Sunday, September 2, 2018

Si Gila yang pembersih.

"Kasihan orang tua tu ..." sambil kami memandang seorang tua gelandangan.

Sewaktu saya sedang menunggu saudara saya sampai. Saya menikmati pemandangan indah suasana dan kedamaian Bandar Taiping.

Tenang dan santai, saya duduk di bangku panjang di sebuah hentian bas, di hadapan Hospital Taiping kerana bertemu dengan seorang sahabat yang bertugas disitu.

Sungguh bersih hentian bas itu. Bersih dari sebarang kekotoran. Langsung tidak ada sampah sarap, hatta sampah paling kecil sekalipun.

Pokok bunga yang ditanam dan dipelihara merimbun dan menyegarkan mata memandang.

Namun, keadaan yang bersih dan cantik sebegitu dicemari dengan kehadiran seorang gelandangan.

Seorang tua yang berbaring, kepalanya berlapikkan lengan. Dia berbaring di atas sebuah bangku panjang yang di perbuat dari simen konkrit.

Disisinya ada sebotol air minuman dan sebotol ubat, mungkin ubat batuk.

Rasa kasihan pun ada, rasa jelik pun ada.

Apabila dia sedar yang saya duduk dihujung bangku panjang itu, terus sahaja dia duduk, sambil terbatuk-batuk.

Seketika kami memandang satu sama lain. Saya melihatnya dengan rasa loya. Apatah lagi dengan pakaiannya yang berbau.

Tetapi dia memandang saya dengan senyuman.

Sejurus saya keluarkan botol air minuman dari dalam beg plastik kecil. Meneguk sehingga habis dek kepanasan.

Setelah habis, saya terus mencampakkan botol plastik kosong itu ke arah tong sampah.

Namun, teknik kurang berjaya. Botol plastik itu tersasar. Langsung tercampak jauh dari tong sampah.

Ah, saya biarkan botol plastik itu

Saya terpandang gelandangan tua itu. Kali ini dia memandang saya dengan pandangan tajam.

Ah, saya tidak peduli dengan renungan tajamnya.

Tiab-tiba.

Gelandangan tua itu bangun berdiri dan bercakap serta membebel seorang diri.

"Oh, orang gila rupanya." gumam saya sendirian.

Gelandangan tua itu berjalan dan mengutip botol plastik yang saya campak tadi.

Lalu dia memasukkan botol plastik itu ke dalam tong sampah.

Dia duduk semula ditempatnya, dan terus bercakap seorang diri.

Kali ini saya tidak mahu memandangnya lagi.

Dia pengotor atau aku yang pengotor ?
Dia gila, atau aku yang gila ?

Sungguh saya tidak keruan waktu itu.

Selama saya berurusan memberi makan kepada golongan gelandangan. Mereka sentiasa diasuh dan dibimbing agar tidak mengotorkan tempat makan dan tempat tinggal mereka.

Tiba-tiba terdengar bunyi hon yang agak kuat. Menyedarkan saya dari sebuah lamunan.

Rupa-rupanya, saudara saya telah tiba dengan kereta untuk mengambil saya.

Tidak sempat saya hendak masuk ke dalam kereta. Saudara saya terus menghulurkan wang.

"Pi bagi kat dia." sambil menunjukkan ke arah gelandangan tua itu.

Dan saya tergesa-gesa menyerahkan wang itu kepada gelandangan tua itu.

Tetapi kali ini saya tidak mampu memandang wajahnya mahupun bertentang mata dengan gelandangan tua itu.

MALU !

Sebaik masuk ke dalam kereta. Saudara saya meluahkan rasa simpatinya kepada gelandangan tua itu.

"Kasihan orang tua tu ..." sambil kami memandang orang tua gelandangan itu dari jauh.

.
.

Abang Long.
Apa kisah gelandangan, Ramadan ini ? apa juadah mereka untuk berbuka dan bersahur ?

No comments:

Post a Comment