan, saya letakkan harga RM1 secawan.

Kuasa Allah, siapa yang tahu ?

Salah seorang kenalan saya bertugas sepejabat dengan pelanggan saya.telah mengetahui satu rahsia.

Dia mengetahui tentang bisnes dadih yang saya usahakan.

"Orang tu, dia claim dari pejabat, satu cawan RM1.50." Rahsia terbongkar !

Saya tergamam. Sejujurnya, saya untung tidak seberapa. Dan inilah sumber pendapatan saya.

Sedangkan pelanggan itu hidupnya mewah. Tetapi masih lagi hendak menipu dan mengaut keuntungan atas angin!

Saya mengambil masa 2 hari melakukan apa yang perlu sebagai seorang hamba NYA. Sujud dan merayu kepada NYA.

Akhirnya, saya membuat keputusan untuk membatalkan urus niaga itu.

Saya hanya mampu membuat rayuan kepada Allah agar membuka pintu rezeki yang halal dan barakah.

Dan saya juga sering mendoakan semoga rezeki para sahabat sentiasa murah, sentiasa barakah, sentiasa dipermudahkan.

InsyaAllah. Program - Sedekah Dadih Sebagai Juadah Berbuka untuk golongan asnaf telah dibuka - tahun ke 7.

# Satu cawan = RM1 sahaja.
.
.

Abang Long.
TERIMA KASIH kepada semua yang mempromosikan program ini.

Si Gila yang pembersih.

"Kasihan orang tua tu ..." sambil kami memandang seorang tua gelandangan.

Sewaktu saya sedang menunggu saudara saya sampai. Saya menikmati pemandangan indah suasana dan kedamaian Bandar Taiping.

Tenang dan santai, saya duduk di bangku panjang di sebuah hentian bas, di hadapan Hospital Taiping kerana bertemu dengan seorang sahabat yang bertugas disitu.

Sungguh bersih hentian bas itu. Bersih dari sebarang kekotoran. Langsung tidak ada sampah sarap, hatta sampah paling kecil sekalipun.

Pokok bunga yang ditanam dan dipelihara merimbun dan menyegarkan mata memandang.

Namun, keadaan yang bersih dan cantik sebegitu dicemari dengan kehadiran seorang gelandangan.

Seorang tua yang berbaring, kepalanya berlapikkan lengan. Dia berbaring di atas sebuah bangku panjang yang di perbuat dari simen konkrit.

Disisinya ada sebotol air minuman dan sebotol ubat, mungkin ubat batuk.

Rasa kasihan pun ada, rasa jelik pun ada.

Apabila dia sedar yang saya duduk dihujung bangku panjang itu, terus sahaja dia duduk, sambil terbatuk-batuk.

Seketika kami memandang satu sama lain. Saya melihatnya dengan rasa loya. Apatah lagi dengan pakaiannya yang berbau.

Tetapi dia memandang saya dengan senyuman.

Sejurus saya keluarkan botol air minuman dari dalam beg plastik kecil. Meneguk sehingga habis dek kepanasan.

Setelah habis, saya terus mencampakkan botol plastik kosong itu ke arah tong sampah.

Namun, teknik kurang berjaya. Botol plastik itu tersasar. Langsung tercampak jauh dari tong sampah.

Ah, saya biarkan botol plastik itu

Saya terpandang gelandangan tua itu. Kali ini dia memandang saya dengan pandangan tajam.

Ah, saya tidak peduli dengan renungan tajamnya.

Tiab-tiba.

Gelandangan tua itu bangun berdiri dan bercakap serta membebel seorang diri.

"Oh, orang gila rupanya." gumam saya sendirian.

Gelandangan tua itu berjalan dan mengutip botol plastik yang saya campak tadi.

Lalu dia memasukkan botol plastik itu ke dalam tong sampah.

Dia duduk semula ditempatnya, dan terus bercakap seorang diri.

Kali ini saya tidak mahu memandangnya lagi.

Dia pengotor atau aku yang pengotor ?
Dia gila, atau aku yang gila ?

Sungguh saya tidak keruan waktu itu.

Selama saya berurusan memberi makan kepada golongan gelandangan. Mereka sentiasa diasuh dan dibimbing agar tidak mengotorkan tempat makan dan tempat tinggal mereka.

Tiba-tiba terdengar bunyi hon yang agak kuat. Menyedarkan saya dari sebuah lamunan.

Rupa-rupanya, saudara saya telah tiba dengan kereta untuk mengambil saya.

Tidak sempat saya hendak masuk ke dalam kereta. Saudara saya terus menghulurkan wang.

"Pi bagi kat dia." sambil menunjukkan ke arah gelandangan tua itu.

Dan saya tergesa-gesa menyerahkan wang itu kepada gelandangan tua itu.

Tetapi kali ini saya tidak mampu memandang wajahnya mahupun bertentang mata dengan gelandangan tua itu.

MALU !

Sebaik masuk ke dalam kereta. Saudara saya meluahkan rasa simpatinya kepada gelandangan tua itu.

"Kasihan orang tua tu ..." sambil kami memandang orang tua gelandangan itu dari jauh.

.
.

Abang Long.
Apa kisah gelandangan, Ramadan ini ? apa juadah mereka untuk berbuka dan bersahur ?