Saturday, September 1, 2018

Aktif sungguh!

Aktif sungguh!
"Ini ikut perangai siapa ni?" ayat yang sungguh menghiris kalbu.
.
.

Semua orang hendak berhari raya. Apatah lagi golongan kanak-kanak.

Tetapi, ada beberapa orang sahabat saya yang berasa rendah diri untuk mengunjungi rumah sahabat dan sanak-saudara.

Alasan mereka, "kami malu ... anak-anak kami ..."

Rupa-rupanya anak-anak mereka terdiri daripada kalangan anak-anak yang amat lasak.

Saya masih ingat lagi, saya pernah berkunjung ke rumah sahabat saya. Bila saya tanya, dimana anaknya. Jawabnya, dalam bilik.

Anaknya yang begitu aktif, terpaksa dikurung sementara tetamu berada di dalam rumah.

Sejujurnya saya merasa kasihan.

Tahun ini, saya tetap menjemput sahabat saya yang mempunyai anak yang lasak ini untuk datang ke rumah saya, berhari raya.

Sebelum sahabat saya memberikan sebarang jawapan, saya terlebih dahulu meletakkan ayat - "bawa semua anak, jangan tinggalkan di rumah."

Dan, alhamdulillah. Kali ini, beberapa orang sahabat saya yang mempunyai anak-anak yang lasak, aktif dan hyperaktif ini telah datang ke rumah saya.

Hanya saya berikan arahan kepada anak-anak saya. Jaga pagar besar depan rumah. Biarkan kanak-kanak itu bermain di padang. Tengokkan mereka.

Dan saya berbual mesra dengan sahabat saya.

Sewaktu pulang. Beberapa orang sahabat melahirkan rasa gembira yang tidak terkata.

"Terima kasih, maaf kerana anak saya sepahkan rumah abang long."

Saya jawab dengan bersahaja. "No problem, itu namanya kanak-kanak, kalau bersopan santun, itu namanya pengantin."

Jawapan yang mengundang gelak ketawa dikalangan tetamu yang hadir.

Saya mendapat sebuah kisah bagaimana seorang sahabat yang telah 5 tahun tidak pulang berhari raya di kampong. Bukan tak pulang langsung, tetapi mereka hanya pulang setelah beberapa hari Syawal.

Puncanya, anak mereka terlalu aktif. Bergaduh, sepahkan barang, cawan pecah, air tumpah dan segala perbuatan yang mengundang kemarahan.

Dan sahabat saya mendapat teguran yang menghiris sanubari.

"Eh, engkau tak bawa anak kau berubat ke?. Ini ikut perangai siapa ni? keluarga kita tak ada seorang pun macam tu!"

Sejak itu, sahabat saya telah mengambil keputusan untuk tidak pulang berhari raya serentak dengan adik beradik yang lain.

Sungguh kasihan.

Hakikatnya, itu bukan kehendak mereka.

Lalu, ingatan saya terus mengenang 2 orang sahabat saya. Hampir 40 tahun yang lalu.

Mereka amat aktif, lasak, bak kata orang-orang tua - jenis tak makan saman.

Itu dulu.

Hari ini, mereka adalah usahawan berjaya. Mereka amat diperlukan oleh masyarakat.

Mereka amat mudah membantu sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongan.

Salah seorang sahabat saya itu, bertindak bagaikan lipas kudung sewaktu orang ramai sedang terkial-kial mencari dana bagi pembinaan sebuah surau dalam kawasan perumahan mereka.

Kalaulah masyarakat setempat tahu asal usul sahabat saya itu yang hyperaktif, di zaman kanak-kanak yang sering dibenci oleh sanak-saudara ?

Sewaktu kecil dibenci. Bila sudah besar, mereka dicari.

Anak adalah anugerah dari ALLAH yang wajib disyukuri.
.
.

Abang Long.
Setiap manusia pasti ada kelebihan.

#ADR2

No comments:

Post a Comment