Saturday, September 1, 2018

Rojak dan aiskrim.

Rojak dan aiskrim.
"Dah tak ada jodoh ..." luahnya sayu

.
.

Senang beristirahat di tepian Sungai Klang, sambil mencari ilham menulis, dan sedang saya leka memandang ke arah aliran Sungai Klang, tiba-tiba sahaja lamunan saya berkecai.

Suara seorang wanita memberi salam.

Saya menoleh, memandangnya, dan menjawab salam.

"Maaf ya mengganggu ... encik bersendirian kah?"

Saya hanya mengangguk.

"Begini, encik sudah makan? saya ada lebihan rojak, saya baru beli tadi depan tu." sambil dia menunjukkan ke arah gerai yang menjual makanan yang terletak di sepanjang laluan kecil.

Saya serba salah. Kalau diikutkan, perut saya memang lapar, tetapi mengenangkan saya dalam keadaan berpantang, saya terpaksa menolak pemberian wanita itu dengan baik.

Setelah saya menerangkan keadaan diri saya. Wanita itu mengangguk dengan rasa simpati.

Datang 2 orang kanak-kanak menghampiri kami.

"Makcik, makcik, dia tak dapat lagi."

"Oh ya ka? sebentar ya encik ..." wanita itu bergegas ke sebuah gerai menjual ais krim.

Saya terus membuang pandang semula ke arah aliran Sungai Klang yang lesu, kotor dan berkeladak.

Sekali lagi kanak-kanak itu mengejutkan saya.

"Pakcik, pakcik ... makcik tanya pakcik boleh makan ais krim tak?"

Saya terus menghantar isyarat dari jauh menyatakan ucapan terima kasih dan saya tidak boleh makan ais krim.

Kali ini, segerombolan kanak-kanak menghampiri wanita itu. Kesemuanya riang gembira mendapat ais krim.

Saya lihat, wanita itu begitu pemurah. Semuanya dibelanja makan ais krim berjenama.

Tidak lama, wanita itu sekali lagi berjalan perlahan ke arah saya.

"Encik buat bisnes on line?" tanya wanita itu dengan tersenyum.

Saya meletakkan seketika laptop di tepi.

"Er ... on line dan off line ... termasuk projek sedekah untuk orang susah." dan akhirnya saya menceritakan tentang program yang saya jalankan sejak sekian lama.

Dari perbualan ringkas itu, barulah saya tahu, rupa-rupanya wanita itu baru sahaja bercerai dengan suaminya.

"Dah tak ada jodoh ..." luahnya sayu.

Usia perkahwinan selama 15 tahun berakhir begitu sahaja.

Bagi menggembirakan hatinya yang walang. Dia sentiasa bersedekah, khususnya memberi makan kepada golongan kanak-kanak.

Sejujurnya, saya memang tidak mahu bertanya lebih lanjut kedukaannya, dan kisah hidup serta punca perceraiannya.

Dia benar-benar gembira melihat telatah dan keletah anak-anak kecil yang bermain di taman permainan itu.

Agak lama kami berbual, saya lalu memohon diri untuk pulang.

Sempat saya berpesan kepada wanita itu. "Kehidupan kita telah direncanakan sebaik mungkin oleh Allah, jangan bimbang, buat baik sesama manusia, solat dan sabar, dan kita akan terus menang."

Wanita itu hanya tersenyum dan mengetap bibirnya.

.
.

Abang Long.
Selalu bertemu dengan wanita besi.

#ADR2

No comments:

Post a Comment