Saturday, September 1, 2018

Sumbang terus.

Sumbang terus.
"tok se pangge tue, ambo malu." dia berbisik ke telinga saya.
.
.
DIA datang dengan berkain pelikat dan t-shirt lusuh. Kehadirannya langsung tidak dipedulikan oleh sesiapa pun.

Songkoknya pun jelas lusuh, bagaikan dibeli tahun 70'an.

Tersengih dia memandang saya. Kulit mukanya berkedut seribu.

Dia menghampiri saya. Kami bersalaman. Kelihatan urat di tangannya timbul, besar dan menjalar.

"Sila tuan, sila." sambil saya menyerahkan secawan dadih terakhir dari dalam kotak.

Waktu itu, barulah dia kelihatan seperti terpinga-pinga.

"Panggil pakcik sudoh... tok se pangge tue, ambo malu." dia berbisik ke telinga saya.

Saya membalasnya dengan senyuman.

Sebaik sahaja pakcik itu duduk tidak jauh dari saya. Datang pula seorang lelaki.

Segak bergaya. Berkain pelikat baharu. Berbaju Melayu kemas dengan butang bersinar. Bersongkok tinggi.

Kami bersalaman.

"Macam mana dengan sambutan orang ramai dengan program Juadah Berbuka saudara?" tanya lelaki itu, sambil membelek cawan dadih yang dipegangnya.

"Alhamdulillah, boleh lah ... "

Kami berbual mengenai program itu. Dan lelaki tua itu hanya memandang kami dengan penuh minat. Namun, dia langsung tidak menyampuk.

Lelaki yang segak bergaya itu terus menyerahkan wang sumbangan ikhlas sebanyak RM100. Sebelum dia beredar untuk berwuduk.

"Terima kasih ya tuan ... " kami bersalaman mesra. Lelaki itu menepuk bahu saya berkali-kali.

Lelaki tua itu menghampiri saya. Sambil tangannya terus memegang cawan dadih.

Sebaik tubuhnya rapat menghampiri saya. Terus sahaja dia menanggalkan songkok yang dipakainya.

Saya memandang songkoknya dengan senyuman. Disekeliling bahagian tepi songkoknya seperti terselit pelbagai kertas.

Akhirnya dia ketemu juga dengan sesuatu.

Terus sahaja dia menghulurkan kertas itu kepada saya.

"Ini sahaja sumbangan saya untuk apa benda yang saudara buat? eh, dah lupo pulok ..." sambil dia tergaru-garu kepalanya yang memutih.

"Program Sumbangan Juadah Berbuka ..." saya menjawab dengan tertawa kecil.

Dan lelaki tua itu turut tertawa.

Dia juga beredar sebaik menyerahkan sumbangan kepada saya.

Sebaik dia berlalu pergi untuk berwuduk. Saya buka genggaman saya. Wang sebanyak RM100, dua helai.

Saya termenung seketika.

Saya terfikir. Begitu banyak barang berharga yang terselit dalam songkok lusuh lelaki tua itu.

Terus teringat kenangan zaman kanak-kanak. Era tahun 70'an. Majoriti orang Melayu yang pergi ke surau atau masjid akan memakai songkok hitam.

Tiba-tiba syaiton datang mengganggu. Terimbau kisah lucu. Sahabat sekampong, datang ke masjid. Pakai baju Melayu, berkain pelikat dan bersongkok tapi tak pakai spender. Budak-budaklah katakan ...
.
.
.

Abang Long.
Terima kasih kepada para penyumbang program.

No comments:

Post a Comment