Monday, January 2, 2017

Susu ibu yang mengalir.

Susu Ibu yang mengalir ...

Sebaik melangkah keluar dari jeriji besi. Lelaki itu terus sujud diatas jalan raya. Berpelukan dengan ayah dan saudara kandungnya.

Terus menaiki kereta. Dia kelihatan begitu tabah.

Wajahnya begitu tenang.

Kereta kami berkonvoi.

Menuju destinasi yang wajib.

Pusara aman.

"Terima kasih mak..." lemah dan bergetar nada suara yang keluar dari halkumya sambil memegang batu nisan arwah bondanya.

Hujan mula turun di remang senja.

Kami beredar dari kawasan kubur dengan segera kerana hujan mulai lebat.

"Selepas ini, abang nak kerja apa ? saya boleh tolong carikan ..." saya mahu lelaki itu melupakan kisah hitamnya dan sejarah pahitnya di dalam tembok besi.

"Abang ingat nak tolong ayah saudara di Kedah, dia buka ladang bela ayam. Lagipun, disana tak ramai yang kenal abang." luahnya sambil termenung jauh.

Ya, bukan mudah majikan hendak menerima seseorang yang berstatus bekas banduan.

"Bang, saya tengok abang ni cukup tenang, lebih tenang dari orang masjid, apa rahsia bang?" saya cuba mencungkil rahsianya yang kelihatan begitu tenang pada wajahnya.

"Entahlah Feroz, tapi sepanjang dalam penjara, abang tak pernah lupa sedekahkan Al Fatihah buat ayah dan mak abang, sehinggalah mak menghembuskan nafas terakhir, dan paling bersyukur ... abang dengar sendiri, mak abang telah ampunkan segala dosa abang, dan dia juga telah menghalalkan susunya yang mengalir dalam tubuh abang ..." luahnya dalam sendu.

Beberapa minggu kemudian. Telefon bimbit saya berdering. Nombor yang tidak berdaftar.

Sebaik panggilan di sambung.

Terdengar suara garau memberi salam dihujung talian.

"Feroz, bila hang nak mai Kedah ? abang dah kerja disini, orang kampong pun semuanya baguih, depa terima abang dengan baik ... alhamdulillah, berkat doa mak abang dulu" 

"InsyaAllah." saya menjawab ringkas.

"Ingat Feroz, tiap kali lepas sembahyang, jangan lupa sedekah Al Fatihah buat mak ayah kita ... hidup kita berkat." pesan lelaki itu lagi.

Terus - terang, pada mulanya memang saya bimbang. Lelaki itu akan mengalami tekanan kerana sebagai bekas banduan, bukan mudah untuk memulakan kehidupan baru.

Tetapi janji Allah. Barangsiapa yang berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Hidup mereka mendapat reda Allah.



.
.


Abang Long. 
Sentiasa ingat pesanNabi tentang IBU.

 

No comments:

Post a Comment