Saturday, September 1, 2018

Mendoakan orang.

Mendoakan orang.
"Aku ingat ringan!" luah sahabat saya.

l
l

[Status ini saya edit dengan memasukkan hashtag#PerangiPlagiat sebagai sokongan kepada para sahabat dibawah Legacy Publishing yang menentang perbuatan ini. Harap maklum].
.
.

Setelah menyelesaikan hajat di sebuah stesen minyak. Saya terus masuk ke dalam kedai untuk membeli sebotol air minuman.

Sewaktu berjalan masuk, saya disapa oleh seorang pakcik yang hendak menjual keropok.

Terdapat satu keranjang besar keropok yang dijinjitnya.

Nampak ringan, tetapi kalau sudah diusung ke hulu ke hilir, boleh tahan juga beratnya.

Saya hanya tersenyum sambil terus berlalu.

Setelah membayar harga barang, baru saya perasan, sahabat saya juga berada di dalam kedai yang sama.

Beliau dan isterinya sedang leka memilih produk yang mahu dibeli.

Saya menegur mereka. Kami bersalaman dan bertanya khabar dalam ceria.

Seketika, isterinya bertanya tentang produk yang dipilihnya.

Si suami menggelengkan kepala.

Seketika lain, si suami memegang produk dari jenama lain, isterinya pula menggelengkan kepala.

Setelah melihat mereka memegang produk keropok dari pelbagai jenama yang berlainan, saya merasa sangsi.

"Banyaknya kamu nak beli keropok, nak buat rumah terbuka kah?"

Kedua-duanya tertawa kecil.

"Nak buat majlis hari jadi anak." jawab si isteri.

Sekilas saya terpandang pakcik yang menjual keropok di luar kedai, sedang mengelap peluh. Masih sabar menantikan pelanggan dan rezeki dari Allah.

Terus saya mencadangkan kepada sahabat saya untuk membeli keropok dari pakcik itu.

Kedua-dua suami isteri itu memandang satu sama lain.

Beberapa bekas keropok dari produk berjenama diletakkan kembali ke tempat asalnya.

Dan kami terus menghampiri pakcik itu.

Sahabat saya terus memborong keropok dari pakcik itu.

Serta merta wajah pakcik itu berubah.

Tadinya keruh, kini begitu ceria.

"Ambo bagi diskaun ..."

Tidak sempat pakcik itu menghabiskan ayat, terus sahaja sahabat saya memintas.

"Tak pe, tak pe ... duit yang lebih tu, pakcik buat beli air."

Pakcik itu terus mengangkat tangan. "Terima kasih ya Allah, ENGKAU kabulkan doa aku, murahkanlah rezeki tuan ini."

Sahabat saya dan isterinya terpinga-pinga.

Saya dan sahabat saya mengangkat keranjang plastik yang penuh dengan keropok mentah itu masuk ke dalam keretanya.

Sekilas sahabat saya memandang pakcik itu yang masih memerhati kami.

"Aku ingat ringan!" luah sahabat saya.

Saya tersenyum.

"Seumur hidup aku, tak pernah ada orang yang mendoakan aku, macam yang pakcik tu buat..." sambil dia menatap wajah saya.

Saya tersenyum.

Bukannya susah hendak membuatkan orang lain bahagia.

Ada ketikanya pilihan itu berada hampir dengan kita.

.
.

Abang Long.
Usahakan untuk membangunkan ekonomi ummah.

#ADR2

No comments:

Post a Comment