Wednesday, January 4, 2017

ZIP yang menyeramkan.

ZIP yang menyeramkan.
.
.

Peluh halus telah mula terbit. Bulu roma telah mula terpacak. Sejujurnya saya memang sudah tidak tertahan lagi.

6 bilik, kesemuanya tertutup rapat dan berkunci.

Saya memang tidak mampu berlari lagi.

Tiba-tiba sebuah bilik terbuka. Dan dengan bersahaja saya berjalan perlahan dan masuk kedalamnya.

Baunya amat busuk.

Bahan buangan yang sedang bergelodak didalam perut sedang mengetuk-ngetuk pintu terakhir untuk menerjah keluar.

Tiba-tiba ...

ZIP seluar jem ! ZIP langsung tidak boleh ditarik kebawah.

Saya menggigil.

Terfikir untuk merentap sahaja zip seluar. Tetapi, andaikata bahagian zip itu terkoyak. Pasti saya akan lebih bertambah malu dan kemalu-maluan.

Keadaan bertambah gawat dan menyeramkan.

Cubaan terakhir. Saya rentap zip ke atas. Dan.

Zip XYZ boleh bergerak sedikit. Dan nasib saya sungguh baik.

Akhirnya, zip boleh tarik dan dilurutkan kebawah.

Hilang rasa malu. Saya terus tanggalkan seluar.

Bukan depan orang ramai.

Dalam tandas !

5 minit berlalu. Barulah saya terasa indahnya dunia. Langit cerah. Jerebu sudah berlalu.

Hanya orang lelaki sahaja yang dibenarkan untuk meninggalkan komen bagi status yang memalukan ini.

Ya, mungkin anda pernah mengalami situasi ini.

Lokasinya. Sebuah pusat membeli belah.



.
.


Abang Long.


 

Sakit dan sedekah.

Sakit dan Sedekah.
.
.

Sedang leka menunggu bas ekspres ke utara. Sahabat saya yang begitu keletihan telah duduk diatas sebuah motor yang di parkir berdekatan Terminal Bas.

Dia mengantuk yang teramat sangat sehingga terlelap. Dan dia kurang bernasib baik. Dia tergolek jatuh dan motor itu telah menindihnya.

Malang sungguh tidak berbau. Kakinya terkena paip ekzos yang panas.

Sungguh perit !

Hampir setengah jam lagi bas hendak tiba. Kakinya semakin kuat denyutan kesakitan.

Terus sahaja dia membatalkan hasrat untuk pulang ke kampong dengan bas ekspres.

Dia menuju ke kaunter tiket, untuk membuat pembatalan dan memohon pemulangan wang.

Akibat tidak mampu berdiri lama. Sahabat saya terus duduk dikerusi panjang yang disediakan untuk penumpang bas.

Sambil dia memegang betisnya yang semakin sakit. Datang seorang gadis, duduk disebelahnya. Gadis itu sedang berbual dengan seseorang melalui telefon bimbitnya.

Dari perbualan melalui telefon bimbit. Dia mengetahui yang gadis itu dalam keadaan terdesak untuk pulang ke Pulau Pinang.

Namun, tidak cukup beberapa ringgit sahaja lagi untuk membayar tambang. 

Sebaik gadis itu menamatkan panggilan. 

Sahabat saya terus bertanya kepada gadis itu. "Cik nak kemana?"

"Pulau Pinang ... er ... Butterworth." gugup si gadis menjawab.

"Kerja atau balik kampong?"

"Balik kampong, mak saya baru dimasukkan ke hospital, dia jatuh tangga dan pengsan ..." si gadis tidak mampu bercerita lagi. Hanya air mata yang terus gugur.

Tidak mahu memanjangkan sebarang soalan. Sahabat saya terus nekad untuk menyerahkan tiketnya kepada gadis itu.

"Ambil, ambil ... "

Si gadis teragak-agak untuk mengambil tiket itu.

"Allah, Allah ..." sahabat saya terus mengadu kesakitan.

"Awak kenapa ya ...?" si gadis pula yang bertanya. Musykil dengan keadaan sahabat saya.

Sahabat saya terus selak kaki seluarnya. Dan menunjukkan kesan akibat terkena ekzos motor, merah dan membengkak.

Si gadis terus mengajaknya ke klinik yang tidak jauh dari terminal itu.

