Saturday, September 1, 2018

Insaf kerana sago.

Insaf kerana sago.
"Harga cekik darah!" Azelia terus berlalu.

.
.

Kerana sekeping kad bisnes, perbualan kami semakin panjang dan terbuka sebuah kisah yang menarik.

"Encik seorang penulis?" tanya gadis itu dengan riang sekali.

Saya hanya mengangguk.

Maka bermulalah sebuah kisah yang menginsafkan - kerana sebiji kuih sago.

Azelia memang seorang gadis yang sentiasa serius. Cepat panas baran. Cakap lepas. Ala-ala tomboy.

Kegemarannya setiap hari, mesti makan kuih untuk sarapan.

Ada beberapa kuih-muih tradisional yang digemarinya, tetapi paling suka dengan kuih sago.

Satu hari, dia benar-benar naik angin apabila kuih kegemarannya naik harga.

"Kuih sebesar tangan budak baru beranak ni pun 50 sen? ni dah termasuk GST ke belum, makcik?" Azelia melepaskan geramnya.

Makcik penjual kuih hanya tersenyum dihadapan ramai pelanggannya.

Kuih sago diletakkan kembali ke dalam bekas.

Azelia berlalu pergi dengan sesal dan sebal sepanjang perjalanan ke pejabatnya.

Hari itu, Azelia hanya makan biskut kering dan secawan kopi O. Sambil bersarapan ringkas, sambil dia membebel tidak berpenghujung.

Tindakannya itu mendapat teguran sinis dari rakan sepejabat yang lain.

"Az, kalau nak kuih murah, senang saja, buat sendiri, makanlah sampai satu loyang." seorang rakan sepejabat menyindirnya.

Azelia bertambah geram!

Sejak hari itu, Azelia sudah tidak lagi mengunjungi gerai Makcik itu. Dia sanggup memandu agak jauh sedikit untuk membeli kuih.

Malangnya, kuih sago yang dibelinya dari tempat lain kurang memuaskan hatinya, walaupun harganya agak murah.

Satu hari, Bosnya mengarahkan Azelia untuk menemui seorang pelanggan syarikat di sebuah restoran ternama. Arahan dipatuhi, kerana itu merupakan salah satu tugasannya sebagai pegawai bahagian pemasaran.

Sewaktu minum petang, di restoran itu, dalam deretan juadah yang disediakan, mata Azelia terbuntang luas.

Dia melihat kuih sago yang dilimpahi dengan gula Melaka.

Azelia seolah-olah bertemu dengan makanan dari syurga.

Hatinya benar-benar puas menikmati sagu gula Melaka itu. Gelagatnya itu mendapat usikan dari pelanggan syarikatnya.

"You suka makan sago?"

"Mmmm .... " jawab Azelia sambil mengunyah sago dengan perlahan. Menikmatinya dengan penuh kelazatan.

Usai berbincang, Azelia memanggil pekerja restoran, untuk membuat pembayaran.

Setelah bil ditunjukkan, Azelia terus membuat pembayaran tunai. Resitnya diambil.

Baki wang tidak diusik.

"Keep the change." sambil Azelia tersenyum memandang wajah gadis pekerja restoran yang kemudiannya tunduk hormat kepada Azelia.

"Agaknya, berapa ringgit duit tips pekerja disini dapat dalam sehari ya?" tanya pelanggan syarikatnya.

"Entah, ah gaji mereka pun bukannya besar sangat ...duit tips tu bolehlah menampung sikit-sikit sara hidup mereka" jawab Azelia acuh tak acuh.

"Macik-makcik jual kuih di kampong ... tak de pulak dapat duit lebihan ... kita bagi pun cukup-cukup je." luah pelanggannya.

Azelia sungguh terpukul dengan kata-kata pelanggan syarikatnya itu. Tetapi dia buat-buat tak tahu.

Hari Jumaat adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh Azelia. Dia pasti akan balik ke kampongnya yang hanya berjarak 2 jam perjalanan.

Kali ini dia pulang dengan satu tujuan.

