Sunday, September 2, 2018

Vitamin untuk si dhaif.

"2 biji nak jadi apa?" dengus seorang jiran.

Menziarahi pesakit adalah diantara sunnah nabi yang sering mengundang pahala tidak terhitung. Tidak kira di hospital, di rumah atau di mana-mana.

Apatah lagi jika pesakit itu seperti sudah tidak ada harapan untuk hidup lebih lama.

Namun, bukan sekadar ziarah. Terdapat begitu banyak perkara yang sunnah, harus dan ada ketikanya haram dilakukan oleh orang yang melakukan ziarah.

Sewaktu saya dan seorang sahabat, sampai di sebuah rumah jiran sekampung. Kami membawa sedikit buah tangan sebagai hadiah kepada pesakit dan ahli keluarganya.

Manakala sahabat saya pula membawa wang sumbangan dari sebuah NGO.

Kedatangan kami diraikan oleh ahli keluarga pesakit.

Kami dipersilakan duduk di ruang tamu. Hanya seketika. Kemudian, kami melihat seorang wanita keluar dari bilik pesakit.

Kami terus dijemput untuk masuk ke bilik itu bagi melawat pesakit.

Antara amalan para nabi yang kami pegang. Gembirakan pesakit dan ahli keluarganya. Berikan pengharapan. Berikan hadiah. Sentuh tubuh pesakit (dengan izin). Tunjukkan simpati. Berdoa dihadapan pesakit memohon supaya diberikan kesembuhan dan meringankan beban pesakit dan ahli keluarganya.

Antara perkara yang diharuskan pula, memang banyak. Tetapi ada satu perkara yang kita agak terlepas pandang - masa.

Tidak perlu berlama. Dan tidak pula terlalu ringkas, sekadar menjengah.

Jika pesakit masih mahu tetamu yang disukainya berbual lebih lama, maka tunaikanlah hajatnya.

Tetapi jika pesakit dan ahli keluarganya menunjukkan riak seperti agak keletihan. Maka ringkaskanlah lawatan itu.

Saya serahkan hadiah berupa sebuah hamper kepada pesakit sumbangan dari para sahabat.

"Mak nak coklat tu." rengek seorang anak kecil ahli keluarga pesakit, sambil dia menunjukkan ke arah hamper.

"Eee tak malu ..." sambil si ibu menegur anak kecilnya.

"Eh, buka, bukalah ... memang nak bagi makan pada budak-budak." tegur sahabat saya.

Pesakit tersenyum memandang anaknya yang masih kecil.

Sejurus selepas mendapat coklat, si kecil terus berlari keluar.

Tiba-tiba, seorang wanita menerjah masuk.

"Leha, kau memang tak nak beli barang ni!? rugi tau, kita bukan boleh harap ubat dari hospital je ... vitamin pun kena ambil. Tak nak tak pe lah ... ni aku tinggalkan 2 biji vitamin, makan. InsyaAllah boleh sembuh."

Dan wanita itu terus mengambil 2 botol vitamin dari sebuah syarikat jualan langsung. Dimasukkan ke dalam begnya dan terus beredar.

Isteri pesakit tersenyum kelat memandang kami.

Tidak berlama, kami keluar dari bilik pesakit dan duduk pula di ruang tamu, kerana mereka telah menyediakan minuman petang.

Terdengar ada orang memberi salam. Rupa-rupanya beberapa orang dari pejabat wakil rakyat datang berziarah.

Mereka membawa bersama 2 kampit beras dan beberapa bungkusan beg berisi barangan keperluan harian.

Kami bersalaman.

Usai minum sekadarnya sahaja. Kami memohon diri untuk pulang.

Isteri pesakit dan seorang jirannya menemani kami hingga ke tempat kereta kami diletakkan di halaman rumahnya.

"Terima kasih kerana sudi datang." dan kami hanya menangguk.

"Encik, maaf ya saya nak tanya, vitamin tu, baik tak untuk pesakit? saya memang berhajat nak beli, tapi ... "

Rupa-rupanya, wanita yang mengambil semula vitamin itu ialah kakak tiri wanita itu. Dia datang hampir berselang hari. Mendesak untuk membeli vitamin yang dijualnya.

Sedangkan pesakit sudah lama tidak bekerja, isterinya hanya membuat kuih sebagai punca rezeki yang tidak seberapa. Dan mereka dalam proses menunggu keputusan bantuan zakat.

"Pengambilan vitamin memang bagus. Tetapi ... mendesak orang untuk membeli vitamin ... itu kurang bagus. Apatah lagi pesakit atau keluarganya dari kalangan orang kurang mampu." itu sahaja yang mampu saya berikan pandangan.

"2 biji nak jadi apa!?" dengus seorang jiran yang mencelah perbualan kami.

"Tadi aku masuk dalam bilik, aku nampak ada 2 biji je, apa salahnya hadiahkan sebotol. Bukannya dia tak kenal engkau, adik beradik sendiri." jirannya itu pula meluahkan rasa amarahnya.

Kami hanya mampu tersenyum.

.
.

Abang Long.
Hadiahkan senyuman kepada insan tersayang.

.
.

[Gambar lelaki yang menunggang motor adalah gambar saya. Kaver untuk buku saya yang berjudul - Aku, Dia & Rezeki. Saje nak kabo. Seronok bila ada sahabat yang nak beli buku saya. Terima kasih saya dahulukan].

No comments:

Post a Comment