Saturday, September 1, 2018

PUKAU.

PUKAU
"Jadi bodoh ... dah jadi gila!" luah seorang wanita.

.
.

Sedang saya berbual dengan seorang sahabat yang juga merupakan pemilik kedai percetakan. Datang seorang wanita, wajahnya begitu muram, air mukanya amat keruh.

Sahabat saya mempersilakan dia duduk.

Dengan tidak membuang masa. Wanita itu terus meluahkan apa yang terbuku dihatinya.

Kami yang mendengarnya mengucap panjang.

"Jadi bodoh ... dah jadi gila!" luahnya tanpa segan silu.

Sungguh kami tidak mampu berkata apa-apa.

Wanita itu telah dipukau atau disihir.

Bukan dalam rumah, tetapi dekat bank.

"Memang anak saya nampak saya berbual dengan seorang lelaki, dia nampak akak keluarkan sesuatu dari dalam beg."

Dan wanita itu terus menangis teresak-esak.

Kami terpempan mendengar kisah yang begitu tragik !

Beliau telah merujuk perkara itu dengan pihak bank untuk melihat rakaman cctv, tetapi malangnya, peristiwa itu berlaku di luar dari kawasan pemantauan cctv bank.

Beberapa hari lalu, saya telah mendengar kes yang sama, berlaku juga kepada jiran sekampong.

Maknanya, dalam bulan Syawal ini, telah ada 2 kes rompakan melaluii kaedah - pukau.

Sebelum ini, khabarnya seorang wanita juga telah dipukau dan kehilangan RM3,000.

Dan kes terkini, wanita yang membuka warung telah dipukau melibatkan wang sebanyak RM6,000.

"Kita setengah nyawa nak cari duit, menyimpan, ikat perut, nak bagi sekolah anak-anak ... IBLIS tu, senang-senang rompak duit, kita bukan orang senang!" dan wanita itu terus menangis terseak-esak.

Kami berusaha menenangkannya.

Sahabat saya melahirkan solusi dengan mencadangkan supaya wanita itu mengambil banner dan kad bisnes yang telah ditempah terlebih dahulu.

"Tak pe, bila ada duit akak bayar sikit-sikit, lagipun kita dah kenal lama, rumah akak pun saya tahu."

Wanita itu masih menangis, membungkam.

Kepada para sahabat sekalian. Berhati-hatilah sewaktu mengeluarkan wang dalam jumlah yang banyak dari bank, khususnya kaum wanita.

Kejadian PUKAU, atau SIHIR boleh berlaku pada bila-bila masa.

Sebenarnya dalam Islam, terlalu banyak ayat yang boleh dijadikan pendinding. Bagi mengelakkan sebarang bencana.

Ada satu ayat yang saya amalkan selama ini. Ayatnya pendek, mudah dibaca, ringkas. Boleh dijadikan zikir.

Saya akan baca setiap kali hendak keluar rumah, tidak kira atas tujuan apa sekalipun. Dan tidak kira, samada saya hendak berjalan jauh atau dekat.

.
.

Ayatnya berbunyi. Ini saya tulis dalam Romanise.

Bismillah hillazi la yadurru ma'as mihi syai'un fil'ardhi wala fiss sama iwahuas sami'ul 'alim.

Maksudnya: Dengan nama Allah, yang tidak memberikan mudarat sesuatu di bumi juga di langit dan DIA Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

# Ayat atau doa ini terdapat dalam kitab Al Ma'thurat.
.
.

Ini kisah sejarah. Hasil dari satu amalan yang sedikit tetapi istiqamah.

Berlaku diawal tahun 80'an.

Seorang jiran kampong (Gunung Semanggol), telah pergi ke Amerika Syarikat atas tujuan bisnes.

Satu hari, beliau telah membuat perjalanan jauh dengan kereta, dengan ditemani isterinya.

Dalam perjalanan, mereka telah singgah di sebuah pekan kecil, untuk membeli sedikit makanan.

Si suami telah turun dari kereta, manakala isterinya tidur dalam kereta.

Tiba-tiba perut suami yang sejak beberapa jam asyik memulas, dengan tidak tertahan, beliau telah pergi ke tandas terlebih dahulu.

Sewaktu dalam tandas, beliau terdengar bunyi beberapa letupan atau tembakan.

Namun, beliau tidak berani keluar dari tandas.

Setelah agak lama, barulah dia memberanikan diri untuk keluar.

Perkara pertama yang dia buat ialah pergi ke keretanya mencari isterinya.

Alhamdulillah, isterinya selamat dan berada dalam keadaan menggigil setelah menyaksikan suatu rompakan.

Tiada kehilangan jiwa. Tetapi, beberapa orang pelanggan telah menjadi mangsa rompakan termasuk wang kedai yang telah diambil semuanya.

Saya masih ingat lagi, jiran saya itu berkata, "syukur alhamdulillah, semuanya selamat, tapi sejak itu, saya terus amalkan doa itu, ini semua bencana yang kita tak tahu bila akan jadi, kita amalkan untuk menjadi pendinding diri."

.
.

Apa sahaja yang berlaku adalah dengan IZIN NYA. Kehendak NYA. Tetapi DIA telah memberikan hadiah berupa doa kepada hamba-hamba NYA dengan sepenuh kasih sayang.

.
.

DOA adalah asbab penyerahan diri kepada ALLAH. Mohon perlindungan NYA dari sebarang bala bencana.

Apapun, apabila dibaca, kita dapat pahala.

.
.

Abang Long.
Amalkan membaca Al Mathurat. InsyaAllah.

#ADR2

No comments:

Post a Comment