Wednesday, January 4, 2017

Sakit dan sedekah.

Sakit dan Sedekah.
.
.

Sedang leka menunggu bas ekspres ke utara. Sahabat saya yang begitu keletihan telah duduk diatas sebuah motor yang di parkir berdekatan Terminal Bas.

Dia mengantuk yang teramat sangat sehingga terlelap. Dan dia kurang bernasib baik. Dia tergolek jatuh dan motor itu telah menindihnya.

Malang sungguh tidak berbau. Kakinya terkena paip ekzos yang panas.

Sungguh perit !

Hampir setengah jam lagi bas hendak tiba. Kakinya semakin kuat denyutan kesakitan.

Terus sahaja dia membatalkan hasrat untuk pulang ke kampong dengan bas ekspres.

Dia menuju ke kaunter tiket, untuk membuat pembatalan dan memohon pemulangan wang.

Akibat tidak mampu berdiri lama. Sahabat saya terus duduk dikerusi panjang yang disediakan untuk penumpang bas.

Sambil dia memegang betisnya yang semakin sakit. Datang seorang gadis, duduk disebelahnya. Gadis itu sedang berbual dengan seseorang melalui telefon bimbitnya.

Dari perbualan melalui telefon bimbit. Dia mengetahui yang gadis itu dalam keadaan terdesak untuk pulang ke Pulau Pinang.

Namun, tidak cukup beberapa ringgit sahaja lagi untuk membayar tambang. 

Sebaik gadis itu menamatkan panggilan. 

Sahabat saya terus bertanya kepada gadis itu. "Cik nak kemana?"

"Pulau Pinang ... er ... Butterworth." gugup si gadis menjawab.

"Kerja atau balik kampong?"

"Balik kampong, mak saya baru dimasukkan ke hospital, dia jatuh tangga dan pengsan ..." si gadis tidak mampu bercerita lagi. Hanya air mata yang terus gugur.

Tidak mahu memanjangkan sebarang soalan. Sahabat saya terus nekad untuk menyerahkan tiketnya kepada gadis itu.

"Ambil, ambil ... "

Si gadis teragak-agak untuk mengambil tiket itu.

"Allah, Allah ..." sahabat saya terus mengadu kesakitan.

"Awak kenapa ya ...?" si gadis pula yang bertanya. Musykil dengan keadaan sahabat saya.

Sahabat saya terus selak kaki seluarnya. Dan menunjukkan kesan akibat terkena ekzos motor, merah dan membengkak.

Si gadis terus mengajaknya ke klinik yang tidak jauh dari terminal itu.

Si gadis memegang tangan sahabat saya dan mereka terus ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

Sebaik tiba. Sahabat saya terus mengarahkan gadis itu segera ke terminal bas, bimbang akan terlepas untuk naik bas ekspress.

Sebaik masuk berjumpa Doktor dan lukanya dibersihkan serta diletakkan krim. Dia terus menelan ubat tahan sakit.

Sahabat saya berbual dengan Doktor. Dan mungkin kerana bahasanya, rupa-rupanya, isteri Doktor itu pun berasal dari Bukit Mertajam.

"Saya cadang nak balik tadi, tapi terpaksa dibatalkan. Tiket bas pun saya dah bagi pada orang lain ..."

"Eh, kalau begitu, apa kata kamu ikut saja kami balik, malam ini ... hanya saya dan isteri sahaja dalam kereta." Doktor itu terus menawarkan budinya.

"Eh, tak pelah Doktor ... saya ..." sahabat saya agak malu dengan tawaran Doktor itu.

"Eh, apa yang malunya ... kita sama-sama nak balik kampong, satu hala." Doktor itu terus memujuk.

Sementara menunggu klinik ditutup petang itu. Sahabat saya diberikan bilik rawatan untuk berehat dan tidur sementara.
.
.

Setelah 2 minggu berlalu. Kami bertemu, dan sahabat saya menasihatkan saya supaya jangan takut untuk bersedekah dan membantu orang lain. InsyaAllah, tuhan pasti akan bantu kita balik.

Saya angguk dan tersenyum dengan nasihatnya yang berguna itu.



.
.


Abang Long.

 

No comments:

Post a Comment