Saturday, September 1, 2018

Gembirakan tetamu. Bahagiakan tuan rumah.

Gembirakan tetamu. Bahagiakan tuan rumah.
"Iman, Ehsan sayang .." lembut tapi tegas nada suara seorang ibu muda.

.
.

Saya senyum, dan ada ketikanya tertawa sendirian membaca segala corat-coret di FB.

Banyak tips berhari raya yang dikongsi oleh warga FB.

Yang pasti, semuanya menuju kepada kesempurnaan. Bagus.

Ada yang memberikan komentar dengan berlapik.
Ada yang memberikan komentar dengan bahasa kiasan.
Ada yang memberikan komentar dengan bahasa sindiran.
Dan,
Tidak kurang juga yang memberikan komentar dengan begitu beremosi.

Saya baca semuanya. Semuanya ada pendapat masing-masing.

Dalam kesemua tips yang diberikan, saya dapati tips untuk memberikan didikan, bimbingan dan kawal selia anak-anak supaya beradab sewaktu berkunjung ziarah adalah yang paling banyak.

Saya secara jujur mengaku, memang saya tidak pandai memberikan sebarang tips.

Malahan saya memang tidak ada ilmu dalam menyampaikan teguran atau panduan berkenaan tips penjagaan anak-anak.

Walaupun hakikatnya, saya mempunyai 5 orang anak, yang masih kecil dan ada yang sudah remaja.

Cara kami adalah amat tradisional.

Ini bukan tunjuk ajar, tetapi sekadar suatu perkongsian pengalaman.

-
-
Sebelum keluar rumah, kami akan memberikan AMARAN kepada anak-anak:

Salam cium tangan. Kucup tangan orang tua dengan mulut, bukan 'tanduk' dengan dahi.

Duduk diam-diam, jangan masuk ke dalam bilik orang. Walaupun anak-anak tuan rumah panggil masuk.

Bila orang tanya, jawab dengan beradab. Jangan gelak-gelak.

Bila orang suruh minum, minum sikit-sikit, jangan teguk macam orang minum arak.

Bila orang bagi duit raya, ambil, ucap terima kasih. Sampul duit raya terus masukkan dalam kocek. Jangan buka depan tuan rumah!

Jangan berlari-lari, jangan berkejar-kejar dalam rumah orang.

Bila nak makan, ambil sikit-sikit, jangan buruk perangai nampak macam orang kebulur.

Kalau masakan tuan rumah sedap, cakap sedap. Tapi kalau tak sedap, sebut alhamdulillah dan senyum.

.
.

Sewaktu saya berkunjung ke rumah salah seorang jiran. Saya melihat 2 orang kanak-kanak sedang leka bermain alat permainan dari gajet masing-masing.

Manakala beberapa orang kanak-kanak lain mengelilingi mereka.

Saya tidak kenal dengan ibu bapa mereka.

Saya terus bersalaman dengan tuan rumah, dan kami bertanya khabar dan berbual mesra.

Terdengar pertengkaran kecil. Rupa-rupanya 2 orang kanak-kanak itu mungkin merasa terganggu untuk bermain dek gangguan dari kanak-kanak lain yang turut teruja melihat permainan itu.

Orang dewasa dalam rumah itu hanya memerhati.

Seorang wanita menegur anaknya. "Faris, jangan kacau orang nak main ... kan itu orang punya."

Si anak segera mendapatkan ibunya. "Mama, nanti dapat duit raya, Faris nak beli macam tu ..." sambil dia menunjukkan ke arah kanak-kanak yang bermain dengan gajet itu.

Si ibu diam membisu sambil menggosok bahu anaknya.

Kedengaran sebuah kereta tiba.

Sejurus, kedengaran seseorang memberi salam. Masuk sepasang suami isteri.

Kami bersalaman dan saling mengucapkan selamat hari raya.

Tiba-tiba wanita itu menegur kedua-dua anaknya. "Iman, Ehsan sayang ... give that things to me." Wanita itu mengarahkan kedua-dua anaknya menyerahkan gajet itu kepadanya.

Suaranya begitu lembut tetapi tegas. Wajahnya tersenyum.

Setelah anak-anaknya menyerahkan alat permainan itu. Wanita itu segera menyuruh anaknya duduk di luar rumah.

"Hari ini hari raya, Iman dan Ehsan duduk berbual dengan kawan-kawan di luar ... main dengan dia orang. Balik rumah nanti main puas-puas."

Kedua-dua anaknya akur dengan nasihat dari ibunya.

Agak lama tetamu yang berada di dalam rumah itu mendiamkan diri. Melihat bagaimana seorang ibu mendidik anaknya dengan begitu baik sekali.

"Kenapa dia ni?" sakit ?" tanya wanita itu kepada si ibu yang anaknya mahukan gajet itu.

Melihat kanak-kanak itu terbaring di riba ibunya.

"Emmm. tak adalah. Dia merajuk sebab tak dapat main benda tu .. berapa harga mainan tu?" tanya si ibu kepada wanita dua anak itu.

Wanita itu tidak menjawab. Tetapi hanya membelai tubuh si kecil yang sedang tidur di riba ibunya.

Lantas dikeluarkan alat permainan itu dan diberikan kepada si ibu itu.

"Nah, bagi pada dia ... saya dah pening, mainan banyak sangat di rumah. Kesian dia ni ha ..." sambil mereka berdua melihat si anak kecil yang terlelap kerana merajuk.

.
.

Abang Long.
Fahami perasaan si kecil.

#ADR2

No comments:

Post a Comment