Si gadis memegang tangan sahabat saya dan mereka terus ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

Sebaik tiba. Sahabat saya terus mengarahkan gadis itu segera ke terminal bas, bimbang akan terlepas untuk naik bas ekspress.

Sebaik masuk berjumpa Doktor dan lukanya dibersihkan serta diletakkan krim. Dia terus menelan ubat tahan sakit.

Sahabat saya berbual dengan Doktor. Dan mungkin kerana bahasanya, rupa-rupanya, isteri Doktor itu pun berasal dari Bukit Mertajam.

"Saya cadang nak balik tadi, tapi terpaksa dibatalkan. Tiket bas pun saya dah bagi pada orang lain ..."

"Eh, kalau begitu, apa kata kamu ikut saja kami balik, malam ini ... hanya saya dan isteri sahaja dalam kereta." Doktor itu terus menawarkan budinya.

"Eh, tak pelah Doktor ... saya ..." sahabat saya agak malu dengan tawaran Doktor itu.

"Eh, apa yang malunya ... kita sama-sama nak balik kampong, satu hala." Doktor itu terus memujuk.

Sementara menunggu klinik ditutup petang itu. Sahabat saya diberikan bilik rawatan untuk berehat dan tidur sementara.
.
.

Setelah 2 minggu berlalu. Kami bertemu, dan sahabat saya menasihatkan saya supaya jangan takut untuk bersedekah dan membantu orang lain. InsyaAllah, tuhan pasti akan bantu kita balik.

Saya angguk dan tersenyum dengan nasihatnya yang berguna itu.



.
.


Abang Long.

 

Mencurah bakti dalam hujan.

Mencurah bakti dalam hujan.
.
.

Sewaktu sedang menunggu anak keluar dari sekolah. Hujan telah mula menitik halus.

Angin telah mula bertiup agak kuat.

Berdebar juga, kerana saya terlupa membawa baju hujan.

Saya beredar ke bawah bumbung berdekatan pondok pengawal.

Sebaik sahaja loceng tamat dibunyikan. Hujan turun dengan begitu lebat disertai angin kencang.

Ramai ibubapa yang terpaksa berteduh dibawah bumbung kawasan pejalan kaki sekolah.

Kelihatan seorang lelaki India memegang tangan seorang pelajar. Sambil memegang payung, berlari anak, menuju ke sebuah van kuning.

Dia berpatah balik dan membawa seorang lagi pelajar.

Diulang beberapa kali.

"Siapa yang naik van kuning itu?" lelaki India itu bertanya kepada murid-murid sekolah.

Tiada siapa yang menjawab.

Dia memandang ke arah saya.

"Ini anak you? you naik motor kan ? you tinggal dimana ?" terus dia bertanya kepada saya.

"Tak pe, tak pe, saya ada nak ambil seorang lagi di sekolah lain." 

"Hujan banyak lebat, kalau you percaya sama saya, then I can take your son to your house." lelaki India itu masih menawarkan budinya.

"Thank your very much sir." saya terus memeluk anak saya yang agak kesejukan.

Saya pandang van itu telah bergerak pergi.

Dan lelaki India itu terus menyerahkan payung yang digunakan tadi kepada pondok pengawal.

Lelaki India itu terus berlari dalam hujan lebat ke arah sebuah kereta yang di parkir tidak jauh dari pintu pagar sekolah.

Dan. Saya melihat dia masuk kedalam sebuah kereta BMW (plat baharu).

Saya termenung seketika. Saya sangka dia ialah pemandu van yang hendak membantu ibu bapa yang dalam kesusahan.

Hujan mulai reda, sewaktu azan Maghrib berkumandang, dan ibu bapa yang datang dengan motor mulai beredar.

Saya terus memecut kerana bimbangkan keselamatan anak perempuan saya yang bersekolah menengah, hampir 1 km dari situ.

Alhamdulillah. Kami sampai rumah dalam keadaan lencun.

Yang penting semuanya selamat.

Sehingga sekarang saya masih terkenangkan budi baik lelaki India itu. 




.
.

Abang Long.


Salah orang, salah sendiri.

Salah orang dan salah sendiri.
.
.

Sewaktu saya sampai, kejadian telah pun berlaku. Seorang remaja duduk bersandar pada tiang lampu jalan. Mengerang kesaiktan.

Orang ramai berkerumun melihat kejadian.

Saya mendengar bebelan seorang lelaki tua.

"Itulah yang aku geram selama ini, budak-budak bawa motor tak ada lesen, bawa macam pelesit, sekarang dah jadi macam ni, siapa yang susah?"

