Saturday, September 1, 2018

Didikan halus.

Didikan halus.
"Ambillah ..." bebola mata bersinar.

.
.

Kami berlima duduk di set kerusi sofa yang mewah. Menghadap sebuah meja yang di penuhi kuih muih dan coklat mewah.

Sambil menikmati air perahan jus oren yang sungguh menyegarkan

Seorang kanak-kanak berusia 5 tahun, duduk di atas riba ayahnya.

Si kecil itu mengambil sekeping coklat yang terisi di dalam balang.

Dibukanya pembungkus plastik coklat. Dimasukkan isinya ke dalam mulutnya. Menikmati keenakan coklat itu dengan kunyahan yang amat perlahan.

Bekas plastik dimasukkan ke dalam saku baju Melayunya.

Saya tersenyum memandangnya.

Sungguh tertib, beradab dan tahu menjaga kebersihan.

Kami, tetamu dewasa terus berbual, bergurau dan saling bersilatur rahim.

Sejurus, si kecil itu mengambil lagi coklat di dalam balang.

Perkara yang sama dilakukannya penuh tertib.

Seolah-olah dia berada didunianya sendiri. Menikmati makanan kegemaran kanak-kanak, dan langsung tidak mengganggu perbualan ayahnya,

Tiba-tiba.

Kali ini dia menjenguk balang coklat itu. Dia terhenti. Dia berpatah balik, duduk di atas riba ayahnya.

Dia memandang balang kaca itu.

Sewaktu saya mengambil kuih yang disediakan di atas meja. Sekaligus saya memandang balang kaca itu.

Ya. Tinggal sekeping sahaja coklat di dalam balang itu.

"Budak ini hebat!" saya berbisik sendirian.

Lama kami berbual. Dan setiap kali saya memandangnya. Si kecil itu masih memandang balang kaca itu dengan segala harapan.

Tiba-tiba.

Seorang lelaki tua mengambil coklat dari dalam balang kaca itu. Dikeluarkan coklat. Dibeleknya coklat itu.

Lelaki tu itu memandang kanak-kanak itu dengan senyuman.

"Nah, ambillah..." sambil dia menghulurkan kepingan coklat terakhir itu kepada kanak-kanak itu.

Si kecil itu memalingkan wajahnya, melihat ayahnya.

"Ambil coklat tu, atuk dah bagi ..." kata ayahnya lembut.

Si kecil mengambil coklat itu dengan wajah ceria. Bebola matanya bersinar. Kegembiraan tidak terperi.

"Terima kasih tok."

Si kecil gembira. Si atuk bahagia.

.
.

Abang Long.
Pemberian kecil. Ganjarannya besar.

#ADR2

No comments:

Post a Comment