Saturday, September 1, 2018

Jaga orang tua.

Jaga orang tua.
Waktu inilah berlaku sesuatu yang ..." peniaga itu mengetap giginya
.
.

Mulanya saya melihat seorang lelaki sedang berbual rancak dengan tuan Imam.

Saya hanya melihat sepinatas lalu. Dan kembali leka membaca puluhan sms dan whatsApp.

Tidak lama kemudian, tuan Imam mendatangi saya. Salam diberi dan dijawab dengan penuh kemesraan.

Saya bersalaman dengan tuan Imam dan lelaki itu.

"Dia ni ha.. nak bagi sumbangan juadah berbuka puasa." sambil tuan Imam menepuk bahu seorang lelaki.

Wajah lelaki itu begitu ceria.

"Saudara buat program beri makan untuk orang susah?" lelaki itu memulakan bicara dengan pertanyaan.

Saya mengangguk.

Lalu saya terangkan apa yang saya lakukan sepanjang bulan Ramadhan ini dengan program khas - Sedekah Juadah Berbuka.

Kali ini, lelaki itu dan tuan Imam pula mendengar dan mengangguk.

"Tuan kerja sebagai?"

"Oh ... saya berniaga di gerai bazar Ramadhan, depan pasaraya." jelasnya lagi.

Bazar Ramadhan yang dibuka sepanjang Ramadhan. Terdapat ratusan gerai yang dibina dengan kelulusan MPK. Lokasinya terletak di hadapan sebuah pasaraya di tengah-tengah bandar Klang.

"Bagaimana rezeki tahun ini?"

"Allahu akbar ... macam biasa, tetapi ..." lelaki itu terdiam seketika.

Kali ini, saya pula terdiam mendengar kisahnya berniaga.

"Terus-terang saudara, Imam .... " sambil memandang ke arah saya dan tuan Imam.

Lelaki itu sejujurnya menyatakan yang dia bukan seorang yang taat beribadat.

Sembahyang - kadang-kadang, bila sempat.
Puasa - jarang-jarang, kalau tak penat.

"Beberapa hari lepas, lalu seorang lelaki tua, saya nampak dia keletihan dan seperti orang ada semput..."

"Orang tua itu memang kelihatan begitu dhaif dan uzur. Bau badannya ... Allah. Busuk dan hamis. Dirinya langsung tidak terurus."

Lalu lelaki itu tidak tergamak melihat lelaki tua itu berkeadaan begitu.

"Ayah saya sudah lama meninggal dunia ... saya rasa sayu dan kasihan melihat lelaki tua itu ... terus teringat kepada arwah ayah saya."

Selepas memberi makan. Lelaki tua itu terus tertidur di bahagian belakang khemah sementara mereka.

Usai habis berniaga, pukul 3 pagi, peniaga itu membawa lelaki tua itu pulang ke rumahnya.

Mandi. Bertukar pakaian. Bersahur bersama.

Esoknya, dia menghantar lelaki tua itu ke pasar Jawa. Berbekalkan sedikit wang.

"Saya nak hantar ke rumah dia ... tapi dia kata, keluarga dia buang dia..."

"Kemudian, saya pergi ke Kelantan, untuk ambil stok barang. Waktu inilah berlaku sesuatu yang ..." peniaga itu mengetap giginya.

"Waktu hendak pulang ke Klang, isteri saya menghubungi saya, meminta supaya saya ambil seberapa banyak stok yang boleh."

Rupanya mereka hampir bertengkar, kerana peniaga itu seperti tidak mempercayai apa yang diceritakan oleh isterinya.

"Mana saya nak percaya ... isteri saya kata semua barang dalam gerai habis langsung!"

Sehingga hari ini, khabarnya gerai mereka tidak putus-putus dikunjungi orang ramai yang membeli barang dari gerai mereka.

.
.

Abang Long.
Pengusaha Dadih yang bercerita kisah orang yang baik.

#ADR2

No comments:

Post a Comment