Seorang pemuda terus bertanya kepada remaja itu. "Adik ok tak?" sambil dia memegang kaki remaja itu.

"Sakit sangat ..." remaja itu hampir menangis.

"Dah, angkat dia bawa masuk kereta saya." arah pemuda itu. Dan beberapa orang terus mengangkat remaja itu ke dalam kereta pemuda itu.

"Kenapa tak tunggu ambulan ...?" soal lelaki tua itu lagi, seolah-olah tak berpuas hati.

"Budak-budak ni kena ajar sikit bawa motor jangan macam orang gila!" lelaki tua itu masih membebel.

Orang ramai sudah tidak memperdulikan bebelannya.

Setelah semua orang bersurai. Baru sahaja saya hendak bergerak menghala ke sebuah kedai berdekatan.

Saya lihat lelaki tua itu masuk ke dalam kereta. Dan terus memandu dengan kasar. Keretanya dipecut keluar dari laluan tepi.

Dan saya nampak, sebuah lori 3 tan, sedang bergerak laju. Arah jalan yang sama.

Sekelip mata !

Lori itu telah melanggar hadapan kereta lelaki tua itu.

Sekali lagi, orang-ramai terpinga-pinga.

Sekali lagi orang ramai berkerumun.

Pemandu lori turun.

Saya turut berkejar ke tempat kejadian.

Lelaki tua itu tak dapat keluar kerana pintunya kemek.

Dia keluar dari pintu sebelah penumpang.

Lelaki tua itu melepaskan amarahnya.

Malangnya ramai saksi menyatakan lelaki tua itu yang bersalah, kerana ramai yang meilhat bagaimana kejadian itu berlaku.

Tiba-tiab seorang remaja bertanya. "Pakcik ok tak? kalau cedera, saya nak bawa ke hospital." wajahnya begitu polos hendak membantu.

Orang ramai tersenyum.

Saya terus beredar.


.
.

Abang Long.

 

Menggigil pegang duit.

Menggigil pegang duit.
.
.

Sewaktu membawa anak saya pulang dari sekolah. Tiba di satu simpang, anak saya menjerit.

"Abah, abah, duit, duit!" 

Saya pandang keliling. "Duit?"

"Tu ...!" anak saya menunjukkan ke arah sehelai kertas yang berterbangan.

Saya turun, dan berlari ke arah duit kertas yang berterbangan itu.

"Wow, RM50!"

Saya pandang keliling. Tiada manusia yang kelihatan cuba mencari barang hilang.

Saya simpan.

Dan terus ke stesen minyak berdekatan. Saya isi petrol sebanyak RM3.

Duit itu sahaja yang ada dalam dompet saya.

Saya perasan anak saya memerhati ke arah peti sejuk yang tersedia puluhan jenis minuman. Tapi, dia mendiamkan diri.

MAAF kan abah ya anak.

Saya terpegang wang RM50 tadi. 

MAAF ini bukan hak aku.

Usai membayar dan mengisi petrol, saya terus pulang.

Saya sudah niat untuk memasukkan wang itu ke dalam tabung masjid.

Usai solat Magrib. Kelihatan dua orang sahabat sedang berbincang sesuatu.

Rupanya, sahabat saya mahu pulang ke kampong. Dan dia memohon sedikit bantuan kewangan dari tuan Imam. 

Malangnya, tuan Imam tidak membawa duit. Jadi, tuan Imam bertanya samada saya ada sedikit wang untuk dipinjamkan kepada sahabat saya itu.

"Maaf, saya malu nak pinjam ... tapi nak buat macam mana, duit saya hilang petang tadi, saya rasa duit tu jatuh kat mana-mana." luah sahabat saya.

"Petang tadi, kamu ada tak lalu depan sekolah rendah? saya jumpa wang sebanyak RM50 di simpang jalan." saya mendedahkan kisah bagaimana saya terjumpa wang itu.

Mata sahabat saya terbeliak.

"SubhanAllah, saya tak tahu itu wang siapa, tapi memang saya hilang wang sebanyak RM50, dan saya memang lalu kawasan itu petang tadi."

"Ha, kalau begitu, kamu bagi saja duit tu pada dia, lagipun kita anggap dia telah tercicir, dan Allah hendak menguji kamu berdua, adalah tu hikmahnya kejadian ini ..." tuan Imam memberikan nasihat.

