Wednesday, January 4, 2017

Zek Setan.

Zek Setan.

Sewaktu sedang berbaris untuk membeli tiket keretapi. Seorang pemuda memberi salam dan bertanyakan adakah betul barisannya hendak membeli tiket untuk ke utara tanahair.

Saya menjawab salam dan hanya mengangguk.

Pemuda itu berpakaian ala jemaah Tabligh. Matanya bercelak tebal.

Usai membeli tiket. Saya bergerak ke tepi sediikit, tetapi masih di hadapan kaunter. Saya membelek tiket yang baru dibeli.

Dan pemuda itu terus bercakap dengan kerani kaunter.

"Saya nak ke Taiping..."

Saya terus memandang ke arah pemuda itu. Mungkin saya kenal dengannya.

Usai dia berurusan membeli tiket. Saya terus menyapanya.

Subhanallah. Maha Suci Allah.

30 tahun yang lalu. Dia dikenali sebagai Zek Setan !

Merokok dalam sekolah. Kaki Betina. Minum minuman keras. Berjudi.

Kalau ada kes kecurian di sekolah atau dalam kampong. Orang akan cari Zek Setan dulu.

Sehinggalah tuan Imam Surau menggelarnya - Zek Setan.

Dibela oleh ibu tiri. Setelah ibunya meninggal dunia.

"Bagaimana kau boleh berubah 365 darjah?" saya bertanya dalam gurauan.

Sambil menarik nafas sedalam-dalamnya. Dan matanya memandang tepat ke arah saya.

"Setelah kawan aku meninggal dunia dalam bilik hotel, kami melanggan pelacur yang sama..."

Kami sama-sama terdiam.

"Aku yang uruskan jenazahnya, sewaktu memandikan sahabat aku ... aku terpandang sesuatu pada alat kelaminnya, dan aku terus rebah." 

Saya terlopong. Mendengar kisah yang begitu aib.

Sejak itulah. Sahabat saya terus berubah.

"2 bulan aku menangis tiap hari kerana menyesal, aku bertaubat dan teramat takut, sampai satu ketika, Doktor kata, kalau aku terus juga menangis, mata aku boleh buta." luahnya jujur.

Terdengar pengumuman. Tren komuter ke Sentul akan tiba.

Dan sahabat saya mohon diri untuk beredar.

"Eh, bukankah kau nak balik Taiping, itu pengumuman tren komuter ke Sentul?"

"Aku nak balik rumah kakak aku di Sentul, malam ini baru aku balik ke Taiping." 

Usai bersalaman. Dia terus beredar.

Saya teringat sesuatu.

Saya terus menjerit ke arahnya.

"Zeck Setan, dari hari ini, aku panggil kau Zeck 'Alim, ok tak?"

Dia terus menunjukkan penumbuk kepada saya dengan tertawa riang.


.
.

Abang Long.
Hidayah tiada penghalang.

No comments:

Post a Comment