Monday, January 2, 2017

Kehilangan yang diredhai.

Kehilangan yang diredhai.

Takdir sudah berlaku. Saya keciciran wang sebanyak RM5. 

Saya redha.

Dan, saya hampir memutuskan untuk tidak membelikan burger kepada anak-anak yang telah membuat pesanan sewaktu saya hendak keluar rumah.

Poket diseluk. Dompet dikeluarkan. Kira dengan berhati-hati. Rasanya cukup untuk membeli dua biji burger sahaja.

InsyaAllah, 2 biji burger dikongsi, makan berjemaah banyak keberkatannya. Pujuk hati sendiri.

Walaupun hakikatnya, bukan setakat 3 biji, kalau diikutkan perkembangan tubuh anak, 5 biji pun belum tentu cukup.

Saya pasrah.

Sewaktu singgah disebuah gerai menjual burger. Saya membelek senarai harga burger seperti yang terpamer pada menu.

'Hmmm... tak cukup 50 sen.' gumam saya sendirian.

Saya hanya mampu berselawat.

Pap ! seseorang menepuk bahu saya dari belakang. Ya Allah, jantung saya berdegup kencang. Maklumlah, saya bukannya sihat. 

"Bang, lama tak jumpa, abang dok mana la ni ? saya call, saya sms berapa banyak kali, langsung tak jawab ..." sergah seorang remaja.

Saya belek wajahnya dalam suasana suram, hanya diterangi lampu mentol gerai burger sahaja.

Baru saya ingat remaja itu.

Saya tersenyum sambil kami bersalaman.

"Abang nak beli burger ka?" soalnya serius.

Saya hanya mengangguk.

"Abang nak berapa?"

Saya hanya menunjukkan dua jari.

"Hai, anak abang bukan ada 5 orang ka ? mana cukup dua biji?"

Terus sahaja remaja itu mengarahkan seorang pekerja memasak 5 biji burger untuk saya.

"Eh, 2 sahaja..." kemudian baru saya perasan sesuatu.

"Ini gerai hang ka?" saya bertanya memohon kepastian.

"Bang, gerai burger ni saya punya, abang dah lupa ka, 3 tahun lepas, saya pinjam RM50 kat abang, nak mula meniaga, alhamdulillah, ini gerai saya yang kedua." remaja itu menceritakan kisah yang sudah lama berlalu.

Usai sembang ringkas. Remaja itu menyerahkan 5 biji burger dengan disertakan bayaran pinajam RM50 kepada saya.

"Eh, ini 5 biji burger ...?" saya bertanya untuk membayar harganya.

"Dah, dah, dah .... ini saya belanja."

Semoga bertambah luas rezeki mu dik !

# Sambil menunggang motor pulang kerumah, saya menyanyi lagu Basikal Tua, nyanyian Allahyarham Sudirman


.
.

Abang Long.
Hati gumbira terlupa selawat.
 

No comments:

Post a Comment