Saturday, September 1, 2018

Cermin Sisi Ramadan 001

Cermin Sisi Ramadan 001
"12 km tu!" saya bergumam beberapa hari.

.
.

Meter motor saya sudah lama rosak, jadi kerap kali saya tidak tahu berapa jauh saya menunggang.

Sepanjang bulan Ramadan yang lalu, saya sendiri tidak tahu, sudah berapa km saya menunggang untuk menghantar dadih ke rumah-rumah anak-anak yatim, fakir miskin, gelandangan, madrasah tahfiz dan sebagainya.

Yang saya tahu, setiap kali sampai rumah, terus tumbang, keletihan yang teramat sangat.

AMANAH mesti diuruskan sebaiknya.

Satu hari, saya menghantar dadih ke beberapa buah rumah dalam kawasan Telok Gong.

Bila sampai, saya melihat keadaan rumah yang amat dhaif. Maaf, sejujurnya saya menyangka yang rumah itu ialah pondok buruk dan tiada penghuni.

Tetapi dari rekod yang saya ada. Alamat dan lokasi rumah itu memang betul. Tiada keraguan.

Rupanya sangkaan saya memang betul. Pondok buruk itu telah lama ditinggalkan. Penghuninya telah berpindah ke bahagian belakang.

Sebuah rumah baru telah dibina oleh Lembaga Zakat Selangor.

Dipendekkan kisah. Wanita itu ialah seorang ibu tunggal dan mempunyai 3 orang anak.

"Encik ni dari Lembaga Zakat kah?" tanya wanita itu yang kelihatan sedikit perasaan takut.

Saya menerangkan kepada wanita itu tentang Program Sedekah Juadah Berbuka.

"Ye ke Ya Allah, ye ke Ya Allah ..." itu sahaja perkataan yang terluah dari mulut wanita itu.

Kelihatan wanita itu sungguh terharu. Sesekali dia menyeka air matanya.

"Ya Allah, murahkanlah rezeki orang yang memberi sumbangan ini..." wanita itu terus menadah tangan memohon kepada Allah.

Sebelum saya bergerak pergi. Tiba-tiba wanita itu merayu sesuatu dari saya.

"Encik, tuan ... saya nak merayu, kalau boleh, boleh tak encik hantarkan dadih, 3 cawan pun cukup, minggu depan, mak saya datang dari jauh."

Saya hanya menjawab "InsyaAllah." Dan saya terus beredar.

Dalam perjalanan pulang. Saya terpandang papan tanda di tepi lebuh raya.

- Klang - 15km -.

"Ya Allah, jauhnya!" baru saya perasan, kalau Klang 15, bermakna, rumah saya 12 km lagi ... jauhnya aku menunggang!"

Tiba-tiba timbul penyesalan. Saya termenung memikirkan yang saya terpaksa menghantar 3 cawan dadih ke rumah wanita itu yang jauhnya 12 km!

Berhari-hari saya termenung.

Nak hantar, tak hantar, nak hantar, tak hantar.

Sungguh galau saya memikirkannya.

Tiba hari yang dinantikan. Saya mengambil keputusan untuk menghantar dadih itu - 3 cawan.

Ya Allah. Jika atas sedikit amal ku ini. ENGKAU terima. Aku mohon kepada MU. Mudahkanlah aku untuk mendapatkan syurga MU.

Demi ALLAH. Hari itu memang sungguh memenatkan, perit, suhunya membahang, jalannya berdebu.

Sebaik tiba di rumah wanita itu. Saya tergamam. Rupa-rupanya ibunya lumpuh akibat strok. Duduk diatas kerusi roda.

"Encik ... ya Allah!" tiba-tiba wanita itu menjerit dari belakang saya.

Saya terkejut bukan kepalang.

"Encik, dadih tu memang sedap sangat!!!"

Wanita itu tertawa riang.

Ibunya hanya memandang tanpa bersuara.

Setelah berbual ala kadar, saya terus memohon diri untuk pulang.

Selesai satu tugasan dan AMANAH yang begitu berat.

Tiba di rumah. Suara saya hilang dek kepanasan yang melampau.

Ramadan telah berlalu.

.
.

Anak saya pula sedang menunggu keputusan untuk memasuki Giat MARA dalam bidang - Bakeri.

Setelah Syawal menjelma. Tiada langsung perkhabaran dari Giat MARA.

Sejujurnya, kami sekeluarga amat amat amat mengharapkan semoga permohonan untuk memasuki Giat MARA diluluskan dan diterima.

Saya menghubungi Giat MARA. Keputusannya, mereka telah mengambil semua pelajar yang lulus ujian dan kuota telah mencukupi.

Anak saya tiada dalam senarai.

Memang terasa hampa yang teramat sangat.

Saya telah bercadang untuk berjumpa dengan Pengarah Giat MARA untuk membuat rayuan.

Usai solat Isyak, saya merayu. Ya ALLAH, jika ada satu kebaikan yang ENGKAU terima, maka permudahkanlah urusan ku Ya ALLAH.

Sepanjang malam, saya hanya BERISTIGHFAR dan BERSELAWAT.

Saya terlelap diatas sejadah.

Sebelum azan Subuh berkumandang. Saya terjaga setelah saya mendengar sms.

"Sms pagi-pagi buta!?"

Apabila saya membuka isi kandungan sms, saya hampir menjerit.

YA ALLAH. Terus sahaja saya sujud syukur.

.
.

Abang Long.
Lakukanlah dengan IKHLAS.

#ADR2
#CerminSisiRamadan
#PerangiPlagiat

No comments:

Post a Comment