Sunday, September 2, 2018

Cakoi.

"Cakoi? tengah malam-malam buta ni!?" seorang lelaki terus menggaru-garu kepalanya dalam kebingungan.

Sebuah keluarga sedang enak menjamu selera di sebuah restoran. Gelak ketawa sambil menikmati makan malam.

Meja makan kami bersebelahan.

Saya dan beberapa orang sahabat pula leka menonton perlawanan bola sepak luar negara.

Sesekali kami melayan telefon pintar masing-masing.

Telefon bimbit di meja sebelah berbunyi. Salam dijawab.

Hanya terdengar kalimah. "Baik, baik, abang cari."

Suasana di meja sebelah yang tadinya riuh dengan gelak ketawa, kini masing-masing diam membisu.

"Macam mana bang?" si isteri juga telah mula resah.

Lelaki itu cuba sedaya upaya untuk bertenang.

Tiba-tiba mata kami bertentang.

Dan lelaki itu terus melemparkan senyuman. Saya membalas senyumannya dan sedikit mengangguk.

"Tuan ... maaf ya mengganggu." lelaki itu menyapa kami yang sedang berbual santai sambil menonton tv.

Kami memandang lelaki itu dengan seribu persoalan.

"Begini, saya sebenarnya nak cari cakoi... tapi kami tak biasa dengan tempat ini."

"Cakoi?" kami bertanya serentak. Selepas itu kami pula berpandangan sesama sendiri.

"Tuan dari mana dan cakoi itu untuk siapa?" sahabat saya bertanya kerana kami semua masih kehairanan.

Ya Allah. Rupa-rupanya lelaki itu dan keluarganya dalam perjalanan pulang ke Melaka. Singgah di Shah Alam untuk makan malam.

Mereka dari Ipoh, menziarahi ibu tua yang sedang uzur, dan berada dalam wad. Kata lelaki itu, ibunya telah beberapa hari tidak lalu makan.

"Sejak petang tadi, adik saya kata ibu saya berulang kali cakap nak makan cakoi, saya bimbang ..." lelaki itu mengeluh dan tidak dapat menghabiskan ayat itu.

"Cakoi? tengah malam-malam buta ni!?" kami pula merasa simpati yang teramat sangat.

Masing-masing ligat memikirkan dimana hendak mencari cakoi di malam-malam begini.

"Dik!" sahabat saya memanggil pelayan restoran.

"Adik tahu tak dimana ada orang jual cakoi?"

"Sekarang tak pasti encik ... tapi ada pasar malam dekat rumah saya, kalau nasib baik ..."

Tidak sempat pelayan restoran itu menghabiskan ayatnya. Tiba-tiba lelaki itu terus mengajaknya keluar mencari cakoi.

Lelaki itu terus menemui tauke restoran dan memohon simpati darinya.

Tauke restoran memberikan kebenaran.

Lelaki itu terus mengajak pelayan restoran itu untuk segera mendapatkan cakoi yang dihajati oleh ibunya.

Kereta mengaum pergi.

Tidak sampai setengah jam. Mereka kembali semula.

Wajah lelaki itu agak tegang namun masih mampu menzahirkan senyuman.

"Alhamdulillah, nasib baik ada ... Terima kasih ya tuan-tuan semua ... maaf kepala saya hampir nak pecah dah, letih usah cerita ...."

Dan lelaki itu terus menemui tauke dan membuat pembayaran.

Segera dia mendatangi kami dan bersalaman, sambil terus mengucapkan terima kasih berulang-kali.

"Jadi .. ini tuan nak ke Ipoh semula?" tanya sahabat saya.

"Ya!" jawabnya ringkas.

"Apapun, berhati-hati ya tuan." saya meninggalkan pesan sekadar mengingatkan agar lebih berhati-hati memandu diwaktu malam.

Dan lelaki itu menunjukkan isyarat bagus kepada kami.

Kereta mengaum dan berlalu pergi.

Ya Allah. Selamatkanlah perjalanan hamba MU itu. Dia taat kepada ibunya.

"Dik, kira dik!" laung sahabat saya, memanggil pelayan untuk membuat kiraan.

"Encik, tauke saya kata, lelaki tadi dah bayarkan semua." jawab pelayan itu dengan tersenyum.

"Oh, ya ka ?... alhamdulillah."

Kami terfikir, apa yang kami tolong lelaki itu ?
.
.

Abang Long.
Mak saya paling suka putu bambu. Nasib baik saya ingat makanan kesukaannya.

.
.

Buku dibawah saya yang tulis. Terasa malu pula nak promo.

No comments:

Post a Comment