Saturday, September 1, 2018

Asbab dari sedekah.

Asbab dari sedekah.
"Ini bilik semayang haaa ...?" wajah apek seperti keresahan.
.
.

Sewaktu kami singgah di sebuah stesen minyak untuk mengisi petrol. Kami melihat seorang remaja lelaki menjual minyak urut atau bam sapu.

"Hai, ada lagi budak tu, tak serik-serik dia orang ni!"

Sahabat saya merujuk kepada penggunaan kanak-kanak oleh sebuah pertubuhan yang agak terkenal, untuk menjalankan urusan mengutip derma.

Seorang lagi sahabat terus keluar untuk membuat pembayaran di kaunter.

Tidak lama, kelihatan dia membeli minyak urut dari remaja itu.

Saya pula menghala ke tandas untuk buang air kecil.

Malang sungguh. Tandas hanya satu. Dan kelihatan orang ramai beratur menunggu giliran.

Lama sungguh menunggu.

Hampir 20 minit. Ada yang telah berlalu pergi. Ramai yang mengeluh.

Pintu tandas terbuka.

Kelihatan seorang lelaki Cina, tua, keluar dari tandas dengan agak payah.

Terbongkok-bongkok, dan sambil memegang bahagian pinggangnya.

Wajahnya berkerut. Saya agak dia menahan kesakitan.

Timbul simpati dengan keadaannya.

"Apek, datang dengan siapa?" tanya salah seorang lelaki yang sedang berbaris menunggu giliran untuk menggunakan tandas.

"Saya sendiri ... saya drive sendiri." jawabnya dengan segala kepayahan.

Masing-masing kami menggelengkan kepala.

Tidak sampai 10 langkah.

Bedebuk! Apek jatuh.

Kami serentak bergegas menerpa ke arahnya.

"Saya sakit pinggang!" apek itu mengadu lemah.

Kami fikir, takkan kami hendak membiarkan dia berbaring atas rumput.

Kami terus mengusungnya ke dalam surau yang hanya beberapa langkah dari situ.

"Apek ada bawa ubatkah?" tanya salah seorang pemuda yang turut mengangkatnya.

Apek hanya menggelengkan kepala.

Kam memandang satu sama lain.

"Siapa ada panadol?" tanya pula yang lain.

Tiba-tiba datang sahabat saya. Dia tertanya-tanya apa yang berlaku.

"Nah ... " sahabat saya terus menghulurkan botol minyak urut yang baru dibelinya.

Salah seorang lelaki terus menyambutnya. Dan diurutnya belakang badan apek itu.

Dalam beberapa minit. Apek itu kelihatan agak lega.

"Ini bilik semayang haaa ...?" wajahnya seperti keresahan.

"Tak pa, tak pa ... kita bukan mau sembahyangkan apek, kita mahu apek kembali sihat, itu saja." gurau lelaki yang mengurut belakang apek.

Kami turut tertawa dengan guruan itu.

Apek itu terus duduk. Tetapi masih lemah. Dia memandang beberapa bingkai yang tergantung di dinding surau yang tertulis kalimat suci dalam bentuk kaligrafi.

Saya dan sahabat saya terus keluar dari surau.

Sewaktu dalam perjalanan, tiba-tiba sahabat saya menepuk dahi. "Allah!"

"Ha, apa hal?" kami bertanya.

"Aku terlupa nak ambil balik botol bam minyak urut tadi!"

"Ah, kira sedekah sudahlah!" saya menjawab dalam gurauan.

.
.

Abang Long.
Asbab minyak bam urut, apek itu mendapat hidayah. Siapa tahu ?

#ADR2

No comments:

Post a Comment