Wednesday, January 4, 2017

Ciuman sedarah sedaging.

Ciuman Sedarah Sedaging.

"Rasanya, seumur hidup dia tak pernah salam dan cium tangan ayahnya." begitulah luahan rasa seorang lelaki warga emas sewaktu kami sedang memerhatikan seorang lelaki sedang bertarung nyawa dalam ICU.

Memang sahabat saya begitu keras hati. 

Setelah ayahnya meninggal dunia. Tidak lama kemudian, ibunya berkahwin lagi. 

Sahabat saya tidak dapat menerima kehadiran ayah tiri. Yang dirasakannya seperti hendak mengambil kesemua harta mereka.

Apa sahaja kebaikan ayah tirinya dianggap seperti kudis yang bernanah.

Sehinggalah beliau berkahwin dan mendapat sepasang cahaya mata. 

Agak memilukan apabila ayah tirinya langsung tidak dimaklumkan tentang perkahwinan mereka.

Takdir Allah. Sahabat saya mendapat kemalangan ngeri. Diwaktu itu, nyawanya seperti dihujung tanduk.

Ibunya tiba dengan ayah tirinya yang telah uzur. 

Sungguh tragis. Darah yang bersesuaian amat kritikal.

Dalam diam. Ayah tirinya membuat pemeriksaan darah. Dan didapati darahnya paling tepat untuk anak tirinya.

Ramai ahli keluarga yang menjadi saksi kasih sayang seorang ayah tiri kepada anak tirinya.

Tidak lama kemudian. Setelah beberapa hari dalam wad ICU.

Sahabat saya semakin pulih, dan dikeluarkan dari ICU. Lalu ditempatkan di wad biasa.

"Doktor, bolehkah saya tahu, siapakah yang mendermakan darah untuk saya tempohari, saya mahu jumpa untuk ucapkan terima kasih kerana sudi menyelamatkan nyawa saya." mohon sahabat saya dalam belas.

Ahli keluarganya terpinga-pinga mendengar permintaan sahabat saya itu.

Malam itu. Seorang tua dikalangan ahli keluarganya memohon izin untuk bercakap dengan sahabat saya dengan ditemani oleh ibunya sahaja.

Hampir 2 jam. Hanya terdengar esakan.

AIB yang selama ini ditutup rapat, akhirnya dibuka demi kemaslahatan sebuah keluarga.

Barulah saya tahu. Rupanya ayah tirinya, adalah sebenarnya ayah kandung sahabat saya.

Sewaktu muda. Ibu dan ayahnya telah terlanjur. Akibat ketakutan yang teramat sangat. Lelaki yang tidak bertanggungjawab itu melarikan diri selama bertahun.

Setelah teman wanitanya kematian suami. Barulah lelaki itu bertemu semula. Dan menyatakan janji setianya untuk membela wanita itu dan anaknya.

Dan, pada malam Lebaran. Kedua-duanya berpelukan dalam tangis hiba yang meruntun jiwa.

"Yang sudah tu sudahlah ... " ujar lelaki tua dalam keluarga itu, sambil mengesat air matanya dengan kain serban.

Sesungguhnya Lebaran kali ini adalah Lebaran amat bermakna buat sahabat saya dan 'ayah kandungnya.'

Beberapa hari lepas. Ayahnya telah pergi buat selama-lamanya dalam keadaan tenang.

Paling mengesankan bila sahabat saya menyatakan.

"Aku bersyukur kerana dapat mencium tangan ayah aku sepuas-puasnya."

No comments:

Post a Comment