Wednesday, January 4, 2017

Doa dalam marah

Doa dalam marah.

Sebaik keluar dari kedai 7 Eleven. Terdengar bunyi dentuman yang agak kuat. Saya pandang keliling. Tidak kelihatan sesuatu yang mencurigakan.

Walaupun ada beberapa orang remaja yang juga seakan-akan terpinga-pinga dengan bunyi yang kuat, yang datangnya entah dari mana.

Rasanya tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Saya berjalan berlenggang menuju ke arah motorsikal yang diparkir di selekoh tidak jauh dari kedai 7 Eleven.

Sewaktu menghampiri selekoh. Tiba-tiba sahaja sebuah kereta meluru keluar dari kawasan yang agak gelap. Kereta itu juga tidak dipasang lampu.

Saya hanya mampu menggelengkan kepala.

Sebaik tiba di kawasan parkir. 

Saya beristighfar.

Hampir berbelas motor telah terbalik, menghempap antara satu sama lain.

Saya pandang keliling. 2 orang remaja sedang berjalan ke arah parkir.

Semuanya turut kebingungan.

"Apa kena ni bang?" soal salah seorang remaja itu.

"Entahlah dik, abang pun baru sampai, tadi dengar suara berdentum, tapi tak tahu pula benda apa, tapi bila abang sampai sini, semua motor terbalik." saya menceritakan apa yang berlaku dalam kesamaran.

Kami bertiga mengangkat dan membetulkan balik semua motor yang terbalik.

Sewaktu mengangkat motor itu. Semakin ramai yang datang. Masing-masing marah dengan apa yang berlaku. Tetapi malangnya, tiada siapa yang boleh menjadi saksi kejadian.

Sewaktu hendak pulang, saya singgah di masjid untuk mengambil kotak dadih. Saya perasan, ada sebuah kereta yang hampir sama dengan yang saya nampak di selekoh kedai 7 Eleven.

Bila dibelek bahagian belakang kereta. Didapati platnya patah sebahagian. Dan ada kesan calar.

Sekali lagi saya tidak boleh berbuat apa-apa. Nak ambil gambar, telefon bimbit saya pula sudah kehabisan bateri.

Hanya mampu bersabar dengan kisah seperti The X Files.

No comments:

Post a Comment