Sunday, September 2, 2018

Sedekah kepada anjing.

Seorang pemuda memang benar-benar tergamam. Mulanya wajahnya pucat lesi, tetapi berakhir dengan senyuman menguntum.

"Saya sedekahkan lauk kepada anjing yang berkeliaran disitu." pemuda itu memulakan perbualan.

Lauk yang dibeli sejak pagi belum disentuh. Menjelang tengahari, pemuda itu mendapat undangan dari rakan sepejabat untuk menikmati jamuan meraikan majlis perpisahan ketua pejabat.

Hampir petang, barulah disedari lauk yang dibeli masih ada dalam bakul motor.

Hendak dimakan perut sudah kenyang. Bila dibau, sah lauk itu sudah basi.

Terpandang beberapa ekor anjing yang berkeliaran disitu. Terus sahaja dibuka bungkusan dan dicampakkan kepada anjing-anjing yang menunggu rezeki mereka.

Bayangkan lauk berisi 2 ketul ayam masak lemak.

Pemuda itu termenung seketika. Ya Allah, hari ini aku kenyang makan dengan makanan mewah. Tetapi anjing itu makan makanan yang sudah basi.

Motor di parkir di hujung bangunan dalam kawasan yang amat luas. Topi keledar diambil. Dan pemuda itu terus beredar, masuk ke dalam bangunan tempat kerjanya.

Kerja, tidur, mandi selama 2 hari dalam bangunan yang sama. Membaiki sistem internet untuk sebuah syarikat.

Masuk hari ke tiga. Kami bertemu di kantin dalam bangunan yang sama. Duduk semeja kerana pemuda itu hendak memberikan sumbangan kepada program dadih.

Sedang enak menikmati minuman petang. Telefon bimbit saya berbunyi. Saya keluarkan telefon bimbit dari dalam poket seluar.

Usai berbual ringkas dan menamatkan perbualan. Saya keluarkan kunci motor untuk memasukkan telefon bimbit ke dalam poket seluar.

Waktu itulah, mata pemuda terbeliak seperti hendak terkeluar dari mata.

Wajahnya pucat. Bibirnya terketar-ketar. Dia kelihatan begitu cemas.

Dan tangannya meraba-raba poket seluar dan beg sandangnya.

"Bang, tunggu sini sat! saya nak naik ke atas nak cari kunci motor."

Sepantas kilat dia berlari naik ke pejabat.

Hampir 10 minit. Sekali lagi dia datang ke meja makan kami. Dia berdiri dan cuba mengingati sesuatu.

"Kamu dah cari di motor kamu?" saya memberikan cadangan.

Sekali lagi, sepantas kilat dia berlari keluar dari bangunan.

Tidak sampai 10 minit. Pemuda itu datang dan terus terduduk di kerusi.

"Ha, jumpa tak!?"

Dia menunjukkan kunci motornya.

Dia menggelengkan kepala.

"3 hari saya disini ... saya tak ingat langsung yang saya tak cabut kunci di motor!" dia meraup wajahnya kelegaan yang teramat sangat.

"Nasib baik tak hilang ..." saya tersenyum memandangnya.

"Abang tau tak, ada 2 ekor anjing duduk dekat motor saya. Bila saya datang, dua-dua ekor terus pergi dan menghilangkan diri. Saya memang tergamam, bila saya tengok kunci motor saya ada di motor."

Saya memandang pemuda itu dengan penuh kesyukuran.

"Itu saya tak hairan, paling saya tak percaya, bila Pengawal Keselamatan cakap, lain kali jangan bawa anjing ke kawasan itu. Tiap kali ada orang datang dekat motor saya, anjing -anjing itu menyalak kuat."

.

.

Abang Long.
Bersedekah Kunci Pembuka Rezeki.

.
.
Program - Juadah DADIH Untuk Berbuka Bagi Golongan Asnaf - fakir, miskin, gelandangan, anak-anak yatim, ibu tunggal yang susah, kini telah masuk tahun ke - 7.

No comments:

Post a Comment