Ya Allah. Engkau Maha Mengetahui tentang aku. 

Semoga Allah membuka pintu rezeki untuk saya dan famili. 

Sudah 2 bulan saya langsung tidak terima order buku.


.
.


Abang Long,.

 

Gedebe.

Gedebe.

.
.
Sewaktu keluar dari tandas, saya melihat sebuah kereta telah di parkir melintang di kawasan parkir motor.

Dalam kiraan saya, lebih kurang 6 buah motor tidak akan dapat dikeluarkan, jika kereta itu tidak di ubah tempatnya.

Saya duduk di meja tepi palang besi, betul-betul dihadapan parkir motor.

Motor saya juga terletak di situ.

Sahabat saya tiba, dan dia juga menghadapi kesukaran untuk meletakkan motor kerana kereta itu menghalang laluan.

Tiada cara lain, sahabat saya meletkkan motor di atas pembahagi jalan, hanya beberapa langkah dari situ.

Datang seorang lelaki, bertanyakan kepada saya, samada saya tahu dan kenal dengan pemilik kenderaan itu.

Saya hanya mampu menggelengkan kepala.

Lalu lelaki itu pergi ke kaunter restoran bercakap sesuatu. Lalu penjaga kaunter dengan suara yang kuat, bertanya kepada pelanggannya, siapakah pemilik kereta itu. Supaya mengalihkan kenderaannya.

Seorang pun tidak mengaku.

Laluan itu memang agak sempit.

Hampir 10 minit, lelaki dan isterinya yang kelihatan mengandung menunggu di parkir motor itu.

Saya merasa kasihan dengan nasib mereka.

Tiba-tiba sebuah lori 3 ton memberikan hon untuk melalui kawasan itu. Tidak menunggu lama, pemandu itu terus memandu.

Saya mendengar bunyi sesuatu yang keras bergesel.

"Bodoh punya orang, ini bukan parking kereta!" sambil berteriak, pemandu itu terus berlalu.

Hampir 10 minit berlalu. Lelaki itu seperti hilang sabar. Dia memandang saya dan sahabat saya.

Kami pun prihatin, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa.

Tiba-tiba lelaki itu melihat kereta itu dari sisi penumpang, sambil menggelengkan kepala.

Dua orang lelaki tiba. Mereka juga menggelengkan kepala.

Saya dan sahabat saya terus melihat keretanya. Rupa-rupanya kereta itu mengalami calar yang teruk.

Badan kereta itu bergores dari depan ke belakang.

Lelaki itu mencarut dan memaki hamun. Tiba-tiba sahabat saya menjawab dengan bersahaja.

"Awak berdua makan disini tadi kan? Taukeh tu tadi panggil siapa pemilik kereta ini, awak berdua buat bodoh sahaja, sekarang bila kereta awak dah jadi macam ini, baru awak nak maki hamun orang lain, ni abang ni, dah dekat setengah jam tunggu disini, isterinya mengandung, lain kali fikir sama tentang orang lain!"

Panjang lebar sahabat saya 'membasuh' lelaki yang sombong itu.

Saya tidak hairan kerana sahabat saya memang 'gedebe.'

"Awak tahu ke siapa yang buat benda ni?" soal lelaki itu dalam keadaan marah.

"Tahu, ada lori besar lalu tadi, tapi tak ada siapa yang minat nak ambil tahu, lagipun ini memang laluan dia." lelaki yang menunggu lama pula menjawab tegas.

Kedua-dua lelaki itu terus masuk kedalam kereta dan memecut pergi.



.
.


Abang Long.
Sentiasa tenang.

Kenduri si fakir.

Kenduri Si Fakir.
.
.

Sedang enak menikmati jamuan kenduri kahwin. Sambil makan, sambil mata memandang sekeliling. Sambil berbual dengan tetamu yang duduk semeja.

Itulah antara tujuan menghadiri kenduri kahwin. Kita mengeratkan hubungan silaturahim.

Saya perasan, di meja sebelah. Sebuah keluarga yang mempunyai 5 orang anak-anak yang masih kecil. Kelihatan mereka makan dengan begitu tertib. 

Menariknya, anak-anak kecilnya berulang kali mengambil donut (produk Big Apple) yang sedap itu.

Dan diselang-selikan dengan pencuci mulut, Cream Puff yang juga sedap.

Saya pernah ke rumah mereka sewaktu Program Juadah Berbuka Puasa untuk menghantar dadih.

