Saturday, September 1, 2018

Biji sensitif

Sensitif.
August 15, 2016
"Ada biji bawah buah..." kata pakcik itu dengan rasa malu.

.
.

Saya memapah sahabat saya yang sakit pinggang yang agak teruk.

Sudah beberapa hari dia mengadu sakit, akhirnya kerana tidak tahan, dia memohon pertolongan saya untuk membawanya ke hospital.

Hampir sejam menunggu, akhirnya nombor giliran kami tiba.

Kami masuk ke dalam bilik Doktor.

Seorang pakcik juga masuk serentak dengan kami.

2 orang Doktor wanita tersenyum memandang kami. Seorang Doktor Melayu, dan seorang lagi Doktor India.

Sahabat saya mendapat Doktor Melayu, manakala pakcik itu mendapat Doktor India.

Sahabat saya duduk dengan agak susah, kerana menahan sakit.

Pakcik itu pula masih berdiri. "Ya pakcik, silakan duduk." pelawa Doktor India itu dengan roman wajah yang amat manis.

"Doktor, tak ada Doktor lelaki kah?" tanya pakcik itu dengan wajah muram.

"Tak ada pakcik, kalau ada pun mungkin dalam bahagian kecemasan ... tak apa, pakcik beritahu sahaja pakcik sakit apa pada saya."

Sahabat saya dilayan dengan begitu baik oleh Doktor Melayu.

Manakala saya terus berdiri disebelah sahabat saya, tetapi telinga saya, terus mendengar perbualan pakcik dan Doktor India itu.

"Tadi bahagian kaunter kata ada Doktor lelaki." pakcik itu masih enggan duduk walaupun dipujuk oleh Doktor India itu.

"Tak apa, begini, pakcik cakap sahaja kepada saya, pakcik sakit apa." Doktor itu terus bersabar dengan karenah pakcik itu.

"Saya sakit kat bawah ... tak boleh duduk ..." jawab pakcik itu dengan suara yang bergetar.

"Bisul?" tanya Doktor India itu lagi.

"Tak ish ... kalau ada Doktor lelaki kan senang." pakcik itu terus sebal.

"Ok begini, pakcik buka seluar, separuh sahaja, kemudian pakcik baring disitu ... saya nak tengok." arah Doktor itu lagi.

Pakcik itu jelas kelihatan resah.

"Doktor ... sebenarnya, ada biji bawah buah..." akhirnya pakcik itu mendedahkan punca sakitnya.

Tidak sempat pakcik itu hendak menghabiskan ayatnya, tiba-tiba sahabat saya menahan ketawa, bahunya terangkat-angkat.

Doktor wanita Melayu yang sedang memeriksa sahabat saya juga tersenyum.

Saya pandang ke siling. Menahan ketawa.

"Mari pakcik ... " pujuk Doktor India itu dengan lemah lembut.

Pakcik itu berbaring di katil pesakit. Tirai privasi ditarik.

"Pakcik buka kaki ..." arah Doktor lagi.

"Ha!? terdengar suara pakcik itu seaakan menjerit.

"Ok pakcik ... begini, bahagian itu kena operate, kasi buang ketulan bengkak yang bernanah itu."

Tabir dibuka.

"Doktor, kalau nak operate, tolong bagi saya bius supaya saya tak sedar ..." rayu pakcik itu lagi.

"Eh, tak perlu ... tempat nak buang tu kecil sangat, tak perlu sampai tak sedar diri ... kami akan bius sahaja ..."

"Doktor, tolonglah ... saya tak nak! kalau nak buat juga, bagi saya tak sedar diri!"

Sahabat saya selesai diperiksa oleh Doktor Melayu itu.

Kami keluar dari bilik rawatan.

Dan kami tidak tahu apa yang terjadi seterusnya kepada pakcik itu.

.
.

Abang Long.
Usah biarkan warga emas keseorangan ke hospital, kesian.

No comments:

Post a Comment