Sunday, September 2, 2018

Maruah Ibu.

"Adik mati baru tau!" Si ibu terkejut. Orang ramai tergamam. Saya terkedu.

Sewaktu saya sampai di hadapan Pejabat Lembaga Zakat, kelihatan orang ramai telah memenuhi ruang menunggu.

Hari ini ialah hari yang menggembirakan dan penuh kesyukuran bagi golongan penerima zakat.

Lembaga Zakat menyerahkan sumbangan - Bantuan Ramadhan & Hari Raya kepada golongan asnaf.

Setelah meletakkan kotak dadih di hadapan pejabat. Saya terus mengambil nombor giliran.

Tiket nombor giliran diambil. Saya melihat nombor tiket dan nombor yang tertera pada skrin. "Jauhnya nombor aku ..." saya hanya tersenyum.

Suasana hening di dalam ruang menunggu itu sesekali dipecahkan oleh suara rengekan seorang anak kecil.

"Mama, adik lapar ..."

Si ibu hanya menunjukkan jari telunjuk di bibir, isyarat supaya anaknya diam.

Selang beberapa minit.

"Mama, adik lapar ..." si kecil terus merengek.

Si ibu menbatukan diri.

Tiba-tiba anaknya menjerit.

"Mama, adik lapar ... mama tak sayang adik ... adik mati baru tau!"

Si ibu terkejut. Orang ramai tergamam. Saya terkedu.

Si ibu sudah tidak keruan. Mana satu hendak menunggu nombor giliran. Mana satu hendak melayan karenah si kecil.

Akhirnya, si ibu bingkas bangun dan menarik anak kecilnya keluar.

Tidak sempat mereka hendak melangkah keluar dari pejabat zakat itu. Saya terus menahan mereka.

"Puan, puan ... nah ..." sambil saya menghulurkan dadih kepada mereka.

Entah dari mana datangnya kekuatan. Dan mungkin akibat sudah hilang rasa malu. Si ibu enggan menerima dadih yang saya hulurkan.

"Tak pe, tak pe ... saya tak bawa duit!"

Saya berikan kepada anak kecilnya. "Dadih ini sumbangan orang ramai ... percuma!"

"Oh, dadih tu percuma!?" sahut seorang pengawal keselamatan yang bertugas.

Saya mengangguk.

Tiba-tiba saya pula yang tergamam.

Kali ini, orang ramai yang sedang menunggu terus bangun dan meluru ke arah saya untuk mengambil dadih.

"Abang, akak ... boleh ambil seorang 2 cawan sahaja ya ...!"

Pegawai zakat yang sedang bertugas hanya tersenyum memandang dari kejauhan.

Sekelip mata, sekotak penuh dadih telah habis. Tinggal kotak kosong.

Tiba-tiba datang seorang lelaki buta dengan bertongkat.

"Dadih ada lagi tak?"

Saya terkedu, tidak mampu menjawab. Saya hanya memandang sekeliling.

.
.
.

Saya bagi pihak keluarga ingin mengucapkan TERIMA KASIH kepada Lembaga Zakat Selangor atas sumbangan hari raya.

TERIMA KASIH juga kepada seluruh umat Islam yang menunaikan tanggungjawab menyempurnakan kewajipan berzakat.

.
.
.
Abang Long.
Gigih mengusung kotak dadih dengan motor.

No comments:

Post a Comment