Keluarga itu memang dari golongan fakir miskin.

Sedang saya menikmati Cream Puff. Seorang wanita warga emas mengomel.

"Ada juga orang yang tak reti bahasa, dah nampak anak tu makan donut tu dah banyak, tegurlah sikit, ramai lagi orang yang belum makan."

Saya tahu ayat itu ditujukan kepada siapa. 

Namun, saya mengambil sikap 'buat-buat tak dengar' dan malas nak layan.

Kelihatan tuan rumah datang ke meja kami dan bertegur sapa. 

Saya memuji kesedapan lauk-pauk yang disediakan. 

"Eh, dah rasa Cream Puff ? anak saya yang buat sendiri, dia baru keluar dari Giat Mara, lepas ni kalau ada siapa nak order, boleh call dia, nanti saya bagi nombor hp dia." tuan rumah begitu bangga dengan usaha anaknya itu.

"Memang sedap Cream Puff tu tuan, tapi tak boleh nak makan lagi, dah kenyang sangat ni..." saya sempat bergurau dengannya.

"Eh, tu ... ada donut Big Apple, pergilah ambil ... tu pun sedap juga tu!" tuan rumah sekali lagi mempelawa kami merasai donut Big Apple.

"Rasanya macam nak habis dah donut tu...." wanita warga emas itu seolah-olah hendak meluahkan rasa tidak puas hatinya sekali lagi.

"Eh, banyak lagi, saya order 1 lori donut tu, takkan dah habis?" tuan rumah agak ragu dengan kata-kata wanita itu.

"Ha, tu ha lori dia, parkir kat luar ..." sambil menunjukkan lori yang masih parkir di luar pagar dewan.

Saya memandang tepat ke arah wanita tua itu.

Dia melarikan pandangan ke arah lain.

Tuan rumah beredar ke meja lain. 

Dan saya bangun, seraya bertanya. "Ada siapa nak rasa donut? saya tolong ambilkan?"

Beberapa orang tetamu yang duduk semeja mengangguk dan meminta saya mengambil donut itu.

Sebaik kembali ke meja makan. Wanita itu telah tiada.

Sewaktu saya berjalan ke arah kereta untuk pulang. Kelihatan keluarga itu menjinjit bekas plastik berisi sekotak Big Apple. 

Saya yakin, tuan rumah yang berikan.

Itu rezeki mereka.

# Ini bukan iklan Big Apple. Harap maklum.



.
.


Abang Long.

 

Dosa di Las Vegas. Musibah di Mekah.

Dosa di Las Vegas. Musibah di Mekah.
.
.

Usai solat Subuh, Imam terus berdoa. Antara yang dilafazkannya, beliau memohon kasih sayang Allah, supaya jemaah haji dari Malaysia dijauhi dari sebarang bala bencana.

Dipermudahkan urusan sewaktu beribadah dan melaksanakan ibdah haji.

Kebiasaannya, para jemaah hanya mengaminkan doa dalam nada biasa. Tetapi, pagi tadi, Imam mengulang-ulang ayat yang sama sebanyak 3 kali.

Sejujurnya saya agak musykil kerana peristiwa seperti ini jarang dilakukan.

Sewaktu bersalaman. Barulah saya tahu tentang tragedi yang berlaku di Mekah.

"Itulah, tuhan nak tunjukkan pada kerajaan Arab jangan sombong sangat dengan umat Islam, orang Arab kalau pergi keluar negara buat maksiat ..." luah seorang warga emas.

Saya dan beberapa sahabat memandang lelaki itu dengan seribu persoalan.

Apa kena mengena maksiat yang dilakukan oleh kerajaan Arab Saudi dengan tragedi yang menimpa umat Islam yang sedang mengerjakan ibadah disana ?

Inilah sikap yang menjengkelkan. Setiap kali berlaku tragedi di negara Islam, semuanya dikaitkan dengan maksiat.

Kami secara diam mengikuti lelaki itu hingga ke tangga masjid.

Terus sahaja sahabat saya bertanya satu soalan paling menarik.

"Pakcik, tadi saya dengar pakcik kata tragedi itu berlaku sebab kerajaan Arab Saudi buat maksiat. Bagaimana pula dengan tragedi kebakaran yang berlaku di sebuah pondok tahfiz, di Kedah, beberapa tahun yang lalu, adakah sebab pelajar buat maksiat?"

Pakcik itu terus terkelu dengan soalan itu.

