Monday, January 2, 2017

Rezeki dari doa ibu.

Rezeki dari doa Ibu.

Segala yang dibuat, semuanya tidak menjadi. Begitulah kisah nasib sahabat saya. Saya hanya mampu mendoakan kejayaanya dan supaya bersabar.

Depan mata saya, tidak ada apa pun kekurangannya. Segala amal baik dikerjakan sesuai dengan tuntutan beragama.

Namun, bak kata cerdik pandai. Kalau kita nak tahu perangai sebenar sahabat kita, maka bermusafirlah bersamanya selama 3 hari.

Allah hendak membimbing saya juga. Satu hari, sahabat saya mengajak menemaninya ke Johor. Ada urusan tanah untuk diselesaikan.

Kebetulan saya memang tidak ada urusan penting yang lain, sementelahan, waktu itu cuti sekolah.

Tiba sahaja dirumah pusakanya. Saya bersalaman dengan ahli keluarganya. Kelihatan sahabat saya bersalaman dengan semua orang termasuk seorang wanita tua yang agak uzur.

Sewaktu mereka mengadakan perbincangan. Saya rasa kurang manis untuk turut serta kerana saya bukan ahli keluarga, lagipun perkara yang hendak dibincangkan ialah berkenaan harta pusaka.

Maka, saya meminjam motor salah seorang ahli keluarganya untuk bersiar keliling kampong.

Sewaktu singgah disebuah warung. Sambil minum dan menyantuni warga emas yang sedang berbual santai di warung itu.

Kami bertanya khabar dan saya paling banyak ditanya, maklumlah orang luar.

Dari situlah terbocor satu rahsia.

Rupanya sahabat saya dibela oleh keluarga angkat. Dan baru dalam setahun dua ini, dia bertemu dengan ahli keluarga sebenar.

Namun, sayangnya, sahabat saya tidak dapat menerima ibunya yang sebenar.

Dari pengkisahan oleh warga tua yang amat mengenali keluarga sahabat saya itu. Barulah jelas, kenapa sahabat saya hanya bersalam sahaja dengan wanita tua dirumah itu, tanpa bercakap sepatah apapun.

Sejujurnya, saya tidak tahu bagaimana untuk menegur perbuatannya yang boleh dianggap sebagai DERHAKA !

Ya Allah. Bantulah aku membantu manusia yang menzalimi diri mereka sendiri.

Sewaktu dalam perjalanan pulang. Kami berbual dalam kereta. Tiba-tiba ibu saya menghubungi saya.

"Hello mak, saya telefon mak balik."

Sebaik panggilan ditamatkan. Saya terus menghubungi ibu saya semula.

Kami berbual. Seperti kebiasaan. Saya memang suka bergurau dengan emak saya.

Ya, saya suka mendengar ibu saya ketawa. Terasa bahagia hidup mendengar ibu ketawa dengan keletah anaknya.

Kami berbual dalam 20 minit.

Usai menamatkan perbualan. Saya hanya memandang kehadapan. Memandang ke arah jalanraya yang agak lengang.

Kami diam membisu.

Tiba-tiba sahabat saya menarik tisu yang berada didalam kereta.

Saya pandang kearahnya. Dia mengelap air matanya.

"Kenapa Man?" saya bertanya ringkas.

"Aku teringin nak sembang dengan mak aku, tapi aku tak mampu, sejak dia buang aku waktu kecil ..." sahabatku meluahkan rasa yang terbuku dalam hatinya.

Saya biarkan dia menangis sepuasnya.

"Engkau boleh drive?" saya bimbang dengan situasinya yang kurang stabil.

Dia hanya mengangguk.

"Man, sebenarnya mak kau tak pernah buang kau, dia terpaksa menyerahkan kau demi menyelamatkan nyawa kau dari sikap durjana ayah tiri kau, aku dah tahu kisah kau yang sebenarnya." saya pula yang berterus-terang.

Sejak ayah tirinya menghilangkan diri. Ibunya berusaha menjejakinya. Itu yang dikisahkan oleh warga emas dikampongnya.

Saya menceritakan segala rahsia yang selama ini terpendam.

Tiba-tiba sahabat saya menekan brek dengan kuat. Saya terkejut.

"Feroz, kalau aku ajak kau balik semula ke kampong aku, kau sanggup ? aku nak sujud ke kakinya." pinta sahabat saya dalam linangan air mata yang sudah tidak boleh diseka lagi.

"Kita U-Turn sekarang!" arah saya tegas.

Hari ini, saya paling gembira. Bisnes sate sahabat saya begitu menjadi. Dan paling saya gembira. Bila sahabat saya memanggil ibunya dengan panggilan manja - My Sweetheart.


.
.

Abang Long.
DOA ibu penyelamat kedukaan.

 

No comments:

Post a Comment