Wednesday, January 4, 2017

Benda melintas.

Benda melintas ...

Dalam perjalanan pulang dari menghadiri Majlis Rumah Terbuka Pertubuhan Kebajikan BAITUL FIQH. Di laluan sikal, dalam kawasan Shah Alam.

Dari kejauhan, telah terlihat sekumpulan penunggang memperlahankan motor.

Sebaik melalui terowong. Barulah tahu, rupanya orang ramai ramai sedang membantu seorang warga emas yang terjatuh dari motorsikal.

Sebaik tiba di kawasan kejadian. Terus saya bertanya. "Apa kes?"

"Orang tua tu, jatuh sebab nak elakkan dari ular yang melintas." jawab seorang penunggang.

Berpuluh motorsikal telah berhenti.

Tiba-tiba saya terlihat kelibat benda bergerak dari celah dedaun kering yang gugur.

Dan, terus saya menjerit.

"Ular!"

Tidak diduga langsung. Semua orang bertempiaran lari.

Termasuk orang tua yang jatuh dari motorsikalnya, dia turut nekad melarikan diri dalam kesakitan.

Rupanya seekor ular lidi juga bergerak laju melarikan diri dari kami. Dan terus menghilangkan diri disebalik pohon renek.

"Apalah kamu ni, itukan ular lidi?" luah rasa seorang lelaki dalam geram bercampur ketawa.

Saya tak mampu menjawab. Orang ramai turut ketawa berdekah-dekah dengan kejadian spontan itu.

"Eh, mana pakcik tadi?" seorang lagi bertanya.

"Itu ha ...!" suara seorang lagi penunggang.

Pakciik tua itu kelihatan berdiri tidak jauh dari situ. Sedang mengurut kakinya yang sakit.

Sekali lagi peristiwa itu mengundang gelak ketawa kami.

Selepas itu saya tidak pasti apa yang berlaku. Saya meneruskan perjalanan pulang untuk menghadiri satu lagi jamuan hari raya.

No comments:

Post a Comment