Tidak mahu menunggu jawapan dari pakcik yang terkebil -kebil itu. Kami terus beredar.



.
.


Abang Long.
DOA biarlah ikhlas.
 

DOA untuk kami.

Doa untuk kami.
.
.

Sewaktu keluar dari kereta untuk berehat seketika di R&R Kuala Kangsar. Kami terus disapa oleh seorang remaja yang menjual keropok.

Kami hanya tersenyum. 

Remaja itu terus berlalu untuk mencari pelanggan lain pula.

Saya perasan sesuatu. Seluarnya koyak.

Saya terus mencuit pinggang sahabat saya. Dan terus menunjukkan ke arah seluar remaja itu.

Kami hanya mampu menggelengkan kepala tanda simpati.

Usai mengisi minyak dan membeli sedikit jajan. Kami terus menuju kereta semula.

Kami terpaksa menunggu seorang lagi sahabat yang masuk ke dalam tandas.

Seketika kemudian, kelihatan sahabat kami memegang tangan remaja tadi. Datang ke arah kami.

Kami berpandangan sesama kami dengan seribu persoalan.

"Ok, dik. Ini kawan-kawan abang, kamu jangan takut. Sebenarnya, abang nak bagitahu kamu yang seluar kamu koyak."

Terus sahaja remaja itu meraba seluarnya dan seketika itu juga wajahnya kelihatan sungguh cemas. 

"Relaks dik, jangan gabra." Kami cuba menenangkannya.

"Sekarang abang nak tahu, dimana kedai pakaian terdekat atau pasaraya terdekat?" soal sahabat saya lagi.

Remaja itu mengaku tahu tempatnya.

Barangan keropok kami sumbatkan kedalam bonet. Dan kami bawa remaja itu ke sebuah pasaraya yang terletak tidak jauh dari susur keluar Kuala Kangsar.

Dalam perjalanan. Banyak perkara yang kami tahu tentang remaja itu. Sungguh kasihan, rupanya keropok itu dimasak oleh kakaknya yang bisu.

Ibu dan ayah sudah tiada. Mereka tinggal adik-beradik seramai 3 orang. Menduduki rumah peninggalan arwah ayah mereka.

Di sebuah kedai menjual pakaian, remaja itu menitiskan air mata apabila kami membelikan 3 pasang pakaian untuknya.

Usai membeli-belah, kami berpusing agak jauh juga untuk menghantar remaja itu ke R&R.

Sebaik tiba. Sewaktu hendak berpisah. Remaja itu mencium dan memeluk kami dengan tangisan.

Ramai yang memerhati gelagat kami.

Sebaik kami beredar dari situ. Saya sempat menoleh ke belakang.

Remaja itu mengangkat tangan berdoa.

Kami berempat rasa berpuas hati dapat membantu insan yang dhaif.

Kami berhenti di beberapa lokasi atas urusan bisnes. Ipoh, Taiping, Bukit Mertajam, dan Tanjung Malim.

Ada ketikanya kami merempuh hujan lebat. Ada ketikanya kami meredah banjir. Kami juga singgah untuk membeli produk yang dijual di tepi jalan. 

Bisnes sambil melancong, memang menggembirakan.

Kami juga berhadapan dengan lebih dari 5 sekatan jalan raya oleh Polis dan JPJ.

Sewaktu pulang, kami sempat singgah di Jeram, Selangor untuk menikmati mee udang.

Sewak enak menikmati mee udang. Sahabat saya pergi ke kenderaan kami untuk mengambil telefon bimbitnya yang tertinggal.

Sewaktu kembali ke meja makan. Dia terus bertanya kepada pemandu dan pemilik Pajero.

"Man, bila engkau punya road tax tamat tempoh?"

"Bulan depan ... eh!" Azman berfikir seketika.

"Itu road tax untuk kereta isteri aku ..." terus sahaja Azman bergegas ke arah Pajeronya.

Rupanya, road tax Pajeronya telah tamat tempohnya 2 bulan lalu.

Sewaktu kami pulang ke Klang. Barulah timbul perasaan bimbang sekiranya ada sekatan jalanraya lagi.

Alhamdulillah. Kami selamat sampai dengan perasaan lega.

Terima kasih dik kerana mendoakan keselamatan perjalanan kami. 

Sehingga detik saya menulis ini pun saya masih memikirkan bagaimana kami boleh terlepas dari sekatan jalan raya itu.



.
.

Abang Long.
DOA DOA DOA yang dimakbulkan.

