Saturday, September 1, 2018

Jiran tetangga adalah saudara terdekat.

Jiran tetangga adalah saudara terdekat.
"dah 87, lepaih tu ... aku ..." kami memandangnya dengan terkebil-kebil.

.
.

Hari raya ke 2. Dengan 3 buah kereta. Kami menuju ke Kampong Beng, dalam darah Lenggong, Kuala Kangsar, Perak.

Rumah ayah saudara, iaitu abang sulung kepada mak saya.

Dari Taiping, kami melalui: Changkat Jering - Lubuk Merbau - Kuak - Kati - Tasek Raban dan Kampong Beng.

Sebuah perkampungan di tepi lereng bukit dalam jajaran Banjaran Titiwangsa.

Hanya ada 23 buah rumah dalam perkampungan itu.

Aman, damai dan begitu tenang suasana sekitarnya.

Disebabkan ayah saudara tinggal kesorangan pada hari itu, kerana anak menantunya beraya di rumah mentua.

Maka, mak dan saudara perempuan memasak nasi dan menyiapkan segala lauk-pauk untuk makan tengahari.

Sedang berbual rancak dengan ayah saudara yang dipanggil Pak Long.

Cucu-cucu saudara ternganga. Mendengar celoteh Tok Long mereka.

"Fulamak!"

Apa tidaknya. Pak Long menghafal setiap nama ahli keluarga dan pekerjaan jiran-jirannya.

"Tok Imam surau tu nama dia Salleh Raad, asal dari Jeniang, Kedah. Dah 76 tahun, gagah lagi pi menoreh, anak-anak dia ada yang tinggal di Taiping, Bandar Kuala Kangsar, seorang duk di Cheras. Isteri dia nama Fatimah Said, asal orang sini, cucu baru sorang, selalu cucu dia mai sini, dia suka tengok aku dok hisap curut ...hhehehe." panjang lebar Pak Long menceritakan kisah tuan Imam di kampong itu.

Seorang cucunya mencelah. "Tok Long, siapa paling tua dalam kampong ni?"

Pak Long menyedut curutnya beberapa kali. Menghembusnya dengan penuh nikmat.

"Wan Napiah, dia paling tua, dah 87, lepaih tu ... aku ..."

Semua ternganga mendengar pendedahan Pak Long.

Timbul idea untuk menguji ingatan Pak Long. Pak Long sebenarnya berasal dari Gunung Semanggol. "Pak Long, kenai tak dengan Mizi, ketua Kampong Gunung Semanggol."

"Apa tak kenai pulak, dia sama kelas perkayuan dengan aku"

Dan Pak Long menceritakan setiap rumah di Gunung Semanggol dari rumah pertama sehingga rumah terakhir yang terletak di Kampong Dew atau orang kampong panggil Kampong Sungai Perikan.

Hari itu, kami semua makan tenghari dengan begitu berselera sekali.

Tahap pelahap. Mentedarah tak ingat dunia.

Menunya ?

Nasi kosong. Sambal belacan. Ikan sardin goreng. Timun. Udang masak lemak.

Sewaktu pulang. Anak saya memuji ingatan Tok Long mereka.

"Itulah hebatnya orang dulu, kenal dengan jiran tetangga, kita hari ini, jiran sebelah rumah pun ada yang tak kenal."

Semuanya diam.

"Ada siapa yang kenal dengan Ketua Kampong kita?" tanya saya lagi.

Suasana sepi.

.
.

Abang Long.
Jiran kita 40 rumah keliling kita.

No comments:

Post a Comment