Hendak belajar membuat kuih sago.

Sebaik tiba di halaman rumah. Ketika melihat emaknya sedang menjirus pokok-pokok bunga, terus sahaja Azelia menjerit.

"Mak, mak! Az nak tanya, kalau nak buat kuih sago, nak beli apa ya?"

Emaknya kehairanan. "Eh, engkau ni, kalau ya pun, turun dulu dari kereta tu, tak salam aku, lepas tu terjerit-jerit macam orang kena kejar hantu raya!"

Azelia ketawa mengekek-ngekek.

Keesokan paginya, Azelia telah memulakan tugas atau misi pertama.

Membuat kuih sago.

Azelia tidak membenarkan ibunya membantu. "Emak bagitau je, Az nak buat sendiri."

Ibunya tersenyum dengan sikap anaknya yang degil itu.

Azelia melihat ibunya memandangnya dengan satu pandangan yang amat berlainan.

"Emak, emak sakit ke?" tanya Azelia setelah meilhat ibunya tidak banyak bercakap.

Ibunya tersenyum tawar.

"Kamu buatlah sampai siap, mak tengok .."

Setelah mengacau sago agak lama, menghadap haba api yang panas, Azelia merasakan tangannya semakin lenguh.

Pinggangnya semakin tegang.

Bahunya semakin berbisa.

Barulah dia tahu, barulah dia sedar, rupanya payah hendak membuat kuih sago.

Tiba-tiba dia insaf sebab pernah meluahkan amarahnya kepada Makcik pernjual kuih. "Berapa sen lah sangat untung buat kuih, dengan penat lelah lagi ...?"

"Mak, kena kacau lagi ke ? dah likat ni!?" sambil terus mengacau sago.

Ibunya menghampiri Azelia. "Kacau lagi, ini tak cukup masak lagi ..."

"Ha??? berapa lama nak kacu ni!?" Azelia mengomel perlahan.

Peluh di dahi menitik tanpa henti dek kepanasan dapur.

Azelia memandang ke belakang, melihat ibunya yang sedang meletakkan kepala di atas meja.

Dia beralih memandang sago dalam periuk, terus mengacau.

Tidak berpuas hati, dia pandang ibunya lagi.

"Mak, oh mak ..."

Ibunya tidak menyahut.

Azelia menepuk bahu ibunya berkali-kali. Dia angkat tubuh ibunya.

"Mak!!!"

Mulut ibunya berbuih.

"Abang Long, mak menghembuskan nafas terakhirnya di meja makan, waktu ajar saya masak sago ..." ucap Azelia dalam esakan kecil.

"Rupanya, mak memang ada sakit barah otak, tapi bertahun dia rahsiakan ... kami adik-beradik, seorang pun tak tahu." hanya Tok Ketua kampong dan isteri sahaja yang tahu.

Sejak itu, Azelia telah mendapat banyak pengajaran buat dirinya.

"Arwah mak memang kuat bersedekah ... matinya pun ... Allah, mudah. Sepanjang hidup saya, saya tak pernah dengar suara mak lebih tinggi dari suara ayah kalau bercakap, mak rajin bangun malam, sembahyang ... kalau saya ... ALLAH, entahlah." Azelia membuang pandang keluar bangunan.

"Jadi sekarang cikpuan dah pandai masak sago lah?" saya mengusiknya.

Azelia menggelengkan kepala.

"Saya tak tergamak nak masak sago ... asyik terkenangkan arwah mak."

"Habis tu ... dah tak makan sago?" soal saya lagi.

Dia menarik nafas panjang.

"Sekarang saya akan makan sago yang dibuat oleh Makcik yang jual kuih .... dia jadi mak angkat saya, tiap kali ambil kuih dari makcik tu, saya akan bagi RM5, mulanya dia pelik, tapi satu hari, saya kerumahnya, dan sejak itulah dia terima saya sebagai anak angkatnya ... yang paling manja." Azelia tertawa kecil.

.
.

Abang Long.
Hargailah Penjual Kuih.

#ADR2

No comments:

Post a Comment