 

Keajaiban Surah Al Fiil

Kejaiban Surah Al Fiil.
.
.

Saya amat jarang menghantar dadih diwaktu malam ke rumah pelanggan. Apatah lagi yang agak jauh.

Mata saya rabun jauh, jadi akan menimbulkan kesukaran untuk melihat papan tanda jalan.

Lebih sukar sekiranya sesuatu jalan tiada papan tanda.

Disebabkan pelanggan mahu mengadakan jamuan hari jadi selepas jam 8 malam. Maka saya merasakan agak sesuai menghantar dadih selepas solat Maghrib.

Usai solat Maghrib. Dengan sekotak besar dadih, yang diletakkan dihadapan motor. Saya meredah kegelapan malam ke Telok Gong.

Sampai sahaja di sebuah kawasan perumahan. Dari jauh lagi saya sudah merasa tidak selesa.

Timbul rasa gentar kerana terpaksa berhadapan dengan berpuluh ekor anjing yang berkeliaran di atas jalan.

Saya memberhentikan motor. Otak saya ligat mencari jalan penyelesaian.

Andaikata anjing-anjing itu mengejar saya, saya tidak mungkin dapat memecut kerana saya membawa kotak dadih yang besar. Kalau kotak dadih itu terjatuh, saya akan bertambah menyesal.

Terfikir hendak pulang, jalan balik memang jauh.

Saya terus membaca surah Al Fiil berkali-kali. Setiap kali habis membaca, saya hembus ke arah sekumpulan anjing liar itu.

Cukup 7 kali saya baca dan hembus ke arah anjing-anjing itu.

Tiba-tiba. Salakan mereka bertambah kuat.

Kali ini anjing-anjing itu memandang ke arah saya.

Sejujurnya, saya merasa kecut perut.

Dan, tiba-tiba sahaja puluhan anjing itu bertempiaran.

Seolah-olah ada 'sesuatu' yang menghalau mereka.

Ghaib ! Hilang entah ke mana.

Dengan lafaz Basmallah. Saya menuju ke rumah pelanggan dengan terus berselawat.

Usai menyerahkan dadih. Saya terus berpatah balik.

Kali ini, saya hampir putus asa. Di hujung jalan perumahan, menghampiri jalan besar pula, anjing-anjing tadi duduk sambil lidah terjelir.

Saya tunggang motor dengan perlahan. Kali ini saya nekad. Dan saya merentasi sekumpulan anjing-anjing itu dengan selamat.

Malahan anjing-anjing itu langsung tidak menyalak, tidak menunjukkan sikap agresif atau pun berdiri.

Cuma saya tergelak bila terpandang dua pasang anjing sedang berasmara (jimak) di tepi jalan.



.
.

Abang Long.
Binatang tak ada perasaan malu.
 

Wali yang amanah.

Wali yang amanah.
.
.

Selama 2 bulan. Asmuni belajar menjadi wali nikah. Dia mempersiapkan dirinya untuk menjadi wali terbaik.

Tidak mahu berlaku sebarang kesilapan.

Hari yang dinanti-natikan telah tiba. Malam Jumaat dia diatas sejadah. Isterinya telah dimaklumkan lebih awal.

Jangan ganggu.

Asmuni beristighfar tanpa henti. Diselang-selikan dengan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

Bukan sekadar kekuatan fizikal yang dipohon dalam munajatnya. Tetapi kekuatan mental.

Semua jemputan telah tiba. Begitu juga tuan Kadhi daerah. Asmuni lebih banyak mendiamkan diri.

Setelah semuanya siap diatur. Asmuni mengajak semuanya berkumpul bagi melaksanakan tugasan menikahkan pasangan mempelai.

Setelah berbincang tentang tugas akad nikah dengan tuan kadhi. Asmuni duduk ditempat yang telah disediakan.

Pengantin lelaki telah lama menanti dengan penuh debaran.

Sewaktu duduk untuk upcara ijab kabul itu. Asmuni memandang tepat ke arah adik perempuannya, dengan pandangan sepenuh kasih sayang dari seorang abang.

Maka bermulalah detik yang dinanti-nantikan. Dengan kerlipan cahaya dari sinaran kamera, telefon bimbit dan video.

Semuanya telah bersedia merakamkan detik bersejarah itu.

Tangan kedua-duanya bertaut. Kedua-dua tangan menggenggam kejap.

"Asyraf ..." seru Asmuni tegas.

