Saturday, September 1, 2018

Hadiah Persahabatan.

Hadiah persahabatan.
"Ya Allah, aku bertaubat ... berikanlah aku jalan keluar." sayu merayu bersungguh-sungguh.
.
.

Susulan telefon bimbit saya yang hilang kerana dicuri pada malam Jumaat lepas (kerana kecuaian saya sewaktu sedang sakit).

Saya memang terduduk, dan terasa sangat sesal dan sebal.

Kenapa saya rasa sangat sedih ?

1. Telefon bimbit itu adalah hadiah dari anak saya. Hasil dari gaji pertama, dia terus belikan saya telefon bimbit itu.

2. Banyak gambar di dalamnya - gambar bersama program gelandangan, gambar beraya di kampong (setelah 5 tahun tak pulang beraya). Dan saya tak akan lupakan jasa insan ini - tuan Sayuti Wan Chik.

3. Gambar saya bersalaman dan mencium ibu saya di hari jadinya yang ke 70.

4. Segala sms dan whatsApp bisnes, dimana ada banyak lagi yang saya belum rekod. (kena mohon tunjuk ajar dari tuan Ashraf Shuib).

Jadi, disebabkan banyak urusan yang tergantung, demi untuk mengelakkan timbul sebarang persoalan, kerana ada order yang saya belum tunaikan.

1- Belian buku.
2- Belian acar.
3- Sumbangan / dan belian dadih.

Maka, saya siarkan berita kehilangan telefon bimbit itu sebagai kaedah untuk memaklumkan kepada pelanggan dan sahabat tentang urusan yang tergantung sementara.

Pagi Jumaat itu, saya memang termenung, berduka dan hilang tumpuan.
.
.
Lihat JANJI ALLAH.
===============

Dengan tubuh yang terasa amat lesu, saya melangkah longlai ke surau hospital.

Usai berwuduk, saya terus mengerjakan solat sunat taubat.

Saya beristighfar bersungguh-sungguh atas apa yang sudah berlaku demi untuk mendapatkan sebuah ketenangan dan penyelesaian.

"Ya Allah, semuanya HAK MILIK ENGKAU ... aku redha."

Kedengaran azan Subuh dari Masjid Ar Rahimiah, terletak tidak jauh dari hospital.

Saya teringat sesuatu !

Segera saya keluarkan wang sebanyak RM10. Dan dengan pantas saya masukkan ke dalam tabung derma.

Sambil berselawat, saya masukkan sumbangan derma - ';Sedekah Subuh'.

(bukan amal kebaikan sendiri yang saya hendak cerita dan banggakan, tetapi saya percaya kepada JANJI ALLAH kepada orang yang bersedekah sewaktu dalam kesulitan).

Usai bersolat Subuh berjemaah. Saya terus beristighfar bersungguh-sungguh.

"Ya Allah, aku bertaubat ... berikanlah aku jalan keluar."

Saya menulis mengenai kisah kehilangan telefon bimbit saya dalam FB.

Alhamdulillah, ramai yang mendoakan semoga saya terus sabar, tabah menghadapi ujian dan mendoakan semoga saya mendapat sesuatu yang lebih baik.

Seorang sahabat mengirimkan mesej. Mahu berjumpa saya selepas solat Jumaat.

Kami berjanji untuk berjumpa di masjid berdekatan rumah saya.

Setelah berjumpa, sahabat saya mengajak saya untuk makan di sebuah restoran tidak jauh dari rumah saya.

Sebaik kami membuat pesanan makanan dan minuman.

Dia terus mengeluarkan sekotak hadiah.

"Abang Long jangan sedih lagi ya ... ini hadiah untuk Abang ..."

Saya sudah berjanji untuk tidak menangis dengan kehilangan telefon bimbit yang amat bermakna itu.

Tetapi, akhirnya saya sudah tidak dapat menahan diri dari menangis !

Bukan hadiah sebuah telefon bimbit, tetapi sebuah TAB yang agak mahal.

Bukan kerana mahalnya sebuah TAB.

Tapi kerana mahalnya harga sebuah ingatan dan persahabatan!

Sahabat saya datang jauh dari Negeri Sembilan ke Klang, untuk bertemu saya, semata-mata untuk serahkan sebuah TAB sebagai tanda persahabatan.

Bagaimana saya dapat menahan air mata dari mengalir, apabila selama ini saya dikelilingi oleh ramai sahabat yang baik hati, yang tidak mengira waktu untuk membantu.

Saya juga tidak akan melupakan jasa seorang sahabat yang telah berusaha mengumpulkan dana bagi membeli sebuah note book apabila laptop saya hilang beberapa tahun yang lalu, apabila rumah saya dicerobohi pencuri.

Wahai sahabat ku sekalian. Hanya kepada Allah, saya memohon dan terus merayu supaya ALLAH sentiasa memberikan yang terbaik buat kalian.

Dimurahkan rezeki, dilapangkan kehidupan, diberikan kesihatan yang baik, keceriaan dalam hidup, dijauhi dari segala bala bencana, dan paling utama, asbab dari persahabatan kerana ALLAH. Menjadi pemudah cara sewaktu di alam kubur, alam mahsyar dan membawa ke syurga yang kekal selama-lamanya. AMIN.

.
.

Abang Long.
Sabar & Solat - Janji Allah itu PASTI!

#ADR2

No comments:

Post a Comment