Sunday, September 2, 2018

Runner berhati mulia

"Kamu punya dengkur macam jet nak berlepas." dan pemuda itu ketawa mengekek-ngekek.

Azan Asar telah selesai berkumandang. Beberapa orang jemaah sedang berwuduk di kolah.

Kelihatan seorang remaja sedang tidur dengan begitu enak sekali di tepi dinding. Berdengkur dengan agak kuat.

Lalu seorang lelaki berbaju kemeja dan berseluar slack, dan menegur keras remaja itu. "Ini apa tidur disini ? kalau nak tidur, balik rumah lah ...hoi !" sambil dia menepuk bahu remaja itu dengan kasar sekali.

Beberapa orang kelihatan tersenyum memandang remaja itu yang terus nyenyak tidak sedarkan diri.

Muazin kelihatan tergesa-gesa berwuduk semula, mungkin sudah terbatal wuduknya.

"Berapa lama kamu menganggur?" tanya seorang lelaki warga emas kepada saya yang sedang mengesat kaki di pelapik yang disediakan di tepi tangga.

"Oh Wak!" Saya hanya tersenyum. Sudah tidak terdaya hendak menjawab soalan yang entah ke berapa ribu kali itu.

Kami bersalaman. Lelaki tua itu begitu baik dengan anak-anak muda di kampong.

Sebaik melalui remaja yang sedang nyenyak itu. Lelaki tua itu terus membongkok dan menepuk hujung kaki remaja itu. Dengan perlahan dipanggilnya remaja itu.

"Anak, anak ... bangun sayang .. kita solat bersama."

Diusahanya beberapa kali. Sehinggalah remaja itu tersedar.

"Bangun sayang ... pergi berwuduk, bagi segar sikit.badan tu" sambil lelaki tua itu menggosok belakang remaja itu.

Walau kelihatan mamai, namun remaja itu bangun dan terus ke kolah untuk berwuduk.

"Itu anak Wak?" saya bertanya kerana saya sendiri tidak mengenali anak-anaknya.

"Tak ... entah anak siapa." Wak hanya tersenyum.

Kami terus masuk ke ruang solat.

Usai solat. Kelihatan beberapa orang sedang berkumpul di parkir. Nampak seperti ada masalah.

Saya mendekati mereka. Rupa-rupanya motor salah seorang jemaah tidak boleh dihidupkan.

Seorang demi seorang sahabat jemaah mencuba menghidupkan enjin motor, namun tetap gagal.

"Kenapa pakcik?" tiba-tiba remaja itu telah berada disisi kami yang sedang berkumpul.

"Entah, motor saya tak boleh start." lelaki berbaju kemeja hanya mampu menggelengkan kepala dan kelihatan resah.

Terus sahaja remaja itu memohon untuk mencuba. Diusahakannya beberapa kali. Akhirnya dia berlalu pergi.

Seketika, dia membawa bersama peralatan membaiki motor.

Dikeluarkan spark plug dan dibelek seketika. Ditukar yang baharu.

Sejurus, dia mencuba untuk menghidupkan enjin, dan alhamdulillah, motor berjaya dihidupkan.

Segala peralatan dikemas dan disimpan.

"Wah, tadi kamu tidur nyenyak ya, kamu punya dengkur macam jet nak berlepas." Wak dengan bersahaja bergurau.

Remaja itu ketawa sambil menggelengkan kepala.

"Penat Pakcik .... terus tertidur." dan remaja itu terus beredar dari situ.

Lelaki yang berbaju kemeja, yang sejak tadi mendiamkan diri, terus bertanya. "Kamu kerja apa dik?"

Sambil menghidupkan enjin motornya, pemuda itu menjawab. "Saya kerja sebagai 'runner' ... ok bai" dan dia terus memecut meninggalkan kami.

Setelah jauh, tiba-tiba lelaki berbaju kemeja itu menjerit.

"Eh ... Allah!" lelaki berkemeja itu menepuk dahi.

"Kenapa?" kami bertanya dengan rasa hairan.

"Saya tak bayar lagi harga barang dan upah!"

Dan kami tidak sempat untuk memanggil remaja itu yang sudah ghaib.

Tiba-tiba sahaja saya teringat peristiwa lelaki berkemeja itu yang bersikap kasar dengan remaja itu tadi.

.
.
.

Abang Long.
MALU apabila orang yang dihina datang membantu.

.
.
Malu juga nak cakap. Tapi saja nak kabo. Kaver buku adalah buku yang saya tulis. Kalau ada yang berhajat, boleh PM. Sms atau whatsApp - 019 2254910. Ini nombor hp saya

No comments:

Post a Comment