"Saya!" Asyraf menjawab dengan seribu kekuatan.

"Aku nikahkan akan dikau dengan adikku ..."
.
.
.

"Sah!" saksi pernikahan mengesahkan ijab itu sah.

Akhirnya air mata kesyukuran gugur dari tubir mata Asnidar. Kini, dia telah sah menjadi isteri kepada Asyraf Humam.

Tanpa disangka-sangka. Sewaktu Asyraf sedang mencium tangan abang iparnya, Asmuni. Asmuni terus berbisik kepada Asyraf.

"Asyraf, jagalah Asnidar dengan sebaiknya. Itu adalah amanah dari Allah."

"InysaAllah bang, terima kasih kerana sudi menerima saya dalam keluarga abang..." 

Sewaktu Asyraf menghampir Asnidar. 

Asmuni menangis tersedu-sedan. Semua jemputan memandangnya dengan seribu kemusykilan.

Pak Ngah Hamid datang menghampiri Asmuni, sambil memegang bahu anak saudaranya.

"Asmuni, kenapa?"

"Pak Ngah, maaf ... saya tak dapat menahan sebak, hari ini saya telah sempurnakan amanat dan wasiat dari arwah mak dan ayah untuk menjadi wali nikah kepada Asnidar."

"Allahu Akbar, moga mereka tenang dan bangga dengan kamu As." pujuk ayah saudaranya lagi.

Air mata lelaki akhirnya gugur setelah menyempurnakan sebuah amanah.



.
.


Abang Lomg.


Kanan Istighfar. Kiri Mengumpat.

Kanan Istighfar. Kiri Mengumpat.
.
.

Di stesen minyak. Saya perasan seorang lelaki jalan terhoyong-hayang ke arah tandas.

Tidak sampai beberapa langkah, lelaki itu seakan seperti hendak rebah. Namun, dua orang remaja yang baru saja keluar dari tandas terus memegangnya.

Keadaan agak kecoh seketika. Saya turut menghampiri lelaki itu.

Seorang wanita agak kaget memerhatikan lelaki itu yang sedang dipangku oleh remaja tadi.

"Bang ... ya Allah!" 

"Kak ... er makcik, pakcik ni tiba-tiba je jatuh depan kami ..." remaja itu menjelaskan apa yang berlaku.

"Suami saya tengah migrain, dia nak ke bilik air..." wanita itu menjelaskan keadaan sebenar.

"Eh, takkan nak biarkan disini, kan kotor ... bawa masuk surau, biar dia rehat didalam." seorang lelaki Cina memberikan cadangan.

Kami beramai-ramai mengangkat lelaki itu masuk ke dalam surau.

Lelaki itu dibaringkan. Dan isterinya duduk disisinya dan mengurut kepala suaminya.

Selepas itu, semua orang keluar. Memberikan ruang kepada pasangan suami isteri itu untuk berehat.

Hampir setengah jam saya berehat di luar surau. Sambil menunggu sahabat saya tiba, saya sempat membelek telefon bimbit saya yang ada masalah teknikal.

Kelihatan seorang warga emas masuk ke dalam surau. Mungkin untuk bersolat sunat Dhuha.

Tidak lama kemudian, lelaki warga emas itu keluar.

Saya terdengar dia mengomel. "Apa punya jantan betina tak tahu adab, dalam surau pun nak beromen!"

Sungguh saya tersentap.

Tiba-tiba sahaja darah saya menyirap.

"Kenapa pakcik, dalam surau ada orang berjimak ke?" saya bercakap dalam nada yang agak emosional.

Kali ini, pakcik itu pula yang tergamam dengan soalan saya.

"Ha, cuba kau tengok kat dalam tu, ada siapa, manusia ke jin!?

Saya buka pintu surau dan mendapati wanita itu masih terus mengurut bawah telapak kaki suaminya.

Saya tersenyum.

"Pakcik, lain kali tanya dulu, siasat dulu... sebelum nak cakap, nak tuduh sebarangan, lelaki tu tadi migrain, dia jatuh disini tadi, kami ramai-ramai yang angkat bawa masuk ke dalam surau ..." saya menjelaskan kisah yang berlaku dengan mata saya memandang tepat wajah pakcik itu.

Pakcik itu memandang saya dengan mata terkebil-kebil, sambil berlalu pergi.

Sewajarnya sebaik keluar surau, hati turut DIBERSIHKAN !


.
.

Abang Long