Saturday, September 1, 2018

Rezeki Dadih.

Rezeki dadih.
"Terima kasih abang long ..." kalau itu yang boleh diucapkannya.

.
.

Saya memang terlupa dengan amaran sebelum ini. Kawasan itu ada 'abang long kawasan' yang menjaganya.

Sewaktu pergi mencari rumah pelanggan yang membuat pesanan dadih, saya melaluinya jalan itu dengan aman.

Setelah menyerahkan sekotak dadih ke rumah pelanggan, dan berbual seketika, saya terus menghidupkan motor untuk ke sebuah rumah terakhir.

Pelanggan terakhir hanya memesan 20 cawan dadih sahaja. Maka, saya meletakkan cawan dadih di dalam beg plastik besar dan di letakkan dalam raga motor.

Tidak sampai 50 meter bergerak.

Dada saya berdegup laju.

Saya berhadapan dengan musibah besar,

Tiada jalan alternatif.

Itu sahaja jalan yang ada dan saya perlu tempuhi.

Terus teringat sebuah zikir pembenteng diri.

'Musuh' dihadapan saya agak banyak.

6 ekor anjing, yang saiznya memang gedabak!

Saya bergerak perlahan kearah anjing-anjing itu.

Anjing-anjing itu juga bergerak ke arah saya.

Terasa seperti hendak bertempur dalam sebuah peperangan.

Fikiran saya ligat memikirkan pelbagai strategi atau taktik yang boleh saya gunakan untuk memenangi 'peperangan' itu.

Saya hanya berdoa semoga saya tidak pengsan. Cukuplah sekali saya trauma hingga hampir menempuh maut.

Saya pandang sekeliling. Tiada sesiapa yang saya boleh mohon bantuan.

Saya pandang dalam raga motor.

Mata saya terus membuntang.

"Inilah peluang!" bisik hati saya dengan gembira.

Saya buka pengikat plastik. Saya ambil secawan dadih.

Dan dengan kalimah Basmallah, saya terus membaling dadih itu ke dalam kawasan belukar berhampiran.

2 ekor anjing berlari berkejaran ke arah belukar.

Saya buang secawan lagi dadih. 4 ekor anjing berkejaran mendapatkan dadih yang saya buang ke dalam belukar.

Dan inilah peluang. Saya terus memecut motor selaju-lajunya.

Agak jauh juga. Saya berhenti. Saya menoleh ke arah anjing-anjing itu semula.

Beberapa ekor menyalak ke arah saya.

"Terima kasih abang long ..." kalau itu yang boleh diucapkan oleh anjing-anjing itu.

Tetapi kalau anjing-anjing itu boleh bercakap bahasa kita, harus saya pengsan.

.
.

Abang Long.
Setiap makhluk ada rezeki masing-masing.

#ADR2

No comments:

Post a Comment