Wednesday, January 4, 2017

DOA untuk kami.

Doa untuk kami.
.
.

Sewaktu keluar dari kereta untuk berehat seketika di R&R Kuala Kangsar. Kami terus disapa oleh seorang remaja yang menjual keropok.

Kami hanya tersenyum. 

Remaja itu terus berlalu untuk mencari pelanggan lain pula.

Saya perasan sesuatu. Seluarnya koyak.

Saya terus mencuit pinggang sahabat saya. Dan terus menunjukkan ke arah seluar remaja itu.

Kami hanya mampu menggelengkan kepala tanda simpati.

Usai mengisi minyak dan membeli sedikit jajan. Kami terus menuju kereta semula.

Kami terpaksa menunggu seorang lagi sahabat yang masuk ke dalam tandas.

Seketika kemudian, kelihatan sahabat kami memegang tangan remaja tadi. Datang ke arah kami.

Kami berpandangan sesama kami dengan seribu persoalan.

"Ok, dik. Ini kawan-kawan abang, kamu jangan takut. Sebenarnya, abang nak bagitahu kamu yang seluar kamu koyak."

Terus sahaja remaja itu meraba seluarnya dan seketika itu juga wajahnya kelihatan sungguh cemas. 

"Relaks dik, jangan gabra." Kami cuba menenangkannya.

"Sekarang abang nak tahu, dimana kedai pakaian terdekat atau pasaraya terdekat?" soal sahabat saya lagi.

Remaja itu mengaku tahu tempatnya.

Barangan keropok kami sumbatkan kedalam bonet. Dan kami bawa remaja itu ke sebuah pasaraya yang terletak tidak jauh dari susur keluar Kuala Kangsar.

Dalam perjalanan. Banyak perkara yang kami tahu tentang remaja itu. Sungguh kasihan, rupanya keropok itu dimasak oleh kakaknya yang bisu.

Ibu dan ayah sudah tiada. Mereka tinggal adik-beradik seramai 3 orang. Menduduki rumah peninggalan arwah ayah mereka.

Di sebuah kedai menjual pakaian, remaja itu menitiskan air mata apabila kami membelikan 3 pasang pakaian untuknya.

Usai membeli-belah, kami berpusing agak jauh juga untuk menghantar remaja itu ke R&R.

Sebaik tiba. Sewaktu hendak berpisah. Remaja itu mencium dan memeluk kami dengan tangisan.

Ramai yang memerhati gelagat kami.

Sebaik kami beredar dari situ. Saya sempat menoleh ke belakang.

Remaja itu mengangkat tangan berdoa.

Kami berempat rasa berpuas hati dapat membantu insan yang dhaif.

Kami berhenti di beberapa lokasi atas urusan bisnes. Ipoh, Taiping, Bukit Mertajam, dan Tanjung Malim.

Ada ketikanya kami merempuh hujan lebat. Ada ketikanya kami meredah banjir. Kami juga singgah untuk membeli produk yang dijual di tepi jalan. 

Bisnes sambil melancong, memang menggembirakan.

Kami juga berhadapan dengan lebih dari 5 sekatan jalan raya oleh Polis dan JPJ.

Sewaktu pulang, kami sempat singgah di Jeram, Selangor untuk menikmati mee udang.

Sewak enak menikmati mee udang. Sahabat saya pergi ke kenderaan kami untuk mengambil telefon bimbitnya yang tertinggal.

Sewaktu kembali ke meja makan. Dia terus bertanya kepada pemandu dan pemilik Pajero.

"Man, bila engkau punya road tax tamat tempoh?"

"Bulan depan ... eh!" Azman berfikir seketika.

"Itu road tax untuk kereta isteri aku ..." terus sahaja Azman bergegas ke arah Pajeronya.

Rupanya, road tax Pajeronya telah tamat tempohnya 2 bulan lalu.

Sewaktu kami pulang ke Klang. Barulah timbul perasaan bimbang sekiranya ada sekatan jalanraya lagi.

Alhamdulillah. Kami selamat sampai dengan perasaan lega.

Terima kasih dik kerana mendoakan keselamatan perjalanan kami. 

Sehingga detik saya menulis ini pun saya masih memikirkan bagaimana kami boleh terlepas dari sekatan jalan raya itu.



.
.

Abang Long.
DOA DOA DOA yang dimakbulkan.

 

No comments